Saturday, June 23, 2012

Abah. Dan 68 Tahun Hidupnya.

Assalamualaikum. Masa aku kecil, tak sah rasanya kalau dalam sehari aku tak kena belasah dengan Abah. Kira dah jadi macam rutin harian Abah untuk membelasah aku dan kira macam dah jadi rutin harian aku untuk dibelasah oleh Abah. Bukan. Bukan sebab Abah hobi dia mendera anak - anak. Bukan jugak sebab Abah kaki botol dan balik mabuk - mabuk belasah anak bini macam dalam TV tu. Bukan jugak sebab Abah tak ada hobi lain selain memancing. Sebab dia, tak lain tak bukan sebab aku nakal nauzubillah. Kerja asyiklah nak buat onar dekat rumah. Tak cukup dekat rumah, aku buat onar pulak dekat kampung. Habis anak - anak jiran aku rekrut untuk dijadikan pasukan orang kerahan. Masa itu geng aku semua lelaki. Jadi aku selaku budak perempuan tunggal dalam geng, melantik diri sendiri sebagai ketua. Aku, Ajam, Akim, Han, Jais dengan Jumal. Gila tak? Woman rules! HAHA.

Jadi bila dah geng dengan budak lelaki, perangai aku time itu memanglah musibat sedunia. Hari - hari mesti ada yang mengadu aku jahat itu ini. Kadang - kadang bukan salah aku pun tapi sebab dah terlalu banyak membuat durja maka sesedap rasalah orang nak cakap semua benda jahat tu aku dan geng aku yang buat. Abah pula agaknya dah berasap telinga dengar orang kampung buat rumah aku macam balai Aduan Rakyat, maka kadang - kadang tali pinggang singgah dekat badan. Itu okay lagi. Kalau nasib kurang baik, makan malam aku penampar Jepun. Arigato gozaimas, Daddy!

Semakin membesar, semakin aku faham perangai Abah. Dengan aku, Abah memang garang. Mungkin sebab kakak - kakak aku yang lain dan adik aku semua baik - baik belaka. Aku seorang saja yang rebellious. Jadi usia remaja penuh dengan konflik dengan Abah. Kiranya aku dengan Abah sama - sama kutub yang menolak. Abah tak banyak bercakap dengan aku. Aku pun tak banyak bercakap dengan Abah. Malas nak bercakap sebenarnya. Sebab masing - masing tahu,kalau start berkomunikasi mesti ending dia macam drama Melayu. Hempas - hempas pintu bilik. Akulah tu.

Tapi aku tahu, Abah sayang aku. Masa tunggu SPM, aku kerja balik pukul 1 malam, Abah ambil aku balik kerja naik motor meredah sejuknya hening pagi. Walaupun esoknya Abah nak kena kerja lagi. Masa aku Tingkatan 6, Abah rela tebalkan muka pergi sekolah sebab cikgu kelas mengadu perangai aku sangat macam - macam masa sekolah. Kesian Abah. Tak habis - habis aku ni menyusahkan Abah. Buat Abah malu nak berdepan dengan orang sebab perangai aku yang 'baik' sangat. Masa ni, Abah dah tak belasah - belasah aku lagi dah. Abah tak cakap apapun. Abah diam. Abah banyak diam. Masa aku nak masuk Universiti, Abah kumpul duit nak bagi duit saku. Abah tak selalu dapat bagi aku duit. Aku pun tak banyak minta dari Abah. Abah bagi, aku ambil. Abah tak bagi, aku tak minta.

Masa aku konvo, Abah datang dengan Emak. Duduk dalam Dewan Besar, sama - sama berkongsi kegembiraan dengan aku. Masa perarakan masuk graduan ke Dewan Besar, aku terpandang Abah dengan Emak. Aku tahu Abah bangga. Aku, anak yang paling tak ada guna dalam keluarga, berjaya juga menggenggam segulung Ijazah. 

Aku tahu Abah sayang aku. Dari masa aku start berkawan dengan suami, bertunang, sampailah ke masa nikah, Abah sokong aku sepenuh jiwa raga.  Dalam masa - masa yang bergejolak menginjak ke hari aku dan suami bakal diijab kabulkan, Abahlah insan yang paling tabah dan paling tegar menjunjung maruah keluarga. Aku kuat, sebab Abah kuat. Dan kekuatan Abah buat jiwa aku sangat kebal. Kata - kata Abah masa suami datang ingin menjadikan aku yang halal untuknya, memang aku ingat sampai ke mati.

"Pakcik tak kisah. Engkau tu kena kuat. Kalau betul niat baik nak jadikan Lina isteri, cakap - cakap orang, jangan ambil kisah. Pakcik percaya dengan cakap engkau. Jadi buktikan"

Abah orang yang terpaling aku sanjung. Kalau Abah orang lain, aku tak tau apa yang dia orang akan buat. Tapi Abah, walaupun tak bersetuju tak sebulu dengan aku dalam banyak hal, tapi dalam hal pasangan yang aku pilih untuk aku jadikan suami, abah sokong aku. Abah sokong aku sepenuhnya. Untuk itu Abah, aku sangat menyanjungmu. Abah menjadikan sebahagian daripada ingatan moment - moment kebahagiaan aku. Abah ada dalam setiap moment- moment berharga aku. Abah ada, untuk setiap doa - doa aku yang dimakbulkan Allah. Abah ada.

Setiap tahun, hari lahir Abah, tidak boleh tidak, mesti akan aku sambut. Dengan majlis doa selamat dan makan - makan kecil - kecilan. Doa aku agar Abah kekal sihat dan sentiasa ada untuk aku, untuk kami sekeluarga. Bila usia semakin dewasa ini, aku mengerti apa yang Abah rasa dalam membesarkan aku. Aku faham setiap bilahan rotan yang hinggap ditubuh aku dulu untuk apa. Setiap jerkahan, setiap herdikan setiap kali aku tersasar arah itu apa. Aku faham kenapa Abah pukul aku setiap kali aku taknak bersolat, kenapa Abah tak teragak - agak mengangkat tangan setiap kali aku taknak pergi mengaji. Aku faham semua tu, Abah. Aku faham. Semua itu membentuk aku yang sekarang. Ilmu dunia dan agama yang Abah sediakan, yang Abah didikkan, yang Abah bentukkan untuk aku, memberi aku acuan untuk menjadi aku yang sekarang.  Doa aku, supaya Abah nanti kekal menjadi Abah kami disyurga Allah nanti. Amin, InsyaALLAH.

Setiap tahun, 23 Jun, doa aku tetap sama seperti tahun - tahun yang sudah. Aku ingin melihat Abah sentiasa sihat, sentiasa bersama kami satu keluarga. Sentiasa ada untuk menasihati dan membimbing, memimpin langkah - langkah kami adik - beradik andai kami tersasar. Ya ALLAH, Kau peliharalah Abah. Berikan dia Kasih Sayang Mu sebagaimana Abah menyayangi kami sewaktu kami kecil.

23 Jun 2012
Abah, Lina tak pernah cakap dengan Abah yang Lina sayang Abah sangat - sangat. Lina tak pernah bagitahu Abah yang Lina bangga jadi anak perempuan Abah. Abah banyak ajar Lina erti ketabahan dalam kehidupan. Abah sabar dengan ujian hidup. Abah merendah diri. Abah selalu melawan api dengan air. Abah lelaki terulung dalam hidup Lina. Lina tahu Abah sayang Lina. Lina tahu Lina sentiasa ada tempat dalam hati Abah. Lina selalu doakan yang terbaik untuk Abah. Macam Abah yang selalu doakan yang terbaik untuk Lina. Abah tak pernah ajar Lina jadi jahat. Kalau Lina jahat, itu salah Lina sendiri. Bukan sebab Abah tak ajar. Abah lelaki yang hebat. Lina bangga berbintikan nama Abah. Lina sayang Abah. Sayang sangat - sangat. Selamat Hari Lahir Abah. Teruslah ada untuk kami, Abah.

Ya Allah, sekiranya dalam hidup ini aku ada melakukan kebaikan atas namaMu, maka kau pindahkanlah pahala - pahala kebaikan ku itu untuk Abah, Ya Allah. Untuk Abah.

Yang benar,
Anak Abah yang nombor tiga.

9 comments :

MimieRara said...

:')

Cik Puan Bunga said...

@MimieRara:')

imantizz_truper said...

akhirnya,air mata jatuh bila baca entri nie...saya anak manja ayah...hahaha....kak CPB,pinjam tisu,nak buat lap air mata..hehehe

Cik Puan Bunga said...

@imantizz_truperUntunglah jadi anak manja ayah. Berikan yg terbaik untuk ayah! ^^,

Khairul Bariyah said...

Kak CPB saya sangat terharu,saya juga ada abah..=')

♥Eyza Qhairy♥ said...

:'(

Speechless..

Rindu arwah ayah saya! :(

Cik Puan Bunga said...

@Khairul BariyahSayangi abah awak sepenuh hati awak! ^^,

Cik Puan Bunga said...

@♥Eyza Qhairy♥Al fatihah untuk arwah abah awak eyza!

SasauMovie said...

Hi . Sesiape yang ade mase terluang tak tau nak buat ape .
Jom singgah ke Blog Saya . Boleh Tengok Movie (^^,) & Follow .

http://sasaumovie.blogspot.com/