365 Hari Sepanjang 2012 + Resolusi 2013

Assalamualaikum. Alhamdulillah. Hari ini hari terakhir dalam tahun 2012. Semoga Allah beri aku kesempatan untuk buka mata dan melompat bintang pada hari esok. 1 Januari 2013. InsyaALLAH. 365 hari sepajang 2012. Setiap kali tahun baru, aku suka muhasabah diri sendiri. Sepanjang tahun, adakah aku cukup cemerlang untuk dilabel sebagai manusia gemilang atau aku cuma menambah satu tahun hidup lagi yang sia-sia.

2012 , pada aku adalah antara tahun yang sangat awesome sepanjang aku hidup. Walaupun dari segi kerjaya tak ada sebarang pencapaian yang boleh buatkan boss aku tersenyum bangga, tapi kalau dari segi kehidupan, 2012 not bad juga. Banyak juga moment-moment mahal yang sempat aku rembat sepanjang tahun. Alhamdulillah. Syukur. Allah beri juga aku peluang untuk merasa bahagia. Amin. Walaupun misi mustahil menguruskan badan tidak tercapai dengan jayanya, tapi menurut masyarakat kampung aku, aku dah kurus sikit. Hewhewhew!

Banyak kenangan dalam tahun 2012. Rasa macam nak simpan kenangan tu masuk dalam botol lepas itu jadikan dia keychain bawa kesana kemari jadi nanti bila-bila masa aku perlukan dia, aku just ambil botol yang berkenaan dan kenang kembali semua kemanisan itu. Ah! ><, Antara yang terpaling aku suka :

Bila bibit - bibit perkenalan antara aku dengan Innanie mula macam nak mesra-mesra. Lahaii sweet sangat aku rasa. Ada masa asyik kerja nak dating. Tak fikir masyarakat sekeliling dah. Rindu rinduan jadi kenang kenangan. Eh. Kemudian kenangan menyambut Hari Guru 2012 yang aku rasa terpaling happening dalam sejarah perkhidmatan menjadi seorang guru. Seumur hidup aku tak pernah ada anak murid menyanyi sambil main gitar depan mata engkau, rasa nak menitik airmata tapi disebabkan ketika itu aku sedang mengkontrol macho maka jatidiri kena kukuh. Hewhewhew.

Lepas itu ada satu kejadian yang maha sedih telah merenggut kebahagiaan aku yang sementara. Eceh. Drama. Kisah konflik aku dengan anak - anak murid yang terpaling aku sayang. Sobs. Bila rupa-rupanya aku ini dibenci dalam diam. Aku aje yang tak tahu. Aku ingatkan aku disayangi, rupa - rupanya. Sobss. Ah lupakan yang sedih-sedih. Haa 2012 juga bilangan anak sedara aku bertambah! --" Tambah lagi seorang cucu keturunan Isnin yang handsome kacak sedunia iaitu Muhammad Arrazi. Anak Makngah.

Ramadhan 2012 antara yang aku tak akan boleh lupa sampai bila - bila. Antara rahmat dan kurniaan Allah yang takkan aku lupakan. Menitik airmata bila hati yang lama membeku, dengan kuasa Allah, jalinan sillaturrahimnya bertaut kembali, tepat 24 Ramadhan 1433H. Allahu akbar. Allah Maha Besar. Hilang segala dendam ego yang bersarang. Sujud syukur aku. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Syawal tahun 2012 antara syawal yang terawesome sepanjang hidup bila anak - anak murid dan bekas anak-anak murid pakat-pakat datang berduyun kerumah. Subhanallah. Hilang rasa rindu. Meriah Syawal aku dengan kunjungan dia orang. Terima kasih tak terhingga. ><,

Tahun 2012 jugalah aku kenal dan mulai rapat dengan lelaki manis lagi puitis pernah aku kenal sepanjang hidup. Lelaki yang menghidupkan semula cinta aku kepada puisi dan penulisan. Manusia yang petah dialam maya tapi bila depan mata, diam sejuta bahasa. Zaimie Jamat ><, Juga bila seorang anak murid buat pertama kalinya hantar aku balik ke bilik guru. Lahaiii manisnya waktu itu. Sepanjang tahun, itulah kali pertama dia setuju hantar buku aku ke bilik guru, tanpa dipaksa. Eh ke ada paksa sikit. Hewhew!

Sambutan hari lahir aku untuk tahun 2012 juga adalah super cool! Bayangkan, tak pernah seumur hidup meja guru aku penuh dengan hadiah, teddy bear aje dapat sampai 6 biji. Itu belum lagi cokelat, gula-gula, perfume, lotion, kek, cupcakes. Ya Allah terharu rasanya dengan effort yang anak-anak murid aku buat. Memang sayang yang tak berbelah bahagilah! Yang lagi terharu bila ada yang sanggup hantar sendiri hadiah ke rumah. Subhanallah. Terima kasih Ya Allah. Terima kasih untuk rahmat kebahagiaan ini. Amin.

Percutian dengan family ke bumi Langkawi merupakan penutup ke'awesome'an 2012. 3 hari dua malam yang penuh dengan keterujaan, shopping sampai muntah-muntah dan yang bestnya dapat spend masa dengan suami dan family yang lain. Dan kemuncak segala-galanya adalah ketika keputusan PMR diumumkan. Alhamdulillah. Berbaloi usaha dan penat lelah selama ini mendidik , mengajar anak-anak bangsa. Semoga mereka menjadi anak-anak yang berjaya.

Kesimpulannya, tahun 2012 memang betul-betul sejarah dalam hidup aku. Tahun yang mengajar aku banyak erti hidup, sabar, redha dan kasih sayang yang tiada batasan. Tahun yang banyak memberikan aku yang pahit juga yang manis. Yang mengajar aku bahawa hidup ini sentiasa penuh dengan dugaan dan kita, kena selalu kuat untuk hadapi semua tu. Dan Alhamdulillah. Aku dah hadapi semua tu. Terima kasih Ya Allah untuk nikmat kebahagiaan sepanjang 2012.

Untuk tahun 2013 ni, aku mengharapkan agar aku dapat mengubah diri menjadi seseorang yang lebih matang. Kusut jugak bila orang asyik bash kata aku tak matang, macam budak-budak. --" Sedih. Walaupun kematangan itu sesuatu yang subjektif, aku akan cuba perbaiki diri dan mematangkan diri tanpa mengubah apa-apa. Jadi diri sendiri. InsyaALLAH. 2013 ni jugak aku nak berazam untuk solat diawal waktu jika tak ada apa-apa halangan, aku nak menutup aurat dengan sempurna dan aku nak menjadi isteri yang baik, solehah kepada suami. Juga Mama yang mithali untuk Adam Irfan Xaharis. Lebihkan simpanan, dari segi kewangan , merancang perbelanjaan dan melangsaikan hutang - hutang.

Dari segi kerjaya, aku akan cuba sedaya upaya untuk berkerja dengan lebih amanah dan bertanggungjawab demi rezeki yang barokah, mendidik anak bangsa dengan lebih baik, kurangkan bergossip yang tak ketahuan hala dan bergaul dengan manusia - manusia positif serta mampu mendekatkan aku kepada Allah dan menambahkan kecintaan aku pada agama Insyaallah. Ya Allah, kau bantulah setiap langkahku Ya Allah.
Selamat tahun baru untuk semua pengunjung dan pembaca setia Geek In The Pink. Terima kasih kerana terus setia dengan blog ni walaupun isi kandungan dia macam hmm hmmm. Okay tak payah cakap. Aku sangat- sangat hargai. Meh peluk meh. Semoga tahun baru ni menjadikan kita manusia yang lebih baik, beriman dan bertanggungjawab dariapada yang lepas - lepas. Amin ya rabb. InsyaALLAH.




Nah. Tengok muka comel ini puas - puas! Ekekeke!

Sampai jumpa lagi di tahun hadapan!

Babai 2012! Selamat datang 2013!

Dah. Babai!

Read More»

Matang

Assalamualaikum. Walaupun menjadi matang bukan satu pilihan yang comel untuk aku yang sangat mencintai usia kanak-kanak aku ini, nampaknya aku sudah tidak ada pilihan. Adalah tahi rasanya bila umur tahun depan dah nak masuk 30 tapi perangai macam Man Belon. Apakah? Aku taknak dipandang picisan dan sebelah mata. Suara tidak didengari. Nanti orang ingat aku budak-budak terencat minda yang ibarat melukut ditepi gantang. Taknak. Aku nak duduk sama rendah berdiri tinggi dengan Rosmah. Eh.

Sehubungan dengan itu, aku dengan gigihnya telah merevamp keseluruhan blog. Totally tukar sebab tadi kata nak nampak matang kan? Maka bermula dengan blog dan nanti kemudian aku revamp pulak diri sendiri. --" Lepas Maghrib duduk dengan tekun depan laptop sambil usha beberapa blog manusia yang awesome sedunia macam blog Mel dengan blog Cik Sri . Suci murni aje blog dia orang. Inspirasi, inspirasi.

Pendek kata. Aku puas hati dengan blog aku sekarang. Hadiah untuk blog sendiri sempena tahun baru. Mata aku pun dah nampak kunang-kunang aje ni. Eh apasal aku tengok TV tiba-tiba ada dua bijik ni?

Nah. Gambar comel aku seketul.

Nak merehatkan mata. Dengan melihat lelaki-lelaki kacak. Eh? Astaghfirullah! Matang, matang!

Dah. Babai!

Read More»

Tuhan. Terima Kasih, Kau Panjangkan Usianya.

Assalamualaikum. Tiada sambutan yang extravaganza, tiada juga kek ber-icing mewah atau menu-menu berdarjat tinggi pembuka selera apatah lagi hadiah mahal , hanya doa selamat yang dibacakan Abah dan menu ringkas yang aku dan Emak masak dengan penuh kasih sayang. Dan aku lihat bibirnya tersunging senyuman, sambil matanya terpejam mengaminkan doa-doa Abah. Buka mata. Dipandangnya aku. Tanpa kata-kata, tangannya menggenggam erat tangan kanan aku. Dan dari situ, aku tahu, hatinya kembang dan berbunga cinta.

Malam sebelum 29 Disember, aku tuliskan dia puisi ringkas diatas sekeping kertas kuning. Kenapa kuning? Aku pun tak tahu. Yang aku tahu puisi itu aku tulis dengan seluruhnya cinta dan setia. Tanpa teragak-agak, tanpa didesak-desak, laju otak merangka dan jari-jemari bergerak dengan koordinasi yang sama. Lalu terhasillah satu puisi yang aku kira sangat tulus dari hati. Kemudian aku letakkan puisi itu bersama sekeping gambar di hari persandingan kami. Gambar yang terpaling aku suka. Kami duduk di atas jambatan sambil masing-masing tersenyum penuh kebahagiaan. Meraikan cinta.

Tepat 12 malam. Aku call suami di tempat kerja. Dengan hati mewah berbunga, dan sebaik saja aku dengar suaranya dihujung talian, umpama pasangan baru bercinta, kelu pulak lidah seribu bahasa. Tongong sungguh aku rasa waktu itu. Aku cuma mampu tersengih - sengih, diam beberapa saat dan berkata "Abang, Lina ada tuliskan puisi. Nanti, abang baca." Sumpah. Aku dirasuk. Dirasuk cinta. Lalu hati mencair dengan moment moment indah sepanjang hidup menjadi isterinya.

Dari hati ke hati. Eceh!

Malam tadi bertungkus-lumus aku melukis menggunting menampal segala macam yang ada dekat dinding wardrobe. Kehkeh. Mengerah segala kreativiti yang tersimpan dalam kepala, sebenarnya tak adalah kreatif manapun. Dah macam billboard budak sekolah tadika dah rasanya. Tapi entah, aku suka. Benda berwarna-warni buat aku rasa ceria macam pelangi. Tampal itu ini dengan harapan esok pagi suami balik, dan dia akan baca setiap apa yang aku tulis. Dan sedikit sebanyak buat dia bahagia.

Fuhfuh. Lap peluh!

Balik dari kerja, mandi dan selesai tukar pakaian, suami berdiri dekat depan dinding wardrobe sambil matanya meliar membaca setiap apa yang aku tulis. Aku berdiri disebelahnya sambil tersengih-sengih. Sambil matanya bergerak membaca puisi yang aku tuliskan, dua tangannya menarik aku lalu dirapatkan ke dadanya. Demi Allah, aku tiba-tiba merasa bagai di syurga.

"Yang ini, janji tau!" Sambil aku menuding kepada sticky note bertulis 'I wanna grow old with you'. Suami tertawa kecil.
"Dan yang ini wajib tau!" Tuding aku pada ayat 'I wanna be your princess forever!' Pecah tawa suami. Pelukannya dieratkan. Satu kucupan singgah ke dahi. Dan waktu ini, aku sudah mencair secair-cairnya.

Lepas solat Maghrib, Abah bacakan doa selamat sebelum kami sama- sama makan nasi ayam panggang yang aku dengan Emak berhempas pulas sediakan. Sedap sedunia! Buat dengan cinta, mestilah sedap! ><, Suami tak berapa sukakan kek, jadi kami gantikan dengan bingka labu yang sangat comel. Semuanya suami makan dengan penuh berselera. Kembang kuncup hati tahan rasa bangga. Tahulah aku jarang-jarang masak, jadi bila sesekali ada peluang masak, dan orang makan dengan seleranya, rasa bangga berbunga-bunga! ><,

Alhamdulillah. Selamat semuanya berkubur dalam perut! ><,
Lahaiii sayang aku ni. Tahun lepas berseluar askar jugak! Haihh anak bekas askar nih!
Maaflah. Suami aku ni memang bukan hobi dia untuk bergambar. Dia menyampah dengan manusia yang kerjanya asyik bergambar. Allah maha adil. Kahwin dengan manusia yang bergambar tu menjadi kerjaya utama. Ekekeke. Sengaja buat muka minta penampar macam ini. Tak apa. Aku uploadkan juga. Kehkeh! ><,
Suamiku,

Selamat hari lahir yang ke 31, sayang. Teruslah menjadi imamku. Berikanlah aku dan anak - anakmu hidup yang baik. Tidak mewah pun tidak mengapa asalkan engkau sentiasa mahu berusaha. Teruslah menjadi imam kepadaku dan kepada anak - anakmu. Terima kasih suami, kerana engkau memilih untuk menghabiskan hidupmu yang seterusnya bersamaku. Ah perkataan 'Cinta' itu terlalu picisan jika mahu dibandingkan betapa besarnya kesyukuranku mempersuamikan mu.

Yang tulus ikhlas menyintaimu,
Isterimu yang tercantik sedunia.

Dah. Babai!

Read More»

Semangat Jepun Aku Bawa!

Assalamualaikum. Warga Bumi yang dikasihi sekalian. Saya bercakap bagi pihak penduduk Planet Nameck. Apa? Terasa mahu membaling saya dengan objek berat? Jangan terlalu kejam. Saya cuma bergurau. Haha. Hari pertama kembali ke sekolah dilalui dengan bagus sekali. Alhamdulillah. Bangun pagi dengan ceria, bermake up dengan ceria. Lahaii sambil menyanyi-nyayi lagi pulak. Biasalah hari pertama. Semuanya bersemangat. Kita lihat entry di bulan enam nanti, adakah semangat masih sekuat harimau. Ekeke.

Sampai sekolah dengan perasaan yang bercampur-baur. Happy, teruja jumpa kawan-kawan, bersemangat nak menjalankan tanggungjawab hakiki sebagai pendidik, nak masuk semula circle bergosip yang setiap masa ahlinya bertukar, nak denda students lari padang, nak makan free hasil mengepow cikgu-cikgu SESEGA yang baik hati. Ah banyak benda yang buat aku rindu sebenarnya. Dan yang terpaling aku rindu, aku nak tengok semula muka-muka manusia yang aku rindu. Banyaknya aku guna perkataan rindu. Ya. Pucuk pangkalnya aku rindu. Itulah.

Meeting, bila pulak dia menjadi perkara yang menggembirakan. 98% emosi semasa bermeeting adalah bosan dan tertekan. Ketiadaan Wifi bukan menambah fokus, tapi buat jiwa semakin berantakan. Terbayang-bayang ayam goreng KFC yang gebu,empuk dan mungkin lebih sedap lagi kalau ianya free. Hasil memujuk Oat dengan muka lapar penuh simpati, Oat kata habis meeting nanti dia belanja aku makan KFC. Yeaaahoooo! Teruskan meeting wahai cikgu-cikgu!

Engkau orang kena tahu, ini bukan aku baca betul-betul.Aku berlakon saja tahu!

Alhamdulillah, kepada yang masih ingat doa aku dalam entry semalam, kalau boleh nak kelas yang baik-baik yang comel-comel yang mudah diuruskan dan mengurangkan tekanan. Alhamdulillah, dapat kelas 3RK2 tahun ini untuk ditadbir (Err ke untuk didera?). Masih kekal mengajar Form 3 secara sepenuh masa dan pure English. Manalah tahu kan pengurusan sengaja nak pedajal aku suruh ajar PJ ke ajar Pendidikan Islam ke, tercabut lutut aku nanti. Oh dan jadual aku tahun 2013 ni cantik sungguh. Ada masa untuk aku makan. bersolek, ke toilet malah kalau kata aku nak tiba-tiba berjongging ke, ada masa, ada masa. Sempatlah aku bernafas. Jadual tahun lepas, pheww aku nak kentut pun tak ada masa macamana?

Buku rekod mengajar. Sayew janji nak tulis dia cecantik dan sampul dia cecantik sangat! Pink maybe! Ekeke!
Hai anak murid! Kalau kelas kamu ada dalam jadual ni maknanya tahun depan kamu jumpa teacher!! >< (Lambai tangan)

Sampai ke part yang terpaling mengujakan. Punyalah banyak manusia dalam SESEGA tu, macamana nama kaki bangku macam aku boleh terselit jadi ketua rumah sukan tahun depan? Gulp! Janganlah rekod kejohanan yang selama ni rumah aku pertahankan, dijahanamkan oleh aku. Berpeluh! Tapi tak apa, insyaALLAH tugas ini akan digalas dengan penuh tanggungjawab dan amanah insyaALLAH. Kena mohon tunjuk ajar daripada Yoda-yoda terdahulu.

Phewww!

Harapan untuk tahun hadapan, tak lain tak bukan nak berkerja dengan lebih produktif dan amanah. Jujur. Nak cari rezeki yang barokah. Bukan setakat datang kerja nak melagha dan melantak gaji buta at the end of the day. Ini sebahagian daripada ibadah aku, mendidik anak bangsa, juga sebagai jihad aku dijalan Allah dengan cara yang tersendiri. Tak ada lain yang lebih membahagiakan daripada melihat anak-anak murid menjadi manusia berguna, pintar dan beriman. Insyaallah.

Im ready, insyaALLAH. Bring it on, 2013! ><

Dah. Babai!

Read More»

Selamat Menjejak Kaki Size 8 Ini Ke Sekolah

Assalamualaikum. Mata tak boleh nak lelap padahal dari tadi aku dah paksa dia untuk tidur sambil memujuk hati , kawtim sikit-sikit, sedarkan dia yang bahawasanya esok adalah hari sekolah telah bermula untuk kami warga-warga pendidik yang bewibawa. (Cakap macam Yang Berhormat). Sebenarnya perasaan bercampur baur. Sisi guru yang berwibawa sepakat membawa berkat mengatakan yang aku sangat gembira kerana bakal bersekolah semula. Sementara sisi yang sedikit jahanam pula of courselah masih bermalas-malasan nak bergelumang diatas katil sambil berselubung makan keropok dan membaca novel Fixi.

Baju dah gosok, tudung dah gosok, handbag dah sediakan. Tinggal bangun pagi mandi dan pergi kesekolah dengan hati yang bersuka ria. Nak tambah lagi lejen, esok siap ada driver datang rumah jemput aku pergi sekolah. Haa nampak tak betapa VIP nya aku dasawarsa ini. Datang sekolah pun nak kena berjemput bagai. Kalau aku demand kompang dengan red carpet, engkau orang rasa, objek apa yang bakal dibaling ke aku?

Wahai mata. Silalah mengantuk! Esok nak bangun pagi, nak mandi, nak make up. Dah sebulan aku tinggalkan rutin mandi seawal 6 pagi. Patutlah muka berkedut, aku tak mandi pagi rupanya. Ada kaitan ke tidak eh?

Dan oh, membuat persiapan mental yang rapi kalau kata esok ada manusia yang mendakwa aku gemuk dan menternak lemak sepanjang cuti ini. Aku bertekad, kalau ada yang kata aku gemuk, aku..aku..aku biarkan ajelah. Ini dah sampai tahap pasrah dan redo dah ni. Dah tak larat nak sentap-sentap pasal isu gemuk dah ni. --"

Kalau kata aku ditaqdirkan menjadi guru kelas lagi untuk tahun 2013 ni, Ya Allah semoga aku dapat kelas yang baik-baik, murudnya comel-comel dan mendengar kata macam anak-anak aku tahun ni. Lahaii rindu pulak dengan anak-anak 3D. Sudahlah comel-comel, nakal-nakal pun mendengar kata. Kadang-kadang kena bebel jugak! Kehkeh!


Semoga 2013 nanti, aku dapat memperbaiki diri dan menjadi guru yang disegani, dihormati, disayangi dan diingati. Insyaallah. Amin ya rabb!

Tidur.

Dah. Babai!

Read More»

Special Edition : Snippet 'Malaikat Kedua' - Bab 4 (DOA)

Assalamualaikum. Pheww berdebar jugak nak share benda ni dekat sini. Tapi, ah aku share ajelah. Mana tau engkau orang suka kan. Kalau tak suka pun tak apa. Aku just buat untuk suka-suka. Bahahaha. Aku ada tulis satu novel, lahaii macam bodoh aje ayat tulis novel konon! Kakaka. Aku bagi tajuk dia 'Malaikat Kedua'. Kenapa? Nanti masa sidang akhbar novel aku, aku bagitahulah kenapa. Kahkah. Berangan. Aku nak share sikit Bab 4 Malaikat Kedua ni kat sini. So, engkau orang, bolehlah membaca dengan aman ya. Kahkah. Dahlah aku nak sorok masuk bilik nih! Malu!


BAB 4 (DOA)


“Ya Allah, Kau yang memberi rasa dalam jiwaku ini untuknya tanpa aku minta. Aku mengawal, aku menidakkan, bahkan aku meminta Kau untuk membantu aku melupakan, malah Kau semakin kuatkan rasa cintaku padanya, kau suburkan perasaan ingin memunya dalam hati aku kepada dia, Kau cambahkan rasa kasih dan sayang untuk seseorang yang tak akan mungkin menjadi milikku melainkan dengan kekuasaanMu Ya Allah.

Bantulah aku Ya Allah. Engkau pemilik cinta maka bantulah aku membuang rasa cinta ini daripada jiwaku Ya Allah. Bantulah aku mentadbir perasaanku, bantulah aku membuang kenangan – kenangan ku Ya Allah. Bantulah aku bangkit dan mencari cinta sebenarku Ya Allah. Bantulah aku menemui cintaku yang mencintaiMu Ya Allah.”

Tanpa sedar. Dipipinya mengalir airmata. Airmata kecelaruan yang tumpah sama ada kerana doanya kepada Yang Maha Pencipta sebentar tadi atau airmata kerana menahan kerinduan yang terlalu mendesak – desak hati untuk menjadi lemah. Di atas sejadah, dia menemui kekuatan. Diatas sejadah juga dia mengalah menjadi lemah. Dihadapan Pencipta Agung, airmatanya sejak – sejak ini mudah sangat tumpah dan membasah pipi. Dikesat dengan hujung lengan. Kepala masih tertunduk. Muhasabah kekhilafan lalu. Bangkit mahu menjadi hamba yang sebenar hamba. Yang penuh sifat redha. Tafsiran surah Al-Baqarah ayat 286 menerjah otak secara tiba – tiba. “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” Ah bukan setakat dalam surah Al-Baqarah saja, malah bersepah – sepah didalam Al Quran, dalam surah Al –A’raf ayat 42, dalam surah Al Mu’minun ayat 62 dan banyak lagi ayat – ayat Allah yang menyatakan manusia tak akan diuji melebihi apa yang dia mampu. Jadi dia yakin, dia mampu untuk menghadapi semua ini. Semua ini.

Bersangka baik sentiasa kepada Allah. Pesan ibu. Jangan fikir jika Allah menguji kita maknanya Allah tak sayang. Itu tanda Allah mahu meningkatkan keimanan kita. Ah suara ibu terngiang – ngiang. Serentak itu juga wajah yang berbulan hilang dari pandangan mata, muncul dalam entiti yang tak berwujud. Sulha mengalah menjadi lemah. Kalah kepada kenangan. Kalau kenangan itu boleh dipadam, diliquid, didelete, dia orang pertama yang akan melakukannya. Tapi kenangan itu walaupun terlalu melukakan, ia terlalu indah untuk dilupakan. Kenangan yang ketika dia bersendiri, kenangan itu yang memberi semangat, menjadi teman. Hidupnya hanya disandar pada kenangan. Kenangan yang ah. Tak semua orang bertuah untuk punya kenangan sebegini rupa. Wajah semakin menjelas. Wajah seorang wanita sedang tersenyum. Dua pipinya menggunung. Mata mengecil. Lekuk dipipi kiri. Senyuman yang seringkali didakwa tidak sempurna, tetapi senyuman itu yang membuat jiwanya tertabrak lalu sejak itu senyuman itu menjadi penguat jiwa. Pelemah juga.

Inilah padah bercinta belum sampai masanya. Padah juga bercinta dengan orang yang salah. Padan muka aku. Hati berdialog sendiri. Eh bercinta ke namanya kalau cuma sebelah pihak saja yang menyulam rasa. Sebelah pihak lagi? Entah. Sulha menyeka mata yang dikira – kira mahu membanjir lagi. Tak pernah seumur hidup menangis kerana perempuan. Salahkah aku menangis kerana perempuan? Kerana aku lelaki, maka aku tak boleh menangis untuk sesuatu yang dianggap lemah? Sejak bila airmata menjadi batu tanda kuat lemah seseorang. Kalau begitu, kenapa bila kita terlampau gembira, airmata juga yang memuncul rupa? Kenapa? Sulha meraup dua tapak tangan ke wajah. Menyeka dan menyapu sisa – sisa airmata. Sejadah dilipat dua sebelum di susun di atas rak khas. Matanya terpandang kitab suci Allah di rak yang satu lagi. Diambil satu lalu dia memilih sudut melabuh punggung. Berdehem kecil. Membetulkan suara. Dibukanya surah At – Taubah. Suaranya bergetar mengalun ayat – ayat Allah. Terhenti seketika. Berperang dengan emosi. Dan pembacaan diteruskan lagi. Payahnya mengubat jiwa yang luka. Allah ada. Allah ada. Pujuk hatinya. Sampai ke ayat yang terakhir, jiwanya berombak menahan sebak yang tiba – tiba menggila. 

“Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka katakanlah (wahai Muhammad): "Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri, dan Dia lah yang mempunyai Arasy yang besar."

Sebak menggila , namun airmatanya tidak tumpah. Hebat bukan. Sampai satu tahap, terlalu luka dan berduka, tiada airmata yang tumpah. Tiada. Walau setitik. Kitab Allah dikucup lembut, dan serentak itu bahunya dipegang dari belakang. Sulha menoleh. Taariq.

“Aku,minta maaf.”
“Takde apa yang aku nak maafkan.”
“Aku kat kantin tadi mulut tak jaga.”
“Selama ni pun macam itu.”
“Aku minta maaflah Sulha. Salah aku. Selama ni pun memang salah aku.”
“Takda apalah. Aku, emosi.”
“Aku tanya soalan bodoh.”
“Yang tak pernah pandai.”
“Maaf, Sulha.”
“Lama dah kau dekat sini?”
“Dari permulaan At – Taubah tadi.”
“Apasal kau tak join sekali?”
“Suara kau sedap sangat. Aku rendah diri” Senyum.
Berbalas.
“Sulha, jomlah balik. Atau kau nak lepak library? Study?”
“Aku nak baliklah. Aku, penat.”
“Okay Sulha. Kita balik.”

Sulha pulangkan Al- Quran ke rak, menggalas beg lalu duduk ditangga surau. Memakai kasut. Diikuti Taariq dibelakang.

“Kau dah Zuhur dah?”
“Dah tadi. Masa kau khusyuk mengaji.”
Mereka berjalan beriringan ke tempat menunggu bas. Berpuluh langkah dan masih diam begitu. Terik matahari jam tiga membakar kulit mereka. Peluh kecil memercik didahi.Taariq mencuri pandang kearah Sulha. Terseringai menahan terik mentari. Merah – merah muncul dipipi.

“Sulha, aku minta maaf tahu?”
“Selama ni kau minta, ada aku tak pernah beri?”

Taariq tunduk sambil tersenyum.

“Brotherhoodlah Taariq, brotherhood. Kawan lagi penting daripada awek!” Sulha tersenyum kecil. Motto hidup manusia looser macam dia. Macam dia dan Taariq. Macam dia, Taariq, Ahmad Izzuril, Hezwan malah berpuluh – puluh lagi lelaki yang kononnya brotherhood bisa menumbang perilaku – perilaku bodoh yang bakal terjadi kerana cinta. Kerana perempuan. Hakikatnya, itu cuma doktrin bodoh yang digunapakai ketika lelaki tak punya siapa – siapa. Once bila mereka sudah bertemu jiwa dengan pasangan berlainan jantina, kawan ke mana, brotherhood kemana. Kesetiaan dicurah melebihi kesetiaan kepada bangsa dan negara macam dalam Rukun Negara. Tahi semua tu. Tahi. Dan petang itu Sulha memilih untuk menjadikan doktrin bodoh itu pegangan seketika. Walaupun hatinya luka dek kata – kata Taariq, dek ketidak sensitifan Taariq terhadap sejarah cintanya, dia mempersetankan semua itu. Dan memilih untuk memperjuang brotherhood yang entah apa hala tujunya.

Bersalaman. Bahu Sulha ditepuk – tepuk. Mungkin Taariq merasa jiwa Sulha sudah disembuh sepenuhnya. Hakikatnya tidak. Jiwa Sulha sebenarnya semakin terjera. Cuma Sulha bijak menyembunyikan. Jauh – jauh dalam hatinya yang terpaling dalam. Yang setakat ini cuma Taariq yang mampu menyelam. Itupun separuh jalan. Tak mengapa. Asalkan Sulha mampu hidup seperti manusia biasa. Dan bukan seperti setengah – setengah lelaki yang memilih untuk menjadi bangsat kerana kecewa bercinta. Bukan mahu memperbaiki diri, tapi memilih untuk membunuh diri. Sulha bukan begitu. Dalam kelemahan, dia temui kekuatan. Dan Taariq akan sentiasa pastikan, saat – saat jiwa Sulha lemah ditabrak cinta, Taariq akan sentiasa ada. Ada untuk, entah. Mungkin tak membantu banyak. Mungkin cuma ada untuk saja – saja. Tak mengapa. Asalkan bila Taariq diperlukan dan dia ada untuk Sulha. InsyaALLAH. Itu brotherhood bagi Taariq. Walaupun ada satu hal yang dia mengengkeng membantah habis – habisan, dalam hal yang lain, dia akan sentiasa menjadi sosok pendukung. Cuma satu hal itu, satu hal itu yang Taariq takkan mampu menjadi faktor penguat.

Hal Sulha Mujaheed yang dalam diam mencintai perempuan itu.

Itu, tidak akan.



Dah habis. Nak tahu cerita lengkap, belilah novel aku! ><

Dah.Babai! 

Read More»

Memanusiakan Orang. Itu Nawaitu Aku Selama Ini.

Assalamualaikum. Mesej masuk bertalu-talu di handset dan inbox di Facebook. Bila aku pandang, nama pengirim, nama-nama yang aku sayang, serta-merta aku dihumban satu perasaan yang entah macamana aku nak describekan. Aku buka satu-satu mesej di handset. Ada yang cuma dua baris. Ada yang panjang berjela. Tapi semuanya meluah rasa yang sama. Aku tarik nafas. Cuba nak membuang emosi - emosi sedih yang dari pagi menyetan dalam hati dalam jiwa. Bila tunjuk bersujud, setan hilang sekejap. Usai solat, setan berkampung datang. Ah. Aku baca lagi mesej satu-satu. Baca. Dan biarkan.

Teacher, maafkan saya tak dapat tunaikan janji saya untuk score A untuk English.

Walaupun ditulis dalam ayat yang berbeza-beza, tapi semua mesej memusat kepada point yang sama. Sebaris ayat yang kalau aku baca berapa kali pun tetap akan menghadiahkan aku satu perasaan sayu yang kalau dilayan mungkin berakhir dengan tangisan yang mengikis rasa macho yang tebal dalam hati aku. Begitulah. Kekecewaan seorang dan lebih dari seorang anak murid yang mengkhuatiri kehampaan aku bila mana mereka tidak dapat memberikan gred yang aku harap-harapkan untuk subjek aku.

Hampa? Ada. Kecewa? Ada. Tapi, semua tu hanya untuk 5 nanosaat sahaja. Dan kemudian perasaan hampa dan kecewa tu aku gantikan dengan rasa bersyukur yang tak terhingga kepada Maha Pencipta. Kerana aku yakin, setiap apa yang diberikan tak pernah disulam dengan kebetulan. Aku cuba melukis konsep redha dalam hati. Walaupun payah terpaksa ber'battle' dengan fikiran-fikiran keji, tapi cuba ajelah sedaya upaya. Yakin bahawa apa yang Allah beri tak ada langsung niat untuk menzalimi. Mana. Allah sayang kita. Kita bukan dizalimi. Kita sebenarnya sedang diuji.


Memanusiakan mereka. Memanusiakan dengan erti kata ada sifat-sifat baik yang aku tanamkan dalam diri mereka selama aku mengajar yang mengubah mereka menjadi manusia yang jauh lebih baik. Memanusiakan mereka dengan erti kata mereka menjadi manusia yang menghormati manusia yang lain, yang selalu ingat dengan pencipta, yang membesar dengan nilai-nilai murni dalam diri mereka. Dan aku tahu, anak-anak didikan aku insyaALLAH masing-masing ada sifat- sifat ni dalam diri mereka. Dan kalau mereka berjaya dari segi ini, gred yang bukan A itu, tolak ketepi.

Aku akan sentiasa bangga dengan mereka. Sebab aku tahu mereka dah berusaha. Kita dah sama - sama berusaha. Kita dah berdoa. Bertawakal. Dan sekarang, mari kita sama - sama redha. Masih banyak peluang untuk kita tebus balik kejayaan yang terlepas sekejap dari genggaman. Kita sama - sama ingat, saat Allah kirimkan kita kegagalan walaupun kita dah berusaha bagai nak gila, Allah sebenarnya sedang berbicara dengan kita. Berbicara secara terus, mengingatkan kita supaya jangan riak dan leka dengan usaha kita. Supaya ikhlas dalam setiap apa yang kita lakukan dan niatkan. Dan untuk kita sentiasa meyakini, bahawa apapun perancangan manusia, perancangan Allah itulah yang benar lagi hakiki. Sebaik - baiknya. Sampai bila pun, aku akan sentiasa bangga dengan setiap satu jiwa yang pernah aku curahkan bakti dan ilmu. Apapun. Aku bangga.

Kepada yang berjaya, tahniah sangat - sangat. Aku, tumpang bangga sikit je. Tak banyak. Sikit aje. Bangga 6 saat aje. Lepas tu, rasa bangga tu aku pulang semula dekat diorang semua. Alhamdulillah. Tahniah Aini - Miss Cynical yang selalu bawak lari handphone HTC aku entah kemana - mana tau-tau aje bateri dah weak --" Yang selalu bagi remarks sinis sampai kau rasa macam nak sumbat mulu dia dia pokok semalu. Haha. Anda akan dirindu. Tahniah Nada. Sisopan santun yang selalu nak tendang dan pijak kaki orang. Yang cita-citanya mahu jadi pakar O&G muslim yang disegani. Tahniah Nadhirah Hanim yang macam Lisa Surihani. Ekeke. Tak banyak bercakap. Banyak sengih. Tahniah Lutfi yang rare sedunia. Yang sukaaaa baca buku English dan accent American nya sangat ohemjaaayyy. Tahniah Shuhada yang selalu concern pasal jerawat-jerawatnya. Tahniah Madiha yang selalu duduk diam tapi bila hantar essay panjang berjela-jela, yang tekun dalam kelas setiap masa. Dan tahniah Abdullah Tahir. Yang dah banyak membuka mata, mengubah persepsi aku melihat dunia 360darjah. Tahniah. Dan kepada 14 orang yang lainnya dari kelas 3RK1, tahniah! ><

Semoga setiap langkah yang diambil menuju kejayaan, dilimpahi rahmat kasih sayang dan barokah dari Allah SWT. Amin Ya Rabb.

Dah. Babai!

Read More»

Sujud Syukur

Assalamualaikum. Kalau kita tengah gembira gila - gila, dapat rezeki yang tak disangka-sangka atau terlepas daripada bahaya atau kesusahanlah katakan, instead of bersorak kegembiraan dan menjerit "Yess! Yesss!" dengan begitu sajak sekali, ataupun melompat - lompat dengan penuh kemanjaan (Bagi yang perempuan) adalah baiknya kita buat satu perkara yang ditinggalkan / sunnah baginda Rasulullah kepada umat yang baginda sayang sangat - sangat ni. Iaitu dengan melakukan sujud syukur.

Dulu, aku ingat sujud syukur ni susah. Tapi sebenarnya ia sangat senang untuk dilakukan dengan beberapa syarat mudah yang kita harus patuhi. Senang. ><,

Rukunnya 

1 Niat 
2 Takbiratulihram 
3 Sujud 
4 Memberi salam 

Syarat-syaratnya 

a. Suci dari hadas besar dan kecil 
b. Suci dari najis samaada di badan, pakaian dan tempat 
c. Menghadap ke kiblat 
d. Menutup aurat 

(Tidak berwudhu pun tak ada hal)


Cara-cara melakukannya. 

Pertama : Niat, SAHAJA AKU SUJUD SYUKUR KERANA ALLAH TAALA 
Kedua : Mengangkat takbiratulihram, ( ALLAHUAKBAR
Ketiga : Sujud, sepertimana sujud dalam Solat 

Bacaan dalam sujud 


1. SUBHANALLAH WALHAMDULILLAH WALA ILAHA ILLALLAH HUWALLAHU AKBAR (3x)

2. Kemudian berdoa di dalam hati dalam bahasa melayu (Peringatan kalau dilafazkan dalam bahasa melayu batal sujud syukur tersebut



Anak - anak didik, mana yang dapat keputusan PMR yang cemerlang esok, tak salah rasanya kalau mahu bersujud syukur beramai- ramai. Rasa gembira yang datang dari Allah, maka kepadaNya jualah yang paling layak kita kembalikan rasa syukur kita. Amin! ><,

Eceh aku dah macam Ustazah! Ekeke!

Dah. Babai!
 

Read More»

PMR 1998

Bayangkan, nak type tajuk entry saja airmata dah berjujuran mengenangkan umur sendiri dah layak duduk muzium. Tapi tak apalah. Umur hanya pada angka. Kembali ke intipati entri yang asal.

Assalamualaikum. Sempena nak menghiburkan anak - anak didik yang sekarang mungkin sedang ketakutan dan mengupdate status Twitter masing - masing secara pukal menyatakan betapa cuaknya masing - masing dengan results yang bakal keluar Rabu ni, maka meh aku kongsikan serba sedikit macamana cikgu dia orang ni berdepan dengan hakikat mengambil keputusan PMR 1998. Engkau orang jangan ingat jaman aku dulu takada PMR okay. Kami dah moden jaman itu.

Okay. Nak kata aku seram results nak keluar, aku rileks aje sebab aku yakin yang aku memang takkan memasal nak dapat 8A melainkan kertas jawapan aku tertukar ke atau mesin OMR yang check kertas jawapan aku tu tiba-tiba jadi tongong ke apa. Belum-belum lagi kertas Math memang ketawakan aku tonggeng-tonggenglah sebab jawapan dia 95% aku hantam. Nampak tak betapa gonjolnya aku waktu itu. Belajar macam musibat. Sedih cikgu Maths aku pada waktu itu yang namanya pun aku sudah lupa. --" Biasa ah. Budak tak semenggah macam aku, manalah cikgu nak pandang time tu. Nak bergurau dengan aku pun geli - geli agaknya. Okay, so Maths memang tak boleh nak diharapkan, tinggal 7 subjek yang lain. (Tapi 7 subjek yang lain tu pun aku segan - segan nak target kecuali English. Yes, English. Pejam mata. Ekeke)

So pagi hari kejadian tu, aku selamba ajelah dengan kawan - kawan pergi sekolah ambil keputusan PMR. Oh lupa nak bagitau, aku dulu kelas paling depan. Kelas 3A1 gua cakap sama lu. Kelas depan tapi aku punya IQ sesuai duduk kelas paling belakang. --" So bila kelas depan ni semua budak dan cikgu - cikgu akan usha kau macam kau ni otak Einstein walaupun hakikatnya tu semua lakonan semata - mata. Bayangkan, muka yakin macam pelajar harapan, beratur siap paling depan. Bila sampai turn ambil results. Muka yakin, tanya cikgu "Cikgu, ada lebih 6 A tak?" 6A kepala hotak kau.

Yang cikgu aku ni pun main - mainkan aku. Dia tutup results aku sambil buka sikit - sikit. Buka BM, peh A. Aku dah senyum melebar dah. English pulak. Eh A lagi. Dalam hati dah mula riak ni. Siap main angkat - angkat kening dengan kawan belakang aku. Sekali dia bukak lagi, eh B. Lagi bukak, eh B lagi dan B jugaklah seterusnya sampailah ke paper Sains dapat C. Cantik betul results aku 2A5B1C. Amacam? Budak kelas belakang pun results ada yang lebih bagus melantun - lantun dari aku. Aku relaks aje time tu. Tak fikir apa lagi. Masa depan pun kabur - kabur. 

Tapi aku tak rasa aku dizalimi dengan keputusan aku tu. Aku malas belajar. Dah tau bodoh Maths dengan Sains, belajarlah rajin - rajin. Aku tak salahkan Emak Abah yang tak mampu nak belikan aku buku rujukan apa - apa time tu. Kawan - kawan mana yang anak emak bapak kerja best memang  berkoyan buku rujukan, aku cuma mengharap nota cikgu bagi, buku teks dengan nota kawan - kawan Cina. Itu ajelah. Nak jejak library memang haram. Library sekolah time tu bukan macam sekarang. After school haram nak masuk cikgu tak kasi. Takut buku bersepah ke apa aku taktaulah. Tapi itulah. Buku latihan mana mampu beli. Kerja rumah bila tak tahu buat bukan boleh SMS ke Tweet kawan - kawan ke open discussion dalam Facebook macam budak - budak sekarang buat. Takdee. Kawan pulak jenis yang rumah sorang sebatu. Jauh. Takkan nak kayuh basikal. Motor mana ada. Bebudak sekarang motor macam alah picisan. Takde hal. Dulu lain. Semua kena usaha sendiri. Dan itulah usaha aku. Yang tak seberapa. Dan itulah yang Allah beri pada aku. Alhamdulillah. Dunia belum berakhir.

Kalau nak difikirkan rendah diri, pheww aku rasa memang dah dalam tanah dah aku. Kawan - kawan A semua berbakul-bakul. Aku pulak A cuma dua ketul. Bila tunjuk dengan Emak Abah boleh pulak diorang buat muka "Whatever!" Okay fine. Jadi tekanan dah tak ada dari pihak Emak Abah aku. Kehkeh. Phew. Menarik nafas lega. Cuma kecewa sikit - sikit tu adalah. Menyesal tak belajar rajin - rajin. Rasa eh apasallah aku tak tanya cikgu dengan lebih kerap ke apakan. Ah menyesal kemudian baik bubuh dalam longkang. Sekarang, fikir masa depan yang kabur - kabur tadi tu.

That's why aku ingatkan anak - anak murid aku banyak kali. Dia orang beruntung sekarang ni. Semua pihak bantu diorang. Kelas tambahan bersepah. Zaman aku? Mana dapat. Tuisyen melambak tapi semua tu pakai duit. Aku buku pun tak mampu beli, lagi kan tusiyen? Buat geli-geli telinga Emak aku aje kalau dengar kata aku nak minta tuisyen. Budak sekarang rata - rata semua tuisyen. Dengan teknologi lagi. Internet. Semua benda boleh Google. Handset. Kenderaan untuk jumpa kawan buat study group. Semua ada wehhh. Apa lagi yang tak cukup. Tinggal nak dengan tak nak aje.

Then cikgu - cikgu zaman sekarang semua baik-baik. Peramah habis. Dulu, cikgu kita orang baru tanya sikit dah kena jeling macam nak dilempang. Kalau ikut masuk bilik guru nanti kena nganjing. Nak dilayannya budak-budak yang baik-baik yang pandai-pandai aje. Kalau muka aku yang tanya confirm kena maki agaknya. Bengap apa tak faham-faham. Agaknyalah. Tak semua. Ada jugak yang baik. Cikgu English aku baik. Puan Bhanoo. Gempak gila. Suka puji aku pandai. Sebab subjek itu ajelah yang aku pandai pun. Kakaka. Yang lain - lain, nama diorang pun aku tak ingat. Budak sekarang untung, lagi-lagi anak murid akulah untung, pandai ke kelas belakang ke aku layan saksama. Ramah tamah. Ceh, sila rasa bertuah masing - masing sekarang. Ekeke.



Jadinya kepada anak - anak murid aku yang bakal mengambil results hari rabu ni, tabahkan hati. Dan redha. Sentiasa ingat. Apa yang kita dapat adalah apa yang kita usahakan. Tak kurang tak lebih. Allah kan adil. Yang berjaya, tahniah. Dah start boleh merancang masa depan. Yang gagal, jangan terjun kerusi tapi bangkit dari kegagalan. Muhasabah diri dan ubah cara belajar, cara pergaulan, banyak aspeklah. Yang penting, yang paling penting, apapun, terpenting sekali JANGAN PUTUS ASA. Okay? Ramai yang sayang kita dan akan bantu kita. Insyaallah. And hey you know what, Allah, tak pernah tinggalkan kita sendiri. Yakinlah! Insyaallah! ><,

Nah. Ini muka aku masa Form 3. Pengawas kau! *Flips hair*

SELAMAT MAJU JAYA SEMUA! *Waving*

Dah. Babai!

Read More»

Cikgu Kemas Students Pun Semangat Nak Belajar

Assalamualaikum. Cuti sekolah dah nak habis dan selaku cikgu awesome yang berbakti untuk rakyat , malah sejak akhir - akhir ini menggelarkan diri sendiri sebagai 'The Green Lantern' (nsvsu#^#*!(!)~!!) aku memang tak sabar nak naik sekolah semula. Tapi itulah sebelum naik sekolah kena ambil keputusan PMR dulu kan (Macamlah aku yang exam. Tapi stressnya melampau - lampau melebih students pulak!) dan terpaksa melalui beberapa siri meeting yang pastinya cap jempol. Haha. Mental kena kuat nak pergi meeting lepas tu sila gilap semula kebolehan speaking secara berhabuknya sebab cuti ni aku banyak lenjan novel - novel #lejenpress so bahasa aku pun cantik habis dah ni. Kakaka.

Oh sebut pasal dah nak buka sekolah ni, hari tu sempena mendapat duit menjaga PMR aku belilah baju - baju untuk pergi mengajar tahun hadapan. Disamping revamp baju - baju lama, kiranya almari baju sekarang sudah ada space untuk menerima baju - baju baru. Kita nak mengajar ni kena semangat sikit, kena cantik cantik kemas kemas, students pun ghairah nak belajar insyaallah. Tak semestinya kena pakai baju mahal - mahal baru mampu tampil anggun, tengok baju - baju aku, murah-murah belaka. Kakaka aku kan cheapskate yang terhormat. Yang penting, kemas dan menutup aurat. ><

Mula-mula nak memborong di Jakel tetapi Jakel punya baju semua macam brrr sejuk sejuk coraknya. Tak hot langsung. Lepas itu banyak yang chiffon. Chiffon nak kena lining lagi. Misi kita nak mencari baju yang murah dan cantik. Kalau kena beli kain lining macamana nak mencapai objektif misi kan. Jadi kita kena bertindak bijak dengan menerjah kedai - kedai kain yang biasa - biasa tu. Haa rupanya dia orang pun buat jualan murah juga. Kain yang biasanya RM25 semeter semua dah jadi macam RM15 ke RM12 gitu. Memang tak pandang kiri kanan lagi dah. 

Macam biasa, aku kalau membeli kain untuk dibuat baju, kalau tak ada yang corak bulat-bulat memang tak sah. Sampaikan Emak pun dah menyampah. Eh Emak pandai pulak nak menyampah-nyampah dengan aku. Walaupun corak bulat-bulat membuatkan aku yang gemuk bertambah gemuk tapi kebahagiaan yang datang setiap kali aku dibaluti cecorak polkadots tersebut tak dapat disangkal lagi. Sorga. So, rembat dua helai yang bercorak begitu. Sekian terima kasih. Juga tiga helai Italian Viscose yang corak dia emphhh alahai comelnya comelnya dengan dua helai lagi corak bebas. Ya, itu saja.

Yang tiga helai dekat bawah tu viscose . Kain dia sejuk. So aku yakin beliau selesa untuk dipakai.

Tahun ini, cheapskater punya misi adalah untuk menjimatkan duit seberapa yang boleh. Kakaka. Jadi aku cuma beli kain - kain untuk dibuat baju saja instead of beli sepasang. Maknanya aku beli 2 meter saja cukup-cukup untuk dibuat baju. Kainnya nanti rotatekan aje dengan kain plain yang aku sudah sedia ada. Bahaha. Nampak tak politik dia. Memudahkan Emak juga untuk proses menjahit. Jadi baju pun cepat siap. Kainnya nanti nak cuba padankan dengan maxi skirt. Labuh dan rasanya cantik kot! Kakaka. Aku rasa cantiklah, tak tau orang lain tengok rasa macam nak lempang diri sendiri ke apa kan. Hidup kena berani mencuba.

First time aku ada baju warna kuning. Rasa - rasa macam comel juga. --"

Alahai rindunya nak kembali mengajar. Duduk rumah lama - lama bosan juga. Eh nanti bila dah naik sekolah sibuk pulak nak cuti. Rindu nak jumpa kawan - kawan pun ada sebenarnya. Haha. Rindu nak buat benda - benda lagha dengan partner in crime.Kakaka.
 
Rindu rindu rindu.

Sebelum naik sekolah kena set up mood dan niat supaya kerja menjadi lancar dan berpahala. Insyaallah. Sementara ni kita habiskan sisa sisa cuti sekolah dengan bergembira sepuas - puasnya! ><

p/s : 19hb Disember ni results PMR didakwa akan diumumkan. Okay, aku yang nervous!

Dah. Babai!

Read More»

Cerita Seram

Assalamualaikum . Malang apa entah nasib aku malam Jumaat lepas, aku ingat aku cukup gagah untuk membaca buku cerita seram malam malam macam tu. Rupanya ideologi aku bercanggah sekali dengan kemampuan aku mengawal perasaan takut. Tak guna. Yang akhirnya aku ended up tidur berasak dengan Adam dengan Emak. Emak aku pulak tak sporting, berdengkur. Apa lagi, memang aku tak tenang, tidur pukul 5 pagi jawabnya. Memang aku menyumpah dengan dahsyatnya dalam hati. Padan muka. Siapa suruh aku baca #CeritaSeram dengan Ketakutan. Memang betul - betul aku diselubungi rasa kocor yang teramat. Kocor ni bahasa Jawa, makna dia takut gila. Kakaka. Sempat pulak aku buka kelas bahasa dekat sini.



Alang - alang dah bukak cerita seram, aku nak kongsi pengalaman pengalaman angker aku sepanjang aku hidup. Tak banyak. Tapi cukuplah untuk dijadikan kenangan abadi sepanjang hayat. Kira kalau time - time camping unggun api dalam hutan malam - malam tu ada bahanlah aku nak story kalau ada sesi mari bercerita cerita hantu ke apa. Gila. Sebab tu aku tak pernah join benda - benda bodoh macam camping dalam hutan ke apa kan. Mintak mahaplah. Aku waras lagi kot.

So, ceritanya begini .

#1 Perempuan Pandang Dari Screen Laptop

Phew. Kau bayangkan, aku tulis tajuk aje dah seram. Belum lagi start cerita. Cemana? Okeh. Macam ini. Tahun 2011, aku mengajar sebelah petang. Tempat duduk aku ni pulak kawasan cikgu - cikgu belah pagi. So kalau lepas pukul 3 petang tu memang aku sorang - sorang duduk sini, yang lain semua dah balik dah.Aku sorang sorang buat kerja, melagha semua soranglah.

Nak dijadikan cerita (Ayat cliche macam biasa), satu petang tu aku tengah main Facebook. Kelas tak ada. Jadi macam biasa, macam pegawai kerajaan yang lain yang kononnya dituduh buang masa, aku termasuk sekalilah on Facebook lepas tu usha pepakwe kacak sini sana sambil buat kerja sia - sia. Kebetulan time tu hari baru nak start hujan. Dengan angin dia menggila , suasana dah start gelap gelap dah, angin dia memang paling tak boleh blah. Menderu - deru macam apa. Aku dah seram tapi tak terfikir apa. Tengok jam baru pukul 5.30 petang so macam ala chill la, apa benda aje boleh jadi pun kan.

Tapi memandangkan angin dah menggila, dengan petir kilat lagi bagi effect kaw - kaw punya, aku takut jugak kalau - kalau laptop aku kena petir ke rosak tak memasal ke kan, macamana aku nak meneruskan hobi melagha lagi kan. So aku pun mengambil keputusan bijak untuk off laptop demi masa depan aku sendiri. Masa aku dah off and tengah tunggu screen dia ni padam sepenuhnya, dekat sebelah kanan screen aku (Screen laptop kan macam cermin, boleh nampak view sekeliling kita) halamak sekali aku mengesan satu objek yang macam manusia rambut panjang tengah berdiri pandang bawah. Fine. Aku dah kusut.

Aku buat - buat tak pandang tapi dasar mata degil mintak pelempang, aku terus tengok 'kakak' tu sambil mata tak berkelip. Cubaan untuk membaca Ayat Kursi berjaya walaupun aku yakin tajwidnya lari entah kemana - mana. Tapi aku cuba tahan diri untuk tidak depress. Aku pandang tempat lain, dan bila aku pandang screen laptop tu 'kakak' tu macam makin dekat pulak koordinatnya dengan tempat duduk aku. Pundi kencing tak menyebelahi aku nampaknya. Time - time ni dia nak buat penampilan istimewa. Aku dah menggeletar kepala lutut. Subhanallah astaghfirullah. Aku nampak jelas 'kakak' ni. Rambut panjang tutup muka, baju lusuh lusuh, tak bergerak statik satu tempat. Aku nak pengsan tapi tak pengsan - pengsan. 

Perlahan - lahan aku tutup screen laptop dan aku rasa macam pergerakan sedang diperhatikan. Aku sebut "Allah Allah" dengan suara menggigil - gigil. Lutut longgar macam tak boleh nak jalan. Aku bangun perlahan - lahan dengan kaki yang bapak ah goyang - goyang. Sumpah aku rasa tak macho menggeletar sampai gigi rasa berlaga. Dengan ekor mata aku jeling belakang aku. 'Kakak' macam dah tak ada tapi hati tetap rasa macam celaka so aku rasa dia masih ada cuma main sorok - sorok. Takut kena sergah membabi buta, aku tak tunggu lama, terus pecut ke bilik sebelah dengan handbag , wallet, phone semua tinggal.

Bila suami jemput petang tu baru aku berani patah balik bilik sebelah sambil pandang kiri kanan. Dan agak nasib baiklah 'kakak' tu tak tunggu aku dekat situ. Phew phew!


#2 Perempuan Pandang Masa Tengah Tidur

Yang ini memang agak celaka sikit sebab dia kacau aku honeymoon. Kakaka. Cerita berlaku di negeri Melaka. Biasa ah pengantin baru kan, so check in hotel yang up sikitlah instead of rumah tumpangan Ah Yap ke apa. So pengantin baru yang kepenatan meronda bandar Melaka tidur awal tanpa melakukan apa - apa contohnya bermain dam ular ke apa eh apa kau mengarut ni? Masa tengah - tengah tidur tu, aku terjaga tiba - tiba dalam pukul berapa aku taktau sebab malas pula aku nak check jam handset. 

Dengan mata yang terpisat - pisat tu, elok aje aku nampak satu perempuan pakai baju ala ala vintage bunga bunga putih berdiri dekat hujung kaki. Rambut paras bahu muka tak nampak. Damn. Lama jugak dia berdiri macam tu aku pun tak tanya apa dia nak. Mula - mula aku macam tak seram sebab aku mamai - mamai sebenarnya. Aku kejut suami. Masa aku kejut tu, dia masih ada berdiri dekat hujung kaki, aku pandang suami untuk gerakkan dia dengan lebih membabi buta, bila aku pandang dia lagi, eh dah hilang. Fine.

Malam tu memang tak nyenyak sangat tidur. Aku macam rasa ada orang tengok dari arah siling. Sunyi dia pun lain macam. Entah datang dari mana bunyi angin menderu - deru buat aku rasa memang eh jahanam honeymoon aku. Nanti tiba - tiba dengar bunyi benda tajam carik - carik kat dinding macam datang dari bilik sebelah, tiba - tiba aku dengar bunyi benda berat diheret dekat luar pintu. Ah pissed off betul. Suami pun terkebil - kebil muka macam antara nak berfikir secara rasional atau kekal menerima benda - benda macam gitu. Akhirnya untuk mengurangkan rasa takut yang bengang, suami pasang TV buka kuat - kuat dan akhirnya kami tertidur . Penat.

Yang bestnya, bangun Subuh, ada 'orang' dah tolong matikan TV.

Nice.


Ha. Sebenarnya banyak lagi. Itu belum cerita aku nampak perempuan baik punya duduk atas bumbung rumah. Phew. Nanti - nanti aku share lagi. Aku sebenarnya takut takut berani ni. Kakakaka.

Allah juga sebaik - baik pelindung.

Dah. Babai!

Read More»