Friday, February 22, 2013

Selamat Datang Ke Ini Kursus, Cikgu!

Assalamualaikum. Sewaktu diberitakan yang aku kena juga menghadiri kursus Up-Skilling yang dijadualkan berlanjutan sehingga Disember tersebut, reaksi pertama aku adalah menjerit sekuat hati didalam hati dan menamakan satu binatang yang haram disentuh secara tak tentu hala. Aku terasa seperti diperbangang-bangangkan dengan sepenuh jiwa dan tenaga. Itu reaksi spontan manusia. Pondan juga mungkin memberikan reaksi yang sama jika beliau ditempat aku. Apa pula perkaitan antara hal aku dan pondan, tidaklah aku ketahui. Tapi ya. Begitulah. Aku terasa sungguh dipermain-mainkan.

Up-Skilling dijanjikan hanya untuk guru-guru yang gagal melepasi ujian Aptis. Tetapi apa pula ceritanya bila result Aptis belum keluar tapi aku sudah dimestikan menghadiri kursus terbabit secara mingguan? Remuk hati aku. Kemungkinan untuk aku gagal Aptis adalah sangat kelakar dan pongkes kerana aku rasa aku mensetelkan ujian tersebut dengan sekali henjut sahaja. Bukanlah hendak meriak. Celaka pula perangainya kalau meriak tak tentu hala. Tapi aku rasa ujian Aptis tersebut senangnya ibarat makan keropok ikan dan mengorek hidung dalam masa yang sama. Senang malah nikmat bukan? Tapi itulah. Dipendekkan cerita panjang yang berbelit dan anti-klimaksnya mengalahkan sinetron Indonesia, maka setiap hari Rabu dari jam 3-7 malam, aku diwajibkan berada di kursus terbabit. Kursus yang menjanjikan kecemerlangan dan peningkatan kewibawaan aku selaku guru bahasa Inggeris yang awesome kata orang kampung.

Pertama kali menjejak kaki ke kursus terbabit, perasaan mahu menangis dan berteriak sekuat hati tersangat menebal sekali. Aku pujuk-pujuk hati yang bertarung dengan nafsu sehtan supaya tidak membuas tak tentu hala. Aku terbayangkan anak dirumah, kerja yang melambak, game netball antara rumah sukan yang sedang berlangsung, kelas tambahan yang terpaksa aku korbankan, kerja-kerja menanda yang terbengkalai dan macam-macam lagi. Termasuklah memikirkan betapa 4 jam yang sepatutnya aku habiskan untuk macam-macam perkara itu bakal diragut secara eksyennya oleh lecturer bahasa yang diterbangkan khas dari Morocco. Pun begitu, aku gagal merasa teruja sebab aku bajet lecturer aku itu nantinya kacak dan melampai serupa Tom Cruise ke apa. Tidak rupanya.

Satu jam pertama dilalui dengan kemas dan padu sekali. Sesi mengenalkan diri masing-masing juga aku berjaya lalui dengan begitu eksyen sekali. Tidak cukup dengan sekadar eksyen dengan diri sendiri, sempat juga aku mempromotekan bahawasanya aku mempunyai seorang anak lelaki yang kacak. Jadi sudah menjadi double pula tahap ke-eksyenan aku. Malas betul nak layan. Habis sesi kenal mengenal ini, datang pula sesi buat latihan macam aku bagi dekat anak-anak murid aku dekat sekolah. Aku tak tahulah aku patut rasa bangga sebab soalan senang nak mati akupun aku harus menangis teresak-esak kerana merasa sungguh pongkes sekali. Aktiviti yang kacang goreng ini juga aku berjaya lalui dengan padu sekali.

Dan cabaran sebenar bermula sewaktu menanti jam bergerak dari angka 5 ke angka 7. Dengan kepala yang aku rasa mengembang dan menguncup serupa Jimmy Neutron, ditambah dengan perut yang lapar minta diisi, sekali dengan kebosanan tahap tenuk angkasa yang sukar aku gambarkan, aku terasa seperti mahu berdiri diatas kerusi dan menyanyikan lagu Najwa Latif. Dahsyat betul tekanan mental yang aku hadapi ketika itu. Habis bertarung emosi dengan lecturer Morocco yang pantang kalau handset berbunyi, dan juga tahap bosan yang bukan dibuat-buat akhirnya jam mencecah juga angka 7. Dan belum sempat lecturer Morocco aku itu menyampaikan amanat terakhir sebelum kelas bersurai, aku sudah pecut sekencang yang mungkin dan berdesup menghilang didalam Savvy lejen menghala ke Parit Yaani.

Ini bosan yang comel namanya. Oh dan hidung aku tak mancung rupanya --"

Aku sampai dekat rumah pukul 7.30 malam. Dan mujur hantu kopek belum punch card masuk kerja. Kalau tidak demam aku tak pasal-pasal. Apa ke halnya pulak anak dara balik rumah maghrib-maghrib cenggitu? Dan ini akan berlarutan sampai Disember nanti.

Kerja cikgu kan senang. Gaji besar. Ye dak?

Dah. Babai!

Saturday, February 16, 2013

.geek in the pink. Tersenarai 10 Blog Terbaik Malaysia

Assalamualaikum. Pertama kali diberitakan menduduki senarai 10 blogger terbaik Malaysia, perasaan ketika itu didalam hati adalah begitu champion dan padu sekali. Tersengih-sengih jugak aku selama beberapa saat sambil membayang-bayang ucapan macamana yang aku nak kasi kalau kata nanti aku kena naik pentas untuk ambil piala. Eh, terasa kurang pandai pula bila berangan sebegitu.

Aku ingat aku mungkinlah duduk dekat list paling bawah ke kan sebab kalau nak diambil kira daripada kandungan blog aku yang boleh tahan merepek ni, macam mustahil pulak nak duduk dekat tangga atas-atas. Tapi bila aku rujuk ke sini, rupanya aku duduk dekat ranking number tiga. Sungguh kemas sekali perasaan kembang kuncup aku sewaktu itu. Beberapa kali juga aku betul-betulkan duduk takut terkembang apa yang tidak sepatutnya. Tetapi alhamdulillah, terkawal semuanya.

Rembat dari blog Muja.
Rasa malu pula secara tiba-tiba sehingga merah-merah pipi aku menahan perasaan segan yang tebal didalam hati. Tak terlintas ada manusia yang sudi menghargai tulisan aku sebegini sedangkan kalau nak difikir-fikirkan banyak lagi blog dekat Malaysia yang dia boleh senaraikan. Disebabkan terlalu segan, hampir setengah jam juga aku tak tengok muka sendiri di cermin. Selepas itu aku normal seperti sediakala. Dan apabila sudah normal semula, aku pun mengkhabarkan berita gembira ini di FB dan juga laman Twitter sebagai tempat melampiaskan bangga. Bukan bermaksud nak riak tetapi lebih kepada penghargaan rasa terima kasih yang daun keladi. Ada masa, jemput datang baca lagi. Eh sudahlah merepek, berpantun dua kerat pula.

Terima kasih aku ucapkan kepada Muja. Pembaca .geek in the pink. yang setia. Setianya beliau mungkin sudah serupa tahap fan Liverpool yang setia menyokong team itu dan tak sanggup Walk Alone walaupun mereka sedar Liverpool seperti tidak berhasrat mahu memenangi mana - mana piala bolasepak didunia. Aku sangat-sangat menghargai penghargaan yang beliau berikan ini. Terharu, gembira, tak percaya, bangga dan macam-macam lagi perasaan bermain-main dekat kepala yang kalau aku kaborkan dekat sini muntah hijau pula engkau orang nak membacanya. Aku cuma mampu ucapkan terima kasih Muja. Terima kasih!

Tujuan utama aku wujudkan blog ini, dari dulu sampai sekarang, cuma mahu kongsikan cerita hidup aku yang kadang-kadang warna dia boleh tahan mengancam juga. Berkongsi emosi turun naik menggila yang serupa wanita PMS sepanjang masa. Berkongsi suka duka perkahwinan aku dengan lelaki yang setiap hari buat aku jatuh cinta, yang sekarang lagi manis bak gula-gula dengan datangnya seorang malaikat kecil penyeri hidup kami berdua . Juga berkongsi cerita-cerita gembira dan kebahagiaan seorang wanita yang semakin dimamah usia tapi asyik mengaku baru tingkatan dua. Itulah aku. Apa aku diblog, itulah aku diluar. Tanpa edit, tanpa tapisan.

Terima kasih readers semua. Terima kasih Muja. Allah saja mampu membalas jasa. Yang buruk confirm datang dari aku, dan yang baik itu datangnya dari yang Maha Mencinta.

Dah. Babai.

Thursday, February 14, 2013

Dia Bukan Anak Ikan Aku

Assalamualaikum. Pertama kali orang panggil dia anak ikan aku, adalah aku rasa macam mahu ceduk saja muka dia lalu memback hand pinggang dia supaya dia tahu apa erti penyesalan. Aku macam tak boleh nak hadam takrifan anak ikan yang disebut-sebut dek orang. Ferghh aku guna kosakata "takrifan". Cikgu BM aku sudah tentunya akan berbangga. Oh ya, berbalik kepada anak ikan. Ingin aku tegaskan disini, dia bukan anak ikan aku. Pada aku istilah anak ikan itu sungguh pongkes maknanya, selain memberikan gambaran negatif kepada aku dan dia yang innocent serta suci dari dosa, istilah anak ikan yang diguna pakai sememangnya kalau tak kena gaya, mampu mengundang pasu bunga dimuka. Jadi please, sebelum panggil seseorang itu anak ikan kepada seseorang, fikir dua tiga kali. Aku tak mahu ceduk muka orang sesuka hati.

Aku ni jenis cikgu yang kalau anak murid rapat ke aku, buat perangai macam baya - baya adik aku, serta merta kasih dan sayang aku tumpah ke mereka. Serious dan ini bukan aku buat-buat. Aku rasa anak-anak murid aku ni semua macam adik-adik aku. Comel-comel semuanya walaupun kadang-kadang perangai masing-masing mengundang cerca. Kalau kata ada yang mahu luah masalah dunia, masalah percintaan masalah kena tinggal bas, aku dengan hati kembang sudi mendengar. No problem punya. Dan dalam ramai-ramai adik-adik aku tadi ni, ada few lah yang memang betul-betul baik dan rapat dengan aku. Pesen manusia yang taatnya memang tahap lindungan kaabah. Perangai baik menyejuk hati. Alhamdulillah. Aku beruntung sebab diberi Tuhan beberapa anak murid yang begitu.

Salah seorangnya, dia inilah. Dia inilah, yang orang panggil anak ikan aku. Memang pesen mulut mintak ludah. Mula-mula aku agak meraban jugaklah amarah bila orang panggil gitu ke aku. Aku terasa sungguh jalang dan tidak bermartabat. Tapi bila lama - lama aku fikir, kadang-kadang aku fikir sambil makan keropok ikan cap baby, akhirnya datang satu ilham kesedaran dalam hati. Aku berfikir, buat apa aku nak kisahkan cakap-cakap orang, kalau aku layankan semakin girang pula mereka mengadu domba, jadi ada baiknya aku persetankan sahaja mulut-mulut puaka minta kaki terbabit. Kalau dilayan buat penat saja. Bila aku ajukan permasalahan ini ke suami, suami gelak saja sambil geleng-geleng kepala dua tiga kali. Dia cuma kata "Saya kenal siapa sayang saya". Sumpah macam lagu Ainan Tasneem. Lebih kurang macam itulah ayat dia. Aku lekas-lekas jadi sejuk hati. Padahal aku bukan layan pun Ainan Tasneem tu.

Tapi dia memang baik apa. Dia punya tahap penyabar memang menggila aku cakap ke engkau. Kalau aku tengah emosi tertabrak hati berantam dengan perangai kawan-kawan kelas dia yang kadangkala hampir membuat aku bertempik sekuat jiwaraga, dialah nanti yang datang mohon maaf walaupun bukan salah dia. Kalau hari ini dia tengok aku muka macam mintak kaki stress ke hape, esoknya tiba-tiba ada cokelat atas meja. Hari ni aku batuk-batuk, esok eh ada gula-gula batuk atas meja. Aku syak kalau aku jalan kaki pergi sekolah hari ni, esok mesti ada basikal dekat tempat parking aku. Aku syak begitulah. Kerja sekolah yang aku beri tiptop dia buat. Kalau aku bawa buku banyak masuk kelas, nanti dia yang pertama hulur tangan mohon mahu tolong bawa. Itu dia dekat sekolah.

Kalau dia secara manusianya, dia jenis manusia yang cintakan masjid. Kadang-kadang aku selamba juga pengaruh ke dia, menyetan tak tentu hala, aku kata apa syoknya solat dekat majid, dekat rumah macam tak boleh solat. Dia pesen manusia yang sabar terangkan satu-satu fadhilat solat dekat masjid. Bukan aku tak tahu, taknak kalah, eksyen lebih, aku cakap, eh tahulah. Dia senyum aje. Takde usaha langsung nak menderhaka. Kalau bercakap memang sopan santun lahai pesen pijak semut, semut sihat lagi. Aku dok perati kot-kot dia buat perangai menantu pilihan ni cuma ke aku aje, rupanya dengan semua cikgu pun dia macam itu, bercakap dengan kawan-kawan pun pesen yang Allah mak, lembut sopan lemah gemalai. Sejuk betul perut Emak dia mengandung. Dia suka benda-benda baik. Hati dia salju. Jangan kasar-kasar dengan dia.

Sebenarnya dia banyak ajar aku. Umur kami memang jauh beza tapi percaya ke tidak, aku banyak belajar dari dia. Banyak. Aku banyak belajar jadi sabar, jadi manusia yang menghargai apa yang aku ada, aku belajar memperbaiki diri, aku mula pandang berat benda-benda yang selama ni aku pandang ringan. Senang cakap, aku belajar jadi manusia yang lebih baik. Alhamdulillah. Aku mengajar dia dalam masa yang sama aku belajar daripada dia. Sifat dia yang merendah diri, tak pernah bongkak itulah yang aku memang salute lejen spring ke dia. Sifat yang aku rasa hampir pupus dikalangan anak muda generasi Y.

Kalau nak aku cerita semua ke sini, memang banyak. Banyak. Sumpah. Cukuplah aku bagitahu yang dia memang manusia yang baik. Aku yakin satu hari nanti kalau kena gayanya, dia akan jadi bintang. Dia pernah cakap ke aku, dia nak ke Jepun. Nak sambung belajar, nak tengok sendiri dengan mata kepala dia macamana Sakura berkembang. Dia kata Sakura tu bunga mengada-ngada. Mentang-mentang tahu diri istimewa, kembang pun ada time. Tak calang-calang waktu dia nak kembang. Itu yang dia obses sangat ke bunga Sakura, Aku layankan aje. Benda yang aku kagum pasal Jepun pun ada tiga aje. Otromen, Doremon dengan selipar dia. Tapi ya, aku yakin, isteri dia nanti pun bukan jenis perempuan yang calang-calang. Cantik dah mesti, baik macam dia. InsyaALLAH. Aku doakan.

Ini, bila dia dah jauh, aku memang terasa habis dalam hati. Jauh wuhai dekat Sungkai Perak sana. Pesen yang kalau sengaja nak datang melawat memang melawat dalam mimpi ajelah. Masuk MRSM. Memang sebelum PMR dulu beriya jenis menggila nak masuk MRSM. SBP siap tak pandang. Alhamdulillah. Allah perkenankan doa dia. Tapi itulah ujian Allah nak beri, on the way dia nak daftar ke MRSM Trolak, dia sekeluarga pulak accident. Makan jahit jugaklah adik dengan kakak dia. Parents dia alhamdulillah selamat. Dia ni pulak aku syak calar balar jugak. Tapi dia asyik dok kata dia okay dia okay. Naluri keibuan aku ni tak pernah menipu. Betul. Bila aku suruh dia hantar gambar dia, hambik kau tangan calar balar. Tapi dia jenis hati sungguhpun jiwa-jiwa, tapi pesen yang ingat Tuhan banyak, redha tebal menggila dalam hati. Kuat asa dia ni. Aku tahu.

Selamat sudah dia mendaftar dekat MRSM. Alhamdulillah. Aku doakan dari jauh. Semoga dia baik-baik saja disana. Semoga dia sihat sentiasa dalam lindungan cinta yang Maha Mencinta. Dan aku, tetap dekat sini. Tunggu dia balik dengan kejayaan. InsyaALLAH. Dan tolong, mohon, jangan kata dia anak ikan akulah. Itu jijik sangat. Hina sangat untuk dia. Nak kata ke aku tak apa, tapi jangan ke dia. Dia cuma seorang anak soleh yang hatinya penuh dengan kebaikan dan cinta. Dan jangan risau, aku tak tergamak nak merosakkan kesolehan dia.

Dia kalau mengkacakkan diri memang tidak syak lagi. (Dalam seragam MRSMian dia.)
Jadi, tamatlah karangan lapanbelas muka surat aku pasal dia. Muhammad Farhan nama dia. Baik budaknya. Jadi mohon, jangan panggil dia anak ikan aku. Nanti kecil hati aku. Sudahlah aku ni susah nak dipujuk. Kan dah menyusahkan diri nanti fikir jalan yang terbaik nak pujuk aku macamana. Haa. Kan? 

Sekian. Wasalam.

Dah. Babai.

Gua benci PSY.

PSY tak handsome pun!

Eh?

Wednesday, February 13, 2013

Anak Aku Sudah Besar

Assalamualaikum. Semasa aku sedang menaip ini, Adam sedang duduk silang panggung disebelah papanya sambil menghisap susu lembu dari botol sambil menyanyi-nyanyi lagu Muara Hati mungkin. Jangan pandang Adam sebelah mata kerana kelihatannya Adam dua tiga menjak ini begitu champion menghafal lagu-lagu lagha yang kerap berkumandang di dalam MP3 kereta aku. Mind you, Adam tak dengar radio. Aku bukan jenis yang suka dengar radio, jadi aku sajikan Adam dengan lagu-lagu hati tertabrak daripada MP3 kereta saja. Lagu- lagu seperti Muara Hati, Teman Pengganti dan beberapa lagu SM Salim turut menggamit hati nurani Adam. Eh sampai mana tadi? Oh ya. Minum susu.

Ha ya. Minum susu. Sekarang minum susu bukan sebarangan orang boleh buatkan. Adam sudah pandai demand. Dan demand dia punya perangai pesen yang tak tentu hala. Kalau dia kata nenek yang buatkan, neneklah yang buatkan. Kalau aku cuba-cuba nak buatkan walaupun dia dah request nenek yang buat, memang tak diminumlah susu berkenaan. Siap nanti dia melalak-lalak pula minta perhatian macam kena dera dengan aku. Padahal aku cuma mangsa yang innocent lagi tak bersalah. Innocent dan bersalah bukankah membawa makna yang sama? Hambar. Selain sudah pandai demand, Adam juga begitu licik memujuk ahli keluarga kecuali aku untuk membelikan beliau toys kegemaran iaitu sebiji bola. Bukan sebiji, malah sudah berbiji-biji bola aku belikan untuk Adam. Bola hijau, merah, kuning, bola keranjang, bola sepak, bola pingpong, bola gambar Ben10, bola cap pooh, ah bersepah-sepah bola aku dah belikan. Tapi setiap kali keluar kemana-mana, bola juga yang dia dambakan. Mainnya tidak! --" Adam jarang minta ke aku, dia tahu, kalau dia sebut aje perkataan bola depan aku, memang ceramah kesedaran sivik aku bagi ke dia.

Adam juga sudah pandai menjawab sekarang. Dan dia menjawab bukan calang-calang ayat, ayat-ayat sinis dia bagi ke aku.

Situasi 1

Aku pegang cawan dan terlepas jatuh ke lantai. Adam pandang aku dengan begitu sleck sekali.
"Careful Ma. Tak fikir ke?" Sambil berlalu dengan botol susu tergantung di bibir.
Aku selalu bebel ke Adam dia tak fikir ke kalau buat sesuatu aktiviti nakal, dan lihat, pada hari itu, aku terkena sudah.

Situasi 2

Adam minum air kotak hasil pembelian papanya.
Adam: Terima kasih, Papa.
Papa: Sama-sama. Minum elok-elok.
Mama: Aik? Papa aje? Mama tak cakap terima kasih?
Adam: Kenapa cakap terima kasih dekat Mama, pulak?
Mama emosi hambar.

Situasi 3

Mama : Adam, kita ada sepuluh ringgit ni. Toys apa Adam nak beli?
Adam: Bola. Eh tak tak. Bola kat rumah banyakkk. Adam nak car.
Mama: Okay car. Ha murah. 7 ringgit aje. Bagus, bagus.
Adam: Okay car. Lepas tu nak bola, nak kerusi, nak pistol tembak-tembak, nak aiskrim blablabla.
Mama emosi hambar.

Situasi 4

Adam: Mama, lagu cinta Ma, lagu cinta!
(Lagu cinta merujuk kepada lagu Muara Hati)
Mama: Okay kay. Mama pasang.
Aku sing-along sama. Tiba-tiba Adam tepuk bahu aku.
Adam: Mama diam. Mama pegi. Adam nak dengar. Bukan Mama nyanyi!
Mama emosi hambar lagi.

HY%&#iybs&@)#@khfsrev!!!

Tidak cukup dengan itu, Adam sekarang sudah menunjukkan ciri - ciri kelakar yang tak tentu hala. Ada sekali tu aku tangkap dia sedang membuli budak yang Emak aku babysit kan, aku nampak dia telangkupkan periuk atas kepala Aisy --" Belum lagi dia suruh aku pakai besen atas kepala. Memang menduga. Tak cukup dengan tindak-tanduk yang serupa kaki buli, Adam sebenarnya tanam bunga dalam hati. Suka menonton cerita-cerita percintaan menjadikan Adam sweet talker yang sejati. Hobinya suka mencuit pipi orang sambil memuji "Comelnya Mama ni. Comelnya Papa ni." Subjek tertakluk kepada siapa yang dicuit pipinya.

Tidak leka dengan hal-hal dunia, hal - hal ukhrawi tidak dipandang enteng oleh Adam. Solat setiap kali masuk waktu walaupun cuma sekadar azan sebunyi yang mungkin, tonggeng-tonggeng, rukuk sujud dan kemudian kumat-kamit tadah tangan berdoa, cukuplah untuk buat aku tahu Adam alhamdulillah tidak liat untuk bersolat. Kalau dia kejutkan Papa bangun untuk solat, memang gigih dan mainstream sungguh gayanya. Selagi Papa tak bangun selagi itu dia mencubit, piat telinga, tendang-tendang sikit dan selalunya Papa kalah dalam perjuangan ini tak sampai 30saat. Kahkah. Adam suka jugak layan-layan zikir terapi diri Hafiz Hamidun yang disajikan di Astro Oasis. Selain baru mula mengenal huruf-huruf Jawi, Adam dah mula pandai sebut zikir-zikir mudah seperti Alhamdulillah, Allahuakbar, Subhanallah dan Astaghfirullah. Alhamdulillah.

Asal aku mula nak baca buku, ada saja makhluk menganggu. Haih --"
Adam sama macam kanak-kanak yang lain. Hobi memanjat grill memang sudah menjadi rutin harian Adam. Papa kata biarkan. Anak jantan kena lasak. Papa banyak ajar dia benda-benda lasak, kalau nak belajar cara mengurat anak dara orang, InsyaALLAH Mamanya boleh membantu. Ekeke. Adam boleh tahan kacak juga jadi aku kira, kalau kena gayanya, tak susah dia mahu cari pasangan hidup. Lagipun aku dah terapkan ciri-ciri jangan memilih rupa ke Adam. Rupa cantik perangai macam pongkes nak buat apa. Kan? Cari yang solehah. InsyaALLAH. Aku selaku Emak mertua, seboleh-bolehnya setuju ajelah pilihan hati Adam. Baik untuk Adam, baiklah juga pada aku. Eh apa? Adam sekolah pun belum? Terpandang jauh ke hadapan pula. Aherher!
Kecintaan terhadap lollipop melebihi yang lain-lain.
Adam memang aktif tak tentu hala. Time demam pun dia boleh selamba panjat dinding sebelah tangan. Itu belum lagi kira berapa km dia lari-lari dalam rumah setiap hari. Betul-betul padu six packs Adam kalau dia amalkan ini sampai dia membesar bujang lagi kacak nanti. Adam macam aku. Perangai saling tak tumpah. Apa aku, itulah dia. Bayangkan, kalau dah sampai comel nya pun tahap tahap nak sama, macamana? Makanan yang aku suka makan, pun jadi makanan kegemaran dia. Ayam dan cokelat. Nampak? Semoga Adam nanti bijaknya pun macam aku. Aherher!

Asal kata dah mengantuk, tidur mana sempat ajelah.
Dulu, masa Adam kecik, aku memang haru-biru nak besarkan Adam. Orang kata aku tak pandai jaga anak. Orang kata aku menyusahkan Emak. Maklumlah sepanjang masa Emak aje yang menjaga Adam. Orang bukan tahu kalau setiap kali Adam dekat ke aku, dia menangis macam orang kena rasuk hantu kopek. Orang nampak macam aku ni emak yang musibatlah kira sebab macam tak ambik port perkembangan Adam. Kewibawaan aku sebagai emak kandung Adam tercalarlah jugak dek persepsi masyarakat. Aku  sedih juga. Sampaikan aku rasa, Adam tak kenal agaknya nanti ke emak dia. Adam tak sayang agaknya ke aku.

Tapi alhamdulillah, Adam membesar dia bertambah rapat dengan aku. Tidur pun nak dah dengan aku, kalau kata aku kemana - mana tak bawak dia melalak jugaklah dua tiga round. Lagi sorga bila aku balik sekolah, Adam dah tersengih - sengih kejar aku sampai ke parking. Sambut aku balik sekolah. Allah, dia punya rasa, herr tak terucap. Lejen sedunia. Adam pun sekarang bukan main senang lagi nak jaga. Tak banyak karenah, tak banyak kali sakit. Kemas betul tahap kesihatan dia. Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya sifat aku yang mudah jatuh sakit, Adam tak kebas sekali.

Emak mana yang tak sayangkan anak. Emak ayam pun sayang ke anak ikan dia. Eh? Macam itu jugaklah aku. Cinta yang mendalam ke Adam memang tak boleh nak dijual beli. Walaupun nampak macam aku ni emak yang garang sikit-sikit asyik kerja nak mengetil Adam aje, dalam hati ni siapa yang tahu. Eceh. Aku doakan Adam membesar menjadi manusia yang unggul sahsiah unggul peribadi unggul ukhrawi. Amboih nampak kosakata aku sejak-sejak rajin bergaul dengan orang baik-baik ni. Kosakata syurga sungguh. Emak mana yang taknak anak dia berjaya. Sedangkan Adam baru pandai sebut ABC pun aku dah bangga macam apa. Lagikan pulak kalau satu hari nanti Adam terpilih masuk ke Harvard ke apa. Gila. Sekampung aku bagitahu.

Sumpah setiap kali keluar jalan-jalan sambil bawa Adam, aku merasa sungguh hot setapp!

Kesimpulannya Adam sudah besar. Dan rasanya sudah sampai masa bagi Adam adik untuk dia jaga. Eh? Haha.

Dah. Babai!

Saturday, February 9, 2013

Nasi Pengantin. Kompang. Dan Sebuah Jiwa Yang Berantam

Assalamualaikum. Penat drive dari Yong Peng ke Kesang, Muar akhirnya sampailah kami ke rumah pengantin. Sebenarnya kalau nak berkata dengan benarnya aku memang tak penat apalah sebab aku tak drive. Aku duduk sebelah driver sambil pastikan make up tidak mencair tak tentu hala. Jadi taklah, aku tak penat. Aku cuma lapar. Sebab aku tak sempat makan dari rumah. Jadi kalau nak dikira tahap kelaparan yang aku sedang alami sekarang, tahap dia macam orang yang kalau makan tolak batu dengan kayu saja. Sumpah sesungguhnya aku lapar. Jadi besarlah harapan aku bahawa sesampainya sahaja dirumah pengantin, aku mahu mencekik nasi pengantin.

Pun hajat tak kesampaian, sebab sampai saja ke rumah pengantin, Oat ajak masuk dulu salam-salam dengan pengantin dan lepas itu saja barulah kami berkesempatan nak makan nasi pengantin seperti yang diidam-idamkan sejak dari dalam kereta. Mak aihh dia punya ceduk nasi pesen yang tak tengok kiri kanan, ayam pulak pilih yang besar-besar dua ketul, pilih port meja yang hujung-hujung, tuang air dalam cawan dan duduk diam makan tak bercakap sepatah pun. Oat ajak borak pun aku cuma mampu angguk-angguk sambil sekejap-sekejap berdehem betulkan kedudukan nasi dalam tekak biar masuk lancar dalam perut. Lapar betul tu.

Tamat cerita pasal nasi pengantin. Ini aku nak mengkomen pasal kompang. Kalau dah namanya kompang pengantin tu, aku berpendapat agak wajarlah kalau team kompang tu mohon main kompang pesen macam nak masuk olimpik. Ini tidak, main kompang macam nak tidurkan orang. Lahai kalau aku pengantin, tak semangat betul aku nak mengkahwinkan diri sendiri. Aku yakin, kalau team kompang mengompang dengan gilang gemilangnya secara tidak langsung emosi pengantin akan turut tereffect sama. Ye dak? Semangat kemain pengantin nak melangkah. Yang pengantin lelaki terus kembang dada, angkat muka hidung kembang kempis tahan bangga, maklumlah nak kahwin. Yang pengantin perempuan pulak mak aihh terus kepit dua peha duduk sopan ayu senyum simpul mata aje jeling-jeling manja. Kan harmoni perkahwinan gitu. Kalau team kompang jenis yang main kompang asal pukul aje macamana populasi rakyat Malaysia nak bertambah? Eh?

Barakallah Kak Fiza. Semoga berbahagia sampai ke syurga Allah. Ini kakak aku yang banyak berjasa dekat aku sepanjang aku dekat SESEGA. Terima kasih, kak!

Oh ya. Rasa penat pulak kendong jiwa yang kerja dia asyik nak menyentap berantam tak tentu hala. Pesen jiwa lara yang lagu tema berkumandang side-side lagu sedih mendayu-dayu minta dipujuk-pujuk. Itulah jiwa aku sekarang. Jiwa kacau kalau anak-anak muda sekarang membahasakan. Jiwa yang pasang - surut emosinya tak boleh nak dijangka. Sekejap gembira eh nanti sekejap berduka. Kosong dua tiga menjak ni. Tak ada pengisian. Aku kena banyak- banyak muhasabah diri ni. Banyak sangat perasaan cintakan dunia dan sekalian isinya, itu yang rasa jauh dari kasih sayang Tuhan. Ah merepek pulak. Nanti tahulah aku cari ubat dia apa.

Dah. Babai.

Tuesday, February 5, 2013

Hati Kelat Jiwa Sumbat

Assalamualaikum. Takdir hidup nampaknya tak berapa nak menyebelahi aku beberapa hari kebelakangan ini. Palat memanjang nampaknya warna warni hidup aku. Tapi sebagai seorang manusia yang gagah semangat sekuat tiger, pantang menyerah kalah. Nyawa semangat liat nak mati. Mulut membebel tapi jiwa kental. Jangan risau. Keadaan otak yang sentiasa kusut mengakibatkan blog tidak dapat diupdate selalu seperti yang dijanjikan. Janji manismu betul.

Bermula dengan terpaksa menduduki test APTIS Rabu minggu lepas, membuatkan aku dibahan oleh cikgu-cikgu sekolah aku. Memang tak guna betul mulut masing-masing. Aku tak salahkan dia orang. Mungkin dek kerana kurang membaca ensiklopedia ataupun kurang mendapat nutrisi dari susu badan ibu masing-masing mengakibatkan neuron - neuron dalam otak mereka tidak bersambung. Jadinya kalau berfikir dah macam-macam aje perginya. Biarlah. Yang penting, berkat semangat dan doa anak murid, kaum keluarga serta kawan - kawan yang comel seperti buah epal, aku berjaya menduduki test APTIS yang berlangsung selama hampir 5 jam tersebut dengan cool kentang sekali. Terima kasih Tuhan. Alhamdulillah.

Kemudian diikuti dengan beberapa kisah hati yang tertabrak yang kalau aku cerita dekat sini agaknya tertidur-tidur semua orang nak baca. Cukuplah aku kaborkan bahawa hati aku sungguh dilanda badai ibarat ombak-ombak yang memukul batuan ditepi pantai. Ceh nak muntah pula type ayat novel novel Alaf 21 ni. The only perkara yang membuatkan aku gembira adalah, hampir setiap hari aku dapat cokelat. Tiba-tiba ada setepek cokelat atas meja. Halah manis betul. Nak lagi manis kalau pengirimnya kekal misteri. Dulu masa zaman anak dara tak ada pulak students aku ni manis-manis perangai bagi cokelat ke aku. Terima kasihlah semua anak anak didik. Diabetes jugak aku kisahnya lama-lama nanti karang.


Ini baju aku tadi. Umum mengetahui yang aku gilakan corak Paisley. Comel bak hanggg!

Sungguhpun hati dilanda kabus diperbukitan, itu semua tidak mematahkan semangat aku untuk tampil anggun ke sekolah dengan koleksi baju-baju baru tahun 2013 hasil jahitan Emak yang dicintai sepenuh hati. Walaupun hanya memakai baju-baju yang murah sehingga dibahan tanpa belas kasihan oleh cikgu-cikgu yang lebih kelas dan duit gaji diwallet lebih tebal daripada aku, itu semua langsung aku tak ambil pusing. Orang kalau sudah kacak, pakai apapun handsome. Percaya tak? Percayalah cakap aku bahawa ini semua benar.

Aku berharap tema hidup kusut tak akan berlarutan sehingga penghujung Februari. Sebab aku ni kalau stress jerawat memang girang tumbuh macam jilaka diatas muka. Basuh dengan air wudhu' pun dia watlek aje. Emosi betei. Jadi untuk tampil ayu dan kekal comel, aku harus bijak menangani stress. Dan sentiasa gembira dan ceria. Ganbatte!

Dah. Babai semua!