Kecewa.

Aku manusia yang hati kental. Bukan jenis manusia yang senang - senang menangis depan orang ramai, bukan jenis manusia yang cepat mata merah dan bertakung air, bukan jenis manusia yang tengok cerita sedih terus banjir satu bilik. Bukan. Walaupun masa kecik - kecik aku suka menangis, tapi bila dah besar, airmata jadi mahal sikit. Payah nak keluar. Tapi, bila berhadapan dengan perangai anak - anak murid yang kadang - kadang buat aku istighfar banyak - banyak, aku rasa macam nak meraung dekat - dekat situ jugak. Hati yang batu tadi jadi lembut macam jelly kelapa. Jenis yang kuis sikit terus jatuh terhempas lalu pecah menjadi ketul - ketul kecil yang tak mampu dibentuk semula. Macam itu.

Aku tak kisah kalau kena ajar kelas belakang. Dah memang sejarah aku start mengajar sampailah sekarang, memang tak sah kalau dalam setahun tu aku tak pegang kelas yang hujung - hujung. Pesen yang kalau kata datang sekolah cuma nak buat musibat, pesen yang kau ajarlah banyak mana sekalipun, time exam mesti hulur kertas kosong. Tapi itu semua tak pernah mematahkan semangat aku nak mengajar sebab prinsip aku, kau bodoh macamana sekalipun, asalkan kau sanggup nak belajar, kau akan berjaya. Yang menjadi pantangnya aku adalah bila kau dah sedar kau tak pandai, dan kau LANGSUNG taknak belajar.

Aku tahu tak ramai anak murid yang suka aku. Aku kalau dalam kelas jarang nak bergelak ketawa nak bergembira. Mungkin ada yang menyampah, ada yang benci pandang muka aku, ada yang rasa macam nak ludah aku atau ada yang doa biar aku sakit so tak payah masuk kelas untuk mengajar. Aku tahu. Aku tahu sangat - sangat. Ada yang depan mata aku baik tapi belakang mengata aku berbakul - bakul. Lahai aku tahu. Lumrah jadi guru, lumrah jadi manusia. Tak semua suka dekat kita. Aku tak kisah. Aku persetankan semua tu sebab niat aku masuk kelas cuma satu , aku nak ajar mereka apa yang aku tahu. Aku nak diorang dapat ilmu dari aku walaupun sedikit.

Aku tahu ada yang tak hormat aku. Aku berdiri dekat depan mengajar mungkin pada mereka cuma sebagai seorang perempuan yang menyemak, cuma nak menghabiskan 2 period mengajar, nak menghabiskan sukatan, nak cuba capai gred yang tinggi untuk subjek aku. Ya Allah, kalaulah aku boleh bagitahu apa yang aku rasa sebenar - benarnya dalam hati aku. Betapa setiap saat aku dalam kelas tu, aku kalau boleh nak pastikan semua orang dapat apa yang aku sampaikan. Diorang nak aku happy happy tak marah - marah, nak aku jadi sporting, nak aku selalu senyum dan ketawa dengan diorang tapi tahu tak diorang macamana aku nak happy kalau kerja aku tak pernah nak siap? Macamana aku nak senyum kalau cakap aku diorang tak pernah dengar? Macamana aku nak ketawa nak senyum kalau sikit pun takde rasa hormat diorang untuk aku? Jawab.

Aku ke yang tak pandai mengajar? Atau Allah nak uji aku, supaya aku perbaiki diri untuk menjadi seorang guru yang tinggi darjatnya? Tak ada perkataan yang dapat aku gambarkan bila mata aku sendiri jadi saksi macamana anak anak Melayu bangga dengan kebodohan mereka sendiri, taknak berusaha walaupun macam - macam kemudahan ada disediakan. Anak bangsa lain berlumba - lumba memajukan diri sendiri, anak bangsa kita berlumba - lumba membangangkan diri sendiri. Ilmu bukanlah sesuatu yang menjadi kepentingan untuk mereka. Aku tak pasti dimana silapnya. Dada aku sakit tahan sebak setiap kali aku tengok anak anak Melayu memperlekehkan ilmu, seolah - olah menjadi bodoh itu sesuatu yang harus dibanggakan. Kecewa yang tak termafhum setiap kali aku berdiri dihadapan mereka, berperang dengan rasa hampa dan semangat untuk meneruskan pengajaran, aku lakukan demi satu tujuan. Demi Tuhan.

Sebagai manusia biasa, ada masanya aku tewas dengan rasa hampa. Give - up. Mengalah. Tapi setiap kali aku kenangkan inilah satu - satunya sumbangan aku untuk berjihad dijalan Allah, aku gagahkan juga hati yang remuk diinjak - injak tadi untuk terus kuat mendidik anak bangsa. Tugas sebagai seorang guru pada masa sekarang ini bukanlah sesuatu yang mudah. Ramai yang kata, gaji guru besar, kerajaan dah naikkan gaji kami. Well, ya. Kalau kerana gaji itu kerjaya kami diperlekeh - lekehkan, aku rela bergaji kecil asalkan aku sentiasa ada masa untuk keluarga. Bukan keluar rumah awal pagi dan balik bila Maghrib. Kursus sana sini. Kerja yang tak berkesudahan. Dan kau mahu tahu apa pelaburan terbesar seorang guru? Tertabraknya emosi dan harga diri kami bila diludah - ludahkan sendiri oleh jiwa - jiwa yang kami didik. Itu, yang kami perdagangkan setiap kali kami melangkah masuk ke dalam kelas. Harga diri kami.

Kau orang tak pernah merasa susah. Kau orang tak perlu berlapar waktu rehat sebab tak ada duit makan, kau orang tak perlu pakai kasut besar kakak kau orang punya pergi sekolah sebab Emak Bapak kau orang tak mampu nak belikan kasut. Kau orang tak perlu pakai baju lusuh tak mampu bertukar sebab Emak Bapak kau orang tak mampu nak belikan baju baru. Kau orang hidup senang dan tak perlu berusaha keras untuk pastikan kau orang tak perlu mewarisi kemiskinan Emak Bapak kau orang. Sebab itu kau orang tak pernah langsung mahu mendewakan ilmu. Ilmu bukan lagi sesuatu yang mesti kau orang tuntut, tapi ilmu itu pada kau orang cuma sebagai satu benda yang menyekat kebebasan masa muda kau orang. Kalaulah kau orang tahu. Kalaulah.

Selagi aku bernafas, selagi itu aku akan sentiasa memperkuat asa dan daya untuk terus kebal emosi dan rohani mendidik kau orang semua. Walaupun ada masanya jiwa sangat rentan dan lemah, aku akan pastikan aku terus kuat dan gagah untuk melangkah. Cuma satu yang aku mintak. Cuma satu, bantulah aku, untuk membantu kau orang semua. Mohon dengan sangat.

Kau orang tak akan jumpa cikgu macam aku. Sumpah. Tak akan jumpa.

Satu itu aja.

Dah. Babai.

Read More»

Ini Lelaki Seluruh Jiwanya Aku Dewa Dewakan.

Dulu, setiap kali Abah dapat gaji seminggu sekali, aku yang masa itu kecil lagi, adik pun belum ada, akan duduk kemas - kemas depan anjung rumah kami yang kecil biasa - biasa sambil tunggu Abah balik kerja. Dari jauh aku dengar enjin motor Abah, Yamaha 'kap' warna biru WE 6343. Masa itu lejen habis motor tersebut berkhidmat untuk kami sekeluarga. Motor itulah hantar aku pergi sekolah time hujan, motor itulah bawa Emak pergi klinik, motor itulah Emak Abah bawa time nak berhari - raya. Abah tiba depan anjung sambil aku perhatikan kalau - kalau tangan Abah, kanan ke kiri ke jinjing beg plastik. Aku dengan perasaan penuh ghairah dan penuh rasa ingin tahu, terkejar - kejarkan isi beg plastik tu. Kadang - kadang isi dia mee bandung yang memang menjadi kegemaran aku, sampai buncit buncit perut makan mee bandung Abah beli. Kadang - kadang aiskrim mangkuk perisa cokelat atau aiskrim kacang merah. Kalau Abah dapat gaji lebih sikit, malam tu kami makan sedap sikitlah. Sate. Siap dengan ketupat. Setiap kali makan, apapun yang Abah belikan time dapat gaji, aku senyum - senyum sambil pejam mata membayangkan hidup yang indah indah, rumah yang besar dan cantik - cantik macam rumah orang lain.

Abah kerja keras, pagi petang siang malam. Kadang - kadang , Abah masuk hutan. Tinggalkan Emak dengan kakak - kakak yang masa itu masih kecil lagi. Aku belum ada. Tapi sejak aku lahir, Abah dah tak kerja hutan lagi dah. Abah kerja kilang kayu. Potong dan susun papan. Kerja berdepan dengan habuk. Kadang - kadang sampai batuk - batuk Abah jadinya, sakit. Kadang - kadang Abah demam, kerja kuat. Dulu, kalau Emak pergi mana - mana dan balik petang, aku ikut Abah pergi kerja lepas habis waktu sekolah Tadika. Abah dudukkan aku dekat pondok tempat dia susun papan, dekat situ aku mainlah apa ajepun untuk hilangkan bosan. Main kucing ke, main tanah ke, main lecak ke sampailah Abah habis kerja pukul 5 nanti. Nanti Abah bonceng aku balik naik motor Yamaha biru dia sambil aku nyanyi nyanyi pejam mata dan bayangkan Abah bawa aku jalan jalan naik kereta sejuk ada aircond.

Abah dengan aku jarang berbual. Jarang sangat. Abah jarang manjakan aku. Aku tak pernah ada peluang duduk dekat riba Abah, atau borak - borak dengan Abah sambil gelak - gelak. Tak. Cuma ada satu kejadian yang sampai bila pun aku takkan lupakan daripada kepala otak aku ni. Masa itu, aku sekolah dekat TIGS, Batu Pahat. Sekolah berasrama. Hari sekolah, tiba - tiba Abah datang melawat aku tanpa notis. Punyalah aku terkejut sampaikan tak terkata. Abah hulur duit RM20 untuk aku, buat belanja. Lepas borak - borak sekejap, Abah nak balik. Masa itu Abah tak ada kenderaan. Abah datang naik bas. Dalam panas terik mentari yang membahang, aku perhatikan aje Abah jalan perlahan - lahan ke tempat tunggu bas yang agak jauh dari kawasan sekolah. Aku tak tahu kenapa Abah datang melawat aku, dan aku tak tanya. Entah kenapa aku rasa sebak nak mati, dan dengan airmata yang membuak - buak tak dapat ditahan, aku kejar Abah sekuat hati. Aku panggil - panggil Abah sambil airmata tak henti - henti mengalir. Abah toleh. Abah nampak aku kejar dia sambil Abah tersenyum. Aku salam tangan Abah. Aku tak cakap apa - apa, aku cuma menangis tanpa segan silu. Lepas itu kami duduk tepi jalan sambil Abah belanja aku makan cendol. Sampai sekarang aku tak tahu apa signifikannya peristiwa tu dalam hidup aku, tapi setiap kali aku rindukan Abah, moment itulah yang aku mainkan dalam kepala.

Aku tak pernah salahkan Abah untuk baju buruk tak berganti setiap kali sekolah dibuka. Aku tak salahkan Abah untuk beg sekolah yang lusuh aku pakai setiap tahun. Aku tak salahkan Abah untuk kasut sekolah koyak yang Emak jahit dengan cantiknya sebab Emak tukang jahit yang sangat handal sedunia. Aku tak salahkan Abah untuk seumur hidup waktu sekolah tak pernah langsung ada buku rujukan sebab Abah tak mampu belikan. Aku tak salahkan Abah untuk perut yang lapar setiap kali waktu rehat sebab Abah tak cukup duit nak beri duit saku. Aku tak salahkan Abah kerana terpaksa jalan kaki setiap kali balik dari sekolah sebab Abah tak cukup duit untuk betulkan basikal yang rosak. Aku tak salahkan Abah terpaksa tanggung malu sebab duit yuran hanya mampu bayar sikit - sikit. Aku tak salahkan Abah kerana kami semua terpaksa hidup susah. Aku tak salahkan Abah. Sebab aku nampak macamana kuatnya dan gigihnya Abah kerja dan berusaha. Sebab Abah berulangkali suruh kami adik beradik pandai sekolah biar kami tak susah macam Abah. Sebab Abah, kami adik beradik mampu jejak kaki masing - masing ke menara gading. Sebab Abah. Sebab Abah, tak pernah gagal jadi 'Abah' kami.

Hari ni hari jadi Abah. Yang ke 69 tahun. Aku doakan Abah baik baik sahaja dalam lindungan kasih sayang yang Maha Esa. Aku doakan Abah dan Emak dapat jejakkan kaki ke Mekah. Aku berdoa aku mampu bahagiakan Abah dan terus - terusan buat Abah bangga. Aku harap sangat dapat buat satu rumah yang besar dan selesa untuk Abah dan Emak duduk. Abah Emak tak payah buat apa - apa. Duduk saja habiskan masa - masa bersama. Andai aku layak untuk buat satu permintaan yang semestinya Tuhan sekalian alam akan makbulkan, aku mahu Abah dan Emak masuk syurga Allah dan berbahagia selama - lamanya di sana. Bahagia abadi. Insyaallah. Aku tak dapat nak berikan Abah kemewahan setakat ini, tapi sekurang - kurangnya aku dapat menjaga maruah dan harga diri sebagai anak perempuan Abah, sampailah saat aku menikah dengan satu - satunya lelaki yang aku cinta. Dan aku rasa, itu besar maknanya untuk Abah, kan Abah ? :')

Aku belajar hidup, dari kesusahan yang Abah sediakan untuk kami adik beradik. Sifat - sifat baik yang aku ada dalam diri aku, mesti sebahagiannya datang daripada Abah. Aku kacak, macam Abah. Aku baik hati, macam Abah. Aku kreatif, pun macam Abah. Aku setia, macam Abah. Aku anak Abah :') Sampai bila - bila pun, aku tetap anak Abah. Dan sampai bila - bila pun, Abah tetap lelaki kacak dan hebat pertama dalam hati aku.

 Menu untuk tahlil kecil sempena hari lahir Abah. Nasi Ayam goreng rempah Emak yang lejen. Peh !

Maaf. Adam interframed. Haha .
Abah, Lina tak pernah cakap dengan Abah yang Lina sayang Abah sangat - sangat. Lina tak pernah bagitahu Abah yang Lina bangga jadi anak perempuan Abah. Abah banyak ajar Lina erti ketabahan dalam kehidupan. Abah sabar dengan ujian hidup. Abah merendah diri. Abah selalu melawan api dengan air. Abah lelaki terulung dalam hidup Lina. Lina tahu Abah sayang Lina. Lina tahu Lina sentiasa ada tempat dalam hati Abah. Lina selalu doakan yang terbaik untuk Abah. Macam Abah yang selalu doakan yang terbaik untuk Lina. Abah tak pernah ajar Lina jadi jahat. Kalau Lina jahat, itu salah Lina sendiri. Bukan sebab Abah tak ajar. Abah lelaki yang hebat. Lina bangga berbintikan nama Abah. Lina sayang Abah. Sayang sangat - sangat. Selamat Hari Lahir Abah. Teruslah ada untuk kami, Abah.


Ya Allah, sekiranya dalam hidup ini aku ada melakukan kebaikan atas namaMu, maka kau pindahkanlah pahala - pahala kebaikan ku itu untuk Abah, Ya Allah. Untuk Abah.

Yang benar,
Anak Abah yang nombor tiga. 
Yang paling cantik, yang paling baik hati. 

Babai Abah ! Babai semua !

Read More»

Tangan Lain Macam.

Assalamualaikum. Dulu masa zaman sekolah, bila cikgu suruh buat nota dekat papan hitam, aku pakat conteng - conteng buku sampai penuh buku log Kimia aku dengan lukisan yang entah hape hapa. Orang tulis surat cinta , tulis lagu jiwang yang paling ngetop pada itu zaman, tapi aku tulis surat cinta, lukis kartun untuk kekasih jiwa raga. Dekat kertas Matematik Tambahan, orang jawab guna formula, aku lukis gambar cikgu Add Math aku sambil tulis nota minta maaf sebab tak dapat jawab soalan Add Math dengan harapan sejuklah hati beliau melihat kertas aku yang banyak ruang - ruang kosong . --" Bakat menconteng yang dikesan oleh cikgu majalah sekolah membuatkan beliau memperuntukkan dua mukasurat penuh untuk aku melukis kartun dalam buletin sekolah. Seronok betul masa tu. Maklumlah, masa itu bukan senang karya kartun nak menembusi pasaran buletin sekolah. Karya semua kena yang berilmiah dan terpelajar. Aih budak - budak drop out macam aku macamanalah nak hasilkan karya ilmiah. Kerja sekolah pun tiru budak Cina --"

Minat melukis tu memang dah ada dari kecik. Darjah dua mula berkecimpung secara serious dalam bidang melukis - lukis ni. Selalu masuk pertandingan melukis dekat sana - sini. Kadang - kadang menang, kadang - kadang kurang menang. Bahaha. Melukis tak adalah setensen buat latihan Matematik. Kadang - kadang bila tak ada kertas nak melukis, aku koyak aje buku latihan sekolah kakak - kakak aku. Diorang tak marah. Sebab diorang tak tahu. Haa. Masuk sekolah menengah lagi dahsyat pula kegilaan aku nak melukis. Mana - mana tempat kosong semua aku lukis. Atas meja sekolah, tandas, kasut sekolah. Tolong , mohon belia masakini tidak mengikuti perangai aku yang sungguh vandalisme ini. Tak baik. Sayangilah alam sekitar. Bila dah besar - besar macam ni, habit dari kecik tu susah pula nak dibuang. Pantang rasa bosan sikit, mulalah aku mendoodle. Bukannya cantik pun, tapi taktaulah, tangan tu laju aje lukis.

Selalunya kad - kad ucapan aku bagi pada anak - anak murid atau kawan - kawan mesti ada terselit satu dua kartun. Buku catatan meeting jangan cakaplah. Penuh. Dulu masa zaman sekolah, paling suka lukis gambar ehem khinzir. Read : Babi. Sebab senang. Bulat sana bulat sini, lukis ekor kerinting tadaa dah siap. Biasa aku dengki meja kawan - kawan lukis babi besar - besar. Kakaka. Melukis ni seronok, boleh ekspreskan imaginasi melalui pen dan kertas. Best! Kat mana - mana pun, asalkan ada pen, atau pensil dengan kertas, haa siap. Memanglah penuh dengan conteng - conteng. Bayangkan, sepanjang masa kursus induksi dulu, aku lukis semua event yang berlaku dekat kursus tu sampai boleh terbitkan satu zine kartun. Kahkah. Masa itu sokongan dan galakan memang padu dari kawan satu group merangkap kawan sekuliah dulu, Hazimin. Dia ajelah masa itu cakap aku lukis cantik. Bahaha. Tapi team Majalah Induksi taknak terbitkan sebab diorang kata kontroversi sangat. Benci tau! --"

Cover phone. Siapa pakai HTC One X dan nak cover ni, bagitahulah. Free aje. Haha.
Bosan dengan yang lama, padam yang lama bagi lukisan dia faded, lepas itu tulis puisi jiwa - jiwa. Haha.
Pot kaktus Kak Sally.
Free-hand aje. Tak ada sketching. Main belasah saja.
Muka beriya sangat memainkan peranan penting. Kahkah.

Kalaulah ada orang sudi sponsor satu dinding untuk aku, phew memang sorgalah rasa dia. Dinding siap dengan pen fine art pelbagai warna , size dan mata pennya. Perghh. Memang masterpiece! Sekarang ini senang kata aku pantang nampak permukaan plain, habis semua aku doodlekan. Hari itu Popular buat sales, aku borong beli Sharpie fine art pen macam - macam kaler. Lepas ni nak try beli pen untuk fabric pulak. Kalau engkau orang nak kasut sekolah kelihatan rare dan padu lain macam, meh aku lukiskan dekat kasut engkau orang! Bahaha. Okay jangan. Karang cikgu disiplin rotan.

Well, walaupun tangan aku ni jarang memasak, at least ada lah jugak benda lain yang dia buat, yang tak sia - sia (Eh ke sia - sia eh? HAHA) Lahai rindunya nak melukis macam zaman muda muda dulu. Agak - agak kalau aku lukis something untuk malajah SESEGA ini tahun, korang reject tak eh? Haha.

Dah. Babai!

Read More»

Picasso Handsome.

Assalamualaikum. Sejak Adam mula kenal warna dan sejak dia dengan eksyennya pandai memegang pensel dengan cempien sekali, beliau mula demand yang macam - macam. Contohnya seperti beliau mahukan beg sekolah, buku tulis, pensel case sendiri, dan terbaru nampaknya beliau mula meminati bidang - bidang seni seperti lukisan dan mewarna. Kesian juga bila setiap kali keluar jalan - jalan atau bila kami sedang duduk - duduk sambil makan aiskrim pop pop, beliau akan merequest "Mama, nak pensel basah". Pensel basah dekat sini merujuk kepada water color. Mana dia belajar perkataan tu pun aku kurang pasti. Aku syak dia belajar daripada Upin Ipinlah tu. --"

So last week, aku belikanlah dia set mewarna and melukis dengan pensel basah dia tu. Sekali belikan kertas lukisan yang besar biar dia puas hati conteng - conteng. Ala, apalah nak expect dekat budak umur belum 3 tahun pun kan. Paling lejen pun dia conteng - conteng lukis bulat bulat kecil sajalah agaknya. Beli barang - barang tu semua dekat Popular. Pop Artz. Diorang ada buat sales so harga dia berpatutan. Beli yang murah - murah. Jimat. Budak kalau dah berbakat, belikan yang cap ayam pun dah memadai. Wakaka. Excited melampau pula Adam bila aku tunjukkan barang - barang tu semua. Terus duduk bersila singsing lengan siap sedia nak menunjukkan bakat terpendam. Comel gila perangai Adam. Aku syak perangai comel melampau dia ni dia dapat dari akulah. Kan. Tak syak lagilah. 

Aku tengok pun geram barang - barang comel macam ni.

Bagi instructions yang mudah - mudah dekat Adam. Bagi dia faham apa kena buat, apa jangan buat. Contohnya water color tu tak boleh masukkan dalam mulut, aku tengok sedap aje Adam jilat - jilat warna merah. Dia ingat apalah agaknya. Cupcake ke hape. Lagi satu Adam punya tendency nak mewarna dekat pipilah, dekat kuku, dekat lutut, dekat kaki. Suuruh lukis atas kertas lukisan, dia jeling aje dekat aku. Eh. Lama - lama, bila aku dah start cekak pinggang sambil pegang rotan, ha barulah dia mula nak behave. Tau takut!

Comel aje aku tengok tangan kecik Adam conteng - conteng kertas sambil mulut dia membebel - bebel itu ini buat dialog sendiri. Memang jiwa seni betul Adam sebab motif lukisan dia aku tak faham langsung. Yang aku dapat kesan melalui lukisan dia, cuma ada satu leplep (love) besar dekat bahagian tepi warna merah. Kahkah. Bijak pulak dia nak melukis leplep macam tu. Blending warna bukan dia pandai pun, dia main taram aje apa yang dia suka. Comel tengok dia comot comot macam tu. 

Khusyuknya Adam !
Almost ready tuh !
Siap dah! Lahai senyum dia lahaiii, cair hati ni ah!

Hari tu Naddy ada belikan dia buku berwarna siap dengan pensel warna sekali, punyalah Adam excited sampai mintak mandi malam - malam sebelum baring warnakan buku tu. Buat 10 minit, Adam kekal fokus macam tu. Dia belum pandai sangat gunakan pensel warna, warna pun ikut suka hati atok nenek dia, bila dia dah agak - agak bosan, dia nyonyot pulak pensel warna tu bagi basah lepas tu warnakan dekat lukisan. Bagus. Bijak bijak. Hakhak. Two ways ye.

Onomnom comel ni comel ni!

Aku perhatikan Adam ni banyak jugak mengikut minat aku. Muzik, melukis, melaram, buat perangai. Haa. Tapi mana tahu nanti dah besar dia berubah ke apa kan. Tapi kecik - kecik macam ni nampak lah siapa punya genetik lagi kuat dalam badan dia. Tengok muka dia yang comel kacak bergaya tu pun engkau orang dah boleh agak dah genetik siapa tu kan. Buahaha. Cuma minat membaca tu aku tak nampak lagi dekat Adam. Tak macam aku. Aku suka gila babun membaca, Tak apa. Slow slow nanti tengok macamana. Alah, what to expect. Dia kecil lagi. Biar dia nikmati zaman kanak - kanak dia dengan penuh kegembiraan. Aku bukan jenis parents yang taksub sangat dengan perkembangan anak - anak. Anak baru 3 tahun dah expect anak jadi macam - macam. Kalau boleh semua courses nak suruh anak masuk. Memanah, sukan, muzik, mengaji, membaca, ballet semua jadah. Nanti, nanti. Perjalanan masih panjang. InsyaALLAH ^^,

 After all, he's only a kid. So I should treat him like one ! No? Ya ! ^^,

Dah. Babai!

Read More»

Benci.

Assalamualaikum. Mungkin aku ni muka saja gangster tapi hati lembik macam jelly. Luaran nampak macam padu, dalam macam tisu. Mungkinlah kan. Aku tak tahu nak judge diri aku macamana sebab aku bias dengan diri sendiri. Tendency nak memuji diri sendiri itu kebarangkalian dia besar nanang. Adalah dalam 100%. Haa. Nampak. Lagi satu pula, manusia kan pandai sungguh dalam hal menghakimi manusia lain ni. Kadang - kadang dia punya cempien mengalahkan Tuhan. So, be it lah. Biarlah manusia nak judge aku macamana pun. Untuk melawan suara kebencian, kita perlukan ketabahan jiwa raga yang bukan calang - calang pesen dia. Kena padu.

Kadang - kadang, orang benci kita tanpa kita tahu sebab musabab dia apa. Itu kes paling kesian boleh berlaku ke atas seorang manusia. Kalau kita tahu orang benci kita pasal apa, ha itu senang sikit. Senang kata kita boleh muhasabah diri sendiri, ubah mana yang perlu diubah, baiki mana mana yang boleh dibaiki. Tapi kalau dah tahu orang benci kau apa pasal tapi kau masih buat bodoh taknak ubah apa - apa, itu bangang abadi kita panggil. Memang hukum dia dibenci secara berjemaah.

Tak semua orang suka kita. Dalam sepuluh orang mungkin seorang benci kita. Atau mungkin dalam sepuluh orang, sembilan orang benci kita. Benci ni pula ada tahap dia. Ada yang benci tahap tak boleh jumpa. Jumpa aje rasa nak ludah, jumpa aje rasa nak menapak dekat muka, jumpa aje rasa nak hempuk pakai batu bata. Ini benci bersepadu nama dia. Benci secara menyeluruh. Ada yang lagi teruk pesen yang tak boleh dengar nama. Dengar nama aje nak meludah. Dahsyat benci macam ni. Biasanya terjadi apabila tahap kebencian tersebut sudah bersemadi secara berkurun dalam diri, silap silap benci secara turun temurun. "Aku kalau dah benci, dengan keturunan keturunan kau sekali aku benci!" Haa gitu.

Ada yang benci biasa - biasa. Niat nak berbaik - baik itu ada. Ini benci yang pesen orang masih ada iman dalam dada. Benci cemana cemana sekalipun, dia masih ingat Tuhan. Bagus orang macam ini, slow talk sikit - sikit, hulur coki - coki sikit, kira setel. Haa. Yang benci tapi rindu pun ada jugak. Ini pesen memakwe dengan pepakwe gaduh - gaduh manja mintak sepak, minta pujuk, mulut cakap benci hati cakap sayang. Alah rasa nak bagi siku pulak. Haha. Benci pesen macam ini sekejap aje , tak makan hari pun. Pujuk - pujuk sikit, melalak lalak main gitar sikit, cair secara melimpah - ruahlah dia nanti tu.

Bila ada orang benci kita, jangan cepat melatah. Ini peluang kita untuk audit diri sebenarnya. Memanglah bila dapat tahu ada yang benci kita, emosi time tu memang macam musibat jadi dia. Setan pulak jenis yang suka menyesatkan manusia, memang kerja dia. Kalau tak kena gayanya, memang berparang jugaklah kan. Tapi kita sebagai umat Islam yang cool kentang dan beriman, kita kena ingatkan Tuhan banyak - banyak. Ada sebab sesuatu benda tu terjadi. Yang penting kita ingat Tuhan, fikir apa sebab yang boleh buat orang benci kita, bila salah tu berpunca dari kita, jangan segan nak minta maaf. Tak jatuh martabat orang yang menghulur tangan memohon maaf dulu. Tak. Minta maaf. Dia nak maafkan atau tak, itu hal dia. Yang penting, tanggungjawab kita, kita dah laksanakan.

Lepas itu, jangan putuskan ukhuwah. Nanti Nabi tak mengaku umat. Buat chill chill saja. Jangan tambah api atas api. Biar dia benci kita, jangan kita benci orang. Sebab kalau kita pun benci orang no wonderlah orang benci kita. Haa. Adil kan? Dan yang paling penting sekali, ingatlah, semua itu datangnya dari Allah. Dan benda kalau datang dari Allah ni, adalah dia hikmah yang kita tak nampak. Sabar dan redo. Anggap ini ujian dari Allah untuk memantapkan keimanan kita, tinggikan darjat kita disisi Yang Maha Pencipta. InsyaALLAH.

Cakap pada diri sendiri, kalau kita dibenci manusia, carilah cinta Yang maha Esa. Insyaallah, terubat jiwa yang berantakan tadi tu. Apapun yang terjadi, kita carilah sinarnya. Sepalat manapun idup kita, carilah sisi - sisi bahagianya. Insyaallah ! ^^,

Ha. Macam Ustazah pulak aku.

Senyum. Kasi lebar sikit. Dunia belum berakhir ^^,

Dah. Babai !

Read More»

Penyu Menangis Tak Siapa Yang Tahu

Tipu betul. Kalaulah betul penyu tu menangis takde siapa tahu, apasal kita tahu dia menangis ke tidak in the first place. Haa. Ye dak?

Assalamualaikum kawan kawan sekalian. Edisi taip entry malam - malam sebab tak boleh nak tidur. Kesian juga kepada diri sendiri, sudahlah tak boleh tidur, nak mengokak megi kat dapur takut bertambah pulak kebodohan dalam diri. Eh iyelah. Dulu dulu kan emak bapak tak kasi makan megi takut bertambah bodoh anak - anak mereka. Betul ke tidak, aku malas pula nak buat research. Sebab aku dulu tak makan megi jugak pun tapi apasal aku tak bijak matematik? Haa.

Menangis.

Jangan nak kencing akulah kata engkau orang semua tak pernah menangis. Menangis tu dah zaman berzaman jadi satu cara kita ekspres kan perasaan kita. Sedih, kecewa, marah, takut eh kadang - kadang bila terlampau kelakar nak mati, kita ketawa sampai meleleh - leleh airmata. Dan satu lagi menangis ni tindakan spontan yang paling cepat , mudah serta tidak memerlukan duit walau seposen pun. Senang kata airmata ni free. Kau nangislah banyak manapun, takde siapa akan minta duit dari engkau.

Aku, sebagai seorang manusia yang cempien jugak tak terlepas daripada fenomena menangis secara tak tentu hala ni. Manusia biasa. Bukannya aku super saiya ke apa. Oh untuk yang tak tahu super saiya tu jadah, engkau orang boleh gugel. Malas pulak aku nak explain dekat sini. Dulu masa kecik - kecik, bapak aku sampai give up dengan aku sebab aku dari kecik sampai umur 5 bulan kerja asyik nak menangis pagi petang siang malam. Sebab itu engkau orang jangan peliklah kalau dengar nama panggilan aku dekat rumah jauh beza gila gila dari nama sebenar aku. Sebab aku suka nangis sangat sangat jadi emak aku tukar nama aku. Haa.

Bila dah besar ni pun aku masih menangis juga ikut time time dia. Kalau dulu nangis sebab tak dapat mainan, haa sekarang ni nangis sebab nak tarik perhatian suami, nangis sebab gaduh berebut benda dengan Adam, nangis sebab tercepit pintu, nangis sebab saja suka suka, nangis sebab tekanan kerja, nangis sebab hon kereta tak bunyik. Ah banyak sebablah. Aku pernah aje pun nangis sebab pakai tudung kelepet sana sini tak mendegar kata. Gasak. Macam yang aku cakap tadi, menangis ni benda free. Apa ada hal, menangis ajelah.

Kadang - kadang kalau kita merasa sangat terluka dan hopeless juga tanpa segan silu kita akan menangis jugak. Kalau pesen yang drama swasta tu menangis melalak - lalak mengundang tapak kaki. Mana yang sopan terlebih tu menangis teresak - esak sambil jungkit - jungkit bahu. Gasaklah kau nak menangis style apapun, takde siapa nak pertikaikan.

Tapi pernah tak dalam satu tahap tu, kau dah terasa sangat imun dengan kesakitan, kepedihan, tekanan, kelukaan sampaikan kau rasa kebas emosi dan kau dah tak ada airmata lagi untuk dikeluarkan. Pernah? Hati kau memang renyuk, rentan, tertabrak gila khinzir tapi kau tak rasa nak menangis pun. Paling cikai pun cuma mata kau berkolam tapi lepas tu kau tak rasa apa - apa. Pada kau, kau dah tak mampu nak menangis lagi dek kerana beban yang kau tanggung tu dah sampai limit dia. Pernah?

Well, aku pernah. Aku pernah rasa sangat numb. Kebas dari segi emosi. Hati memang tengah dahsyat gila gila punya terluka, tapi entah. Kau tak rasa nak menangis. Dan kau percayalah cakap aku, mulai saat itu, kalau kau terluka lagi dek kerana perkara yang sama, kau dah kebal kawan, kebal. Kau takkan menangis lagi kerana sebab yang sama. Mungkin untuk benda lain macam kau tergigit lidah ke kau tercucuk mata kau dengan sikat ke, airmata kau memang mengalir macam hape lah, tapi for that particular reason, let say, kau takkan rasa macam nak nangis lagi dah. Tak ada. Ini, aku panggil kebas emosi.

Engkau tahu, bila kita terlalu berharap, kita terlalu mahukan sesuatu benda tu terjadi ikut kemahuan kita dan bila benda tu tak terjadi, kau memang akan sakit secara jiwa. Sakit yang kau tak boleh nak gambarkan dengan kata - kata. Kau cuba fikirkan seribu satu kemungkinan yang boleh diterima akal. Tapi nanti akhirnya kau ended up dengan menjadi lebih lagi terluka. Mungkin sampai satu tahap, kau akan berhenti berharap, dan kau hanya biarkan masa yang menentukan. Dan dalam melalui proses ni, jangan nak bohong kalau kau tak mengaku yang airmata adalah teman setia kau.

Zaman sekarang ni menangis bukan lagi satu rahsia. Kau menangis, oh sebelum menangis kau make up sikit sikit, lilit shawl sikit lepas tu kau menangis sambil ambil gambar dan upload dekat FB, Twitter, Instagram. You name it. Lahai. Sumpah rasa nak bagi tapak kaki. Tapi lantak dialah kan, dia nak nangis, suka hati dialah. Pun boleh juga nak menangis lepas tu upload dekat youtube. Nampak rare dia dekat situ. Haa. Zaman sekarang ni, semua benda pun kita nak commercialized kan. Kasihan dengan emosi kita. Dan aku rasa kalau penyu ada Instagram sekali, dengan penyu penyu sekali upload gambar dia menangis. Haa.

Cuma jangan menangis sampai kau terbawa - bawa pulak hasutan syaiton. Menangis berhari - hari. Istighfar banyak - banyak. Ingat Allah. Ambil wudhu. Ingat, musibat macamanapun hidup kita, kita sentiasa ada Allah nak bantu kita lalui semua ni. Kita tak pernah diuji dengan benda yang kita tak boleh nak handle. Allah tahu kemampuan kita. Kita kena buktikan kepada Allah yang kita kuat untuk hadapi semua ni. Solat sunat taubat, jangan eksyen nak merayu dengan Allah minta hati dan iman kita digagahkan. Insyaallah, Allah pun tak eksyen nak bantu kita :)

Kalau engkau rasa menangis tu boleh buat kau lega sikit , menangislah semahunya. Menangis tak pernah menjadi satu tanda aras yang kau lemah. Menangislah kerana Allah jadikan airmata itu sebagai satu cara untuk kita melepaskan segala macam beban dunia yang kita tanggung di pundak. Menangislah semahunya. Dan bila kau sudah habis nanti, kesat airmata, tarik nafas, lepaskan, dan teruskanlah berjalan.

:')


Dah. Babai !

Read More»

Bahagia.

Assalamualaikum. Aku bangun setiap hari atas tilam kepam dengan cadar bunga - bunga pink, dengan teddybear kiri kanan, dengan selimut kepam jalur - jalur warna cokelat. Pandang siling rumah Emak Abah tempat aku menumpang teduh selama hampir 30 tahun, pandang kanan, pemegang hati pemilik cinta sedang tidur dengan wajah tenang, pandang kanan, buah hati tanda cinta tidur telungkup dengan Kitty busuk terselit bawah ketiak, ah tanpa aku sedar aku tersenyum penuh bahagia. Aku tahu aku bahagia.

Aku drive kereta buatan Malaysia yang tak ramai orang guna. Kereta savvy yang suami belikan sejak tahun 2006, tak pernah sekalipun aku terfikir nak tukar. Kereta murah, kecik, selesa boleh tahan sebab kereta aku sentiasa kemas dan wangi sedunia. Biarpun kalau rosak, memang sakit jiwa nak membayarnya, tapi kereta itu ibarat tabung kenangan, setiap inci ada kisah untuk diceritakan. Tak pernah aku rasa rendah diri drive kereta savvy, sebab aku selalu bagitahu diri sendiri, kereta savvy aku tu sebenarnya autobot dalam penyamaran. Kalau dimasa - masa kecemasan dia boleh bertukar jadi Transformer. Wakaka. Belum mampu lagi nak pakai kereta mahal - mahal buatan luar negara. But you know what, aku tahu aku bahagia.

Aku duduk menumpang rumah Emak Abah. Rumah batu separuh papan tempat aku dilahirkan secara awesomenya oleh Emak. Tak mewah, tak ada swimming pool tapi penuh dengan kasih sayang. Hari - hari aku dapat tengok muka Emak Abah. Hari - hari aku dapat bergurau merajuk - rajuk dengan Emak Abah, hari - hari aku dapat makan masakan Emak. Biarlah orang nak cakap aku tak reti berdikari, dah kahwin beranak pinak pun masih nak duduk bawah ketiak Emak Abah. Biarlah. Biar. Tengok muka Emak Abah hari - hari, aku boleh peluk Emak, baring dekat peha Emak, minta Emak picitkan kepala kalau demam, bila - bila masa aku suka. Boleh bawa Emak jalan - jalan. Aku tahu aku bahagia.

Aku kerja sebagai guru. Kerja yang tak menjanjikan kau hidup mewah. Tapi aku tahu, kerja aku ni kalau kena gayanya, barokah dia sampai kau mati mereput nanti pun masih berterusan. Kerja yang kalau betul jalannya, Allah hujani engkau dengan limpah rahmat yang bersepah - sepah. Kerja yang buat aku dekat dengan masyarakat, kerja yang boleh buat aku sumbang bakti yang tak seberapa pada negara, kerja yang buat aku rasa dekat dengan Tuhan. Macam yang aku cakap, kalau kena gayanya kerjaya guru ni boleh buat hidup kau penuh dengan senyuman. Aku suka kerjaya aku. Aku cinta kerjaya aku sebagai guru. Aku tahu aku bahagia.

Biarpun aku tak mampu nak pakai baju mahal - mahal pergi kerja, tak mampu lagi nak pakai handbag mahal - mahal pergi sekolah, setakat ni belum mampu lagi nak tabur duit dekat barang - barang mewah yang kadangkala jadi penanda aras kelas hidup seseorang manusia, tapi aku tahu aku cantik dan berkelas seadanya. Aku belum lagi mampu nak bercuti sampai ke hujung dunia, belum mampu lagi nak bawa keluarga melancong tempat - tempat lejen dalam dunia, tempat paling jauh aku pernah pergi pun Langkawi aje. Eh Langkawi dengan Terengganu mana lagi jauh? Haa situ. Tapi alhamdulillah, aku tahu aku bahagia.

Aku tak bermimpi tinggi sampai ke bintang. Aku tak dream big, bak kata orang putih. Mungkin aku manusia yang cepat berpuas hati dengan apa yang aku ada. Mungkin aku cukup selesa dengan hidup yang aku lalui sekarang. Ya. Mungkin. Tak ada cita - cita tinggi melangit, jalani hidup sehari - harian dengan rutin hidup yang aku ulang - ulang. Tapi engkau tahu satu perkara? Hari - hari aku belajar satu benda baru dalam hidup, dan setiap hari, aku temui bahagia dari apa sahaja benda yang aku pandang. Nikmat Allah yang mana yang aku dustakan? Setiap hari yang aku lalui, biarpun longkang manapun, dihujung hari nanti pasti Insyaallah aku temui satu sisi bahagia. Insyaallah.

Mungkin ada manusia mewah tapi terpaksa berjauhan dengan suami/ isteri setiap hari. Mungkin ada manusia mewah tapi belum lagi diizinkan Allah untuk menimang cahaya mata. Mungkin ada manusia mewah tetapi hidup dalam suasana kerja yang tahi. Mungkin ada manusia mewah tetapi tak berpeluang berbakti kepada Emak Abah mereka. Mungkin ada manusia mewah tetapi hidup kesunyian tanpa insan - insan tersayang. Mungkin ada manusia mewah tetapi nikmat kesempurnaan fizikal ditarik semula oleh Tuhan. Ya mungkin. Aku? Dekat dengan manusia manusia yang aku sayang, sahabat - sahabat, kawan sekerja, anak - anak murid, hidup serba sederhana tetapi mewah dengan bahagia. Alhamdulillah. terima kasih Ya Allah.

Carilah bahagia, biar kecil mana pun ruang sisipnya. Hidup bukan untuk mengeluh dan menyalahkan taqdir. Allah tak pernah tidak adil kepada hamba - hambaNya. Jadilah manusia yang paling bahagia. Jangan sesekali mengukur kebahagiaan dengan wang ringgit. Jangan selalu berdamping dengan orang yang senang, ia buat kita dekat dengan dunia. Selalulah berkawan dengan manusia yang hidup sederhana, bukan hamba dunia, insyaallah kita akan lebih dekat dengan Tuhan yang Maha Pencipta. Jangan sibuk mencari , mengeluh untuk apa yang kita tak ada. Hargai apa yang kita ada. Jangan malu dengan hidup yang sederhana. Dunia ini sementara. 

Berbahagialah dengan diri kita seadanya. Sayangi diri kita sendiri, pandang positif untuk semua perkara, maafkan kesalahan orang lain pada kita dengan harapan dosa kita pada manusia lain akan dimaafkan, berbuat baiklah walaupun dengan manusia yang tak dikenali, jujur dengan perasaan, jangan jadi manusia hipokrit, sayangi haiwan, ucapkanlah perkara yang baik - baik, sentiasalah ketawa dan tersenyum. Berikan ruang dalam hati untuk cinta. Cinta kepada semua perkara yang indah - indah. Cintai diri, cintai keluarga, cintai Allah. Bercintalah. Dan cinta itu sendiri akan membuat engkau bahagia. Berusaha mencari keredoan Allah. Dan nanti bahagia itu akan perlahan - lahan menyelimuti kita , tanda rahmat barokah daripada Allah Taala. Insyaallah.

Oh omnomnomm Adam yang lazat ! ^^

Innanie sayang. Haa akhirnya berjaya jugak buat entry tips bahagia ni. (Tips ke? Kehkeh!)

Dah. Babaiiii !

Read More»