Friday, June 27, 2014

Abah. Hidup Sampai Forever Boleh?

Aku jarang bercakap dengan Abah.

Hampir 31 tahun hidup , memang aku tak banyak bercakap dengan Abah.
Kalau dulu masa kecik - kecik, Abah bercakap dengan aku guna rotan atau tali pinggang atau batang ubi. Heheh. Bila dah besar - besar macam ni, sepatah dua patah ajelah aku kalau borak dengan Abah pun. Selalunya, dalam satu - satu conversation tu, lima enam ayat aje dialog aku dengan Abah. Lepas tu, bunyi cengkerik.

Bukan aku tak sayang Abah.

Cuma, entah. Aku tak pandai nak borak - borak dengan Abah. Dulu masa kecik, banyak sangat menyusahkan Abah. Dah besar pun, menyusahkan lagi. Tumpang duduk rumah Abah. Aku ni, dari kecik sampai besar asyik nak menyusahkan Abah. Anak paling degil. Paling tak pandai. Tak sudah - sudah bawak bala dalam rumah.

Tu masa keciklah. Bila dah besar, walaupun belum mampu nak bagi Abah hidup mewah, tapi cuba sedaya upaya taknak kasi Abah hidup susah. Belum mampu nak kasi Abah duit ratus - ratus setiap bulan, tapi cuba sedaya upaya bantu cukupkan keperluan rumah. Alhamdulillah, biarpun tak mewah, setiap hari kami makan nasi walaupun lauk cuma ikan goreng cekik leher. Ada rumah selesa untuk berteduh. Ada Astro, boleh Abah tengok wrestling tanpa gangguan.

Orang kata , perangai aku semua macam Abah. Degilnya, keras kepalanya, panas barannya. Semua tu sifat Abah. Bangga. Mana tak bangga. Perangai degil inilah yang aku bawak sampai ke besar. Kalau tak kerana degil nilah, takkan mampu aku nak berjodoh dengan suami. Tuhan bantu, lagi Emak Abah restu. Panas baran pun, Abah cepat cool. Macam akulah. Marah takdelah berpanjangan. Abah masa muda, handsome! Patutlah anak - anak Abah segak - segak. Genetik bagus. Pun bijak - bijak. Sebab Abah jenis manusia yang rajin membawa, ambil tahu hal sekeliling, setiap hari Abah tak pernah miss tengok berita. Abah paling pantang kalau anak - anak dia bodoh. Bodoh ni bukan kata bodoh sebab tak pandai, tapi bodoh sebab, dahlah bodoh, kau taknak pulak usaha bagi pandai! Aku rasa, dalam adik beradik, akulah yang paling kenyang makan libas batang ubi hadiah dari Abah. Aku selalu buat fi'il. Kata Abah.

Bila Abah dah semakin merangkak tua, tenaga Abah pun dah tak segagah dulu, badan Abah yang dulu tegap pun sekarang dah semakin diratah uzur, plastik ubat - ubatan pun dah semakin membukit dalam laci Abah, tak ada apa yang aku harapkan selain kemaslahatan Abah disepanjang usianya. Aku doakan semoga Abah sentiasa gembira dan sihat. Alhamdulillah, Abah dah jejak tanah Mekah. Terima kasih untuk kakak sulong yang dah bawak Emak Abah jejak Mekah untuk menunaikan umrah. Insyaallah, kalau ada rezeki sampailah Emak Abah ke Mekah untuk ibadah haji pulak. Insyaallah.

23 Jun lepas, genap usia Abah 70 tahun.

70 tahun weh.

Alhamdulillah Abah masih sihat, penglihatan Abah masih bagus, Abah punya pendengaran pun power. Abah masih boleh naik motor jalan - jalan bawak cucu - cucu dia. Boleh ke masjid, boleh pegi ngeteh dekat warung kopi dekat Pekan. Abah masih kuat nak menyawit, nak uruskan kebun dia. Alhamdulillah.

Aku sayang Abah.
Entah Abah tau ataupun tak. Tapi, aku sayang Abah.

Birthday dia hari tu, aku wish Abah bila aku balik dari sekolah.
"Bah, Happy Birthday!" Speaking pulak aku. 
Nasib baik Abah handal. Abah angguk je sambil senyum sikit. Kan aku dah kata, aku dengan Abah pesen yang borak tak banyak. Aku orderkan Abah kek cheese pandan, Emak masakkan Abah nasi ayam goreng rempah dengan air laici. Kita orang buat doa selamat kecik - kecik, makan anak beranak dengan keluarga Makcik aku. Jadilah. Happy betul Abah.

"Nanti Abah potong kek, ambik gambar. Emak pakai cantik - cantik." Kata Abah.

Aku selalu mintak sama Tuhan, kalau boleh, biarlah Abah hidup sampai bila - bila. Biar Abah tengok anak cucu dia sorang - sorang jadi manusia. Biar Abah gembira. Kalaupun Tuhan nak panggil Abah 'balik', biarlah lepas Abah dah betul - betul bahagia atas dunia ni. Lepas itu, aku selalu doa, mintak sama Tuhan, masukkan Abah dalam syurga. Duduk sana baik - baik adanya, tunggu kitorang datang adik - beradik sama Emak, sama suami - suami kami, sama anak - anak kami. Ye , Abah? Kita hidup sama - sama dalam syurga Tuhan. Tempat benda - benda baik dan bahagia berkekalan. Amin ya rabb.

Untuk Abah,
mintak - mintaklah suatu hari nanti, aku ada peluang untuk jerit kuat - kuat dekat telinga Abah,

"Bah, Lina sayang Abah!"

Selamat hari jadi, Bah!

Babai.

2 comments :

Ein Farah said...

Ye, pngorbanan seorng ayah memang xmampu kita blas. Asalkn kita mampu beri kebahagiaan pde dia, sudah mampu mmbuat mereka trsenyum. :)

Slamat hari lahir utk ayah awk. :)

Cik Puan Bunga said...

@Ein FarahTerima kasih! :)