Monday, November 10, 2014

Fatihah Terakhir (Untuk Norairulsham Nordin)

Aku tak pernah sedekat ini dengan yang namanya kematian.

Selama 31 tahun aku hidup dekat muka bumi Tuhan, aku tak pernah meratapi sebuah kematian. Aku tak tahu macamana rasanya ditinggal mati manusia tercinta. Aku tak pernah tahu macamana sakitnya hilang separuh jiwa. Aku tak tahu macamana rabaknya perasaan bila orang tersayang dipanggil Tuhan. Aku tak pernah tahu. Aku tak pernah rasa. Air mata aku tak pernah mengalir untuk jasad yang sudah menjadi jenazah.

Kelmarin, aku baru je berborak dengan Emak pasal engkau. Aku tanya Emak macamana perkembangan kesihatan engkau. Aku ni sepupu paling tak guna, kan? Sejak engkau jatuh sakit, aku langsung takde jenguk engkau. Aku sibuk sangat kejarkan dunia, aku jadikan kekangan masa sebagai alasan padahal kalau hendak, seribu daya kan? Aku risik khabar kau dari jauh. Dari Emak kau, dari adik - adik kau, dari makcik - makcik kita yang lain. Tapi aku tak pernah tanya kau secara personal. Tak guna kan aku? Aku tak tahu sebenarnya macamana nak tanya. Aku tak tau nak tanya apa. Aku tak tau nak buat reaksi macamana. Aku tak tau.

Aidilfitri yang lepas ni, aku datang nak melawat engkau. Tapi engkau taknak keluar. Emak engkau kata engkau tak sihat. Kami adik - beradik pun taknak ganggu engkau. Kami tahu engkau sakit, engkau nak berehat, engkau mungkin taknak diganggu. Aku datang jenguk baby baru engkau. Comel babe ! Comel gila !

Kelmarin, masa borak dengan Emak, Emak kata keadaan kau semakin teruk. Aku sedih , babe. Aku concern. Tapi aku tak tahu nak luah macamana, nak tunjuk macamana. Ada tak ada, aku doakan engkau supaya Tuhan cepat - cepat bagi engkau sembuh. Sihat macam dulu, gembira dan bahagia macam dulu. Aku cadang nak jenguk engkau cuti sekolah ni. Aku cadang nak bawak Emak Abah aku sekali datang jenguk engkau.

Kita rapat gila masa kecik kan? Kau selalu ada protect aku waktu kita pergi mengaji sama - sama. Kadang - kadang kalau ada budak lelaki musibat buat perangai bangsat ejek - ejek nama bapak aku, mesti engkau yang tolong settled kan. Satu peristiwa yang aku tak akan lupa sampai aku mati, kau tumbuk muka Hishamuddin sebab dia ejek nama bapak aku. Lepas tu dia tumbuk kau balik sampai mulut kau berdarah. Sedar sedar aje, engkau orang berdua dah bergumpal atas tanah. Kau selalu singgah main, makan, tidur rumah aku. Aku suka kalau engkau datang babe. Aku ada kawan. Aku suka kacau kau solat, aku joget - joget depan sejadah engkau. Kalau engkau lepas ambik wudhu', aku sengaja sentuh tangan kau biar wudhu' engkau batal. Tapi engkau tak marah pun kan? Engkau baik gila. Engkau selalu buat aku rasa macam aku ada abang.

Aku tahu perjalanan hidup engkau tak mudah. Aku tahu. Tapi engkau kuat gila kan? Macam - macam yang datang dalam hidup engkau, semua kau harungi dengan tenang. Kau tak pernah menyusahkan orang, kau kerja kuat, kau kerja keras untuk sara hidup engkau. Masa engkau nak kahwin, aku antara manusia yang terpaling excited kot. Masa engkau nak kahwin tu aku tengah sarat mengandungkan Adam. Dengan perut terboyot macam tempayan, aku hiaskan bilik pengantin engkau. Aku gosokkan langsir bilik engkau, langsir rumah engkau. Aku hadiahkan engkau dengan Kak Gee sepasang baju sedondon warna cokelat. Sebab aku rasa kau mesti handsome pakai warna tu. Aku happy dapat sedikit sebanyak menyumbang untuk hari berbahagia engkau.

Tapi sampai hati engkau kan, engkau pergi tak tunggu jumpa aku dulu kan? Engkau tak beri peluang langsung untuk aku jumpa engkau depan - depan, minta maaf salah silap aku dekat engkau kan? Engkau tinggalkan kami - kami semua dekat sini. Engkau balik, pergi jumpa Tuhan. Engkau tinggalkan dunia yang serba kejam, serba kotor serba tak adil ni. Engkau jalan perlahan - lahan, menuju pangkuan Tuhan. Kau tinggalkan segala derita yang kau tanggung selama ni, engkau tinggalkan segala perit jerih, engkau tinggalkan segala seksa, dan sekarang engkau hitung langkah menuju syurga. Kebahagiaan engkau selepas ini adalah yang maha suci. Engkau pergi sahut, panggilan Illahi.

Masa jenazah engkau sampai, aku dah tak boleh nak tahan sebak. Terbayang gelak ketawa engkau, perangai engkau yang selalu tunduk rapat ke bumi. Sekujur tubuh engkau yang berkafan putih diusung rakan - rakan masuk ke dalam rumah. Saat itu jugaklah, airmata aku tumpah. Saat itulah aku sedar yang engkau dan aku sudah berlainan dunia. Betapa dekatnya engkau dengan Tuhan waktu itu. Saat wajah engkau aku tatap untuk kali yang terakhir, tak terucap rasanya sayang yang selama ini tak pernah nak terluah. Engkaulah sepupu aku yang paling rapat, engkaulah kawan, engkaulah pelindung, engkaulah abang sewaktu kita kecik dulu. Aku minta maaf, aku minta maaf melebihkan dunia selama ini.

Sepupu,
aku doakan engkau bahagia dipeluk cinta Tuhan. Tenanglah engkau diselimut cinta yang paling abadi. Damailah engkau disisi Yang Maha Mencipta. Tak usah risaukan kami yang engkau tinggalkan ini, kami baik - baik sahaja. Aku minta maaf, aku iring engkau pergi dengan airmata. Aku minta maaf, aku tak berkongsi segala sakit dan derita. Aku minta maaf seumur aku hidup, aku tak pernah cakap yang aku sayang engkau. Aku minta maaf untuk banyak hal yang tak terucap.

Tuhan,
ini hamba-Mu yang penuh istimewa, letakkanlah dia disisi-Mu sebagai hamba - hamba yang Engkau cinta.
Dia anak yang baik Ya Allah.
Suami yang baik.
Ayah yang baik.
Limpahkan dia cinta-Mu Ya Allah.
Ganjarkan dia syurga.
Syurga yang Engkau janjikan untuk hamba-hamba-Mu yang beriman.
Ampuni dosa - dosanya ya Allah.
Rahmati rohnya dan Engkau himpunkanlah dia nanti Ya Allah bersama golongan - golongan manusia yang engkau redha.


(16.9.1980 - 9.11.2014)
Inor,
Engkau tenang - tenang tunggu kami menyusul ya?
Semoga kita semua nanti bisa bersatu berjumpa di akhirat sana.

Sepupu,
aku bekalkan engkau dengan Fatihah ya?
Selamat jalan bertemu Tuhan.
Selamat kembali bertemu Illahi.
Tenang - tenang ya?
Tenang - tenang.

Innalillahiwainnalillahirojiun

8 comments :

ezyra daniel said...

salam takziah.semoga arwah tenang di sana.seaya juga baru kehilangan kawan lelaki..meeninggal sebab eksiden selang 3 hari raya haji yg lepas.tuhan je yg tahu mcm mana sedih dan teruk nye saya nagis.

kerusiburok said...

al-fatihah. bersabar ek. Tuhan lagi sayangkan dia. kalo kita syang dia, bykkan doa kat dia. semoga dia tenang dinsan Amin.

Cik Puan Bunga said...

@ezyra danielTerima kasih. Kehilangan orang yang kita sayang memang.. ah.

Cik Puan Bunga said...

@kerusiburokAmin. Terima kasih! :')

azura rahman said...

takziah..

ddJaafar said...

aku tak sangka rupanya sepupu kau ni adalah suami sahabat aku sndiri.aruldziah.
aku dapat tau dia sakit dari kawan kawan kami jugak.ada kawan yang ajak aku buat sumbangan masa hayat arwah,tapi aku takut nak usahakan.sudahnya aku diam je.sampailah kelmarin..kawan kami bgtau suami aru dah pergi buat selama lamanya.

al fatihah.aku jugak sedih baca entry kau kali ni.

Cik Puan Bunga said...

@azura rahmanTerima kasih :')

Cik Puan Bunga said...

@ddJaafarYa Allah keciknya dunia ni, DD!