Tuesday, October 13, 2015

8 Oktober 2015



Tak macam tahun – tahun lepas, tahun ini sangat sendu dan menyedihkan.

Kalau tahun – tahun lepas, malam 8 Oktober tu aku selalu tunggu tepat jam 12 tengah malam. Nak tengok, siapa orang pertama yang wish pastu tidur lewat 2,3 pagi reply mesej and chats daripada students ke, kawan – kawan ke, jiran kampung ke,geng – geng whatsapp dan sebagainya. Tapi malam kejadian tu, pukul 10.30 malam aku dah bersiap – siap untuk tidur. Dengan migraine, sakit – sakit badan, dengan emosi yang terumbang – ambing like a small boat, on the ocean, sending big waves, into motion lagi pulak eh ni apasal Rachel Platten masuk dalam cerita ni? Jadinya, aku tidur awal. Handset campak jauh – jauh. Kunci jam pukul 5.30 pagi (Menipu je. Bangunnya pukul 6 jugak. Habis jam loceng diterajang sampai ke dinding) Maka seorang perempuan yang sedang berduka nestapa tetapi kekal jelita pun tidur dengan hatinya yang walang.

Bangun pagi, sikit pun aku tak endahkan whatsapp yang melambak masuk dalam phone. Lepas mandi, lepas solat, lepas bersiap – siap nak pergi sekolah barulah aku tengok phone satu – satu. Mesej – mesej ucapan yang masuk, aku pandang sepi je. Takde langsung rasa suka ke, terharu sambil menangis ke, apa ke. Takde. Kosong. Kosong. Kosong. Depress level 999.

Kemudian baru tersedar perangai sendiri yang macam kacang lupakan kulit. Dasar manusia tak tahu bersyukur. Asyik nak fikir sedih je sampai bila aku nak maju. Langsung tak tahu bersyukur! Bangun pagi 8 Oktober 2015 tu je Tuhan dah beri aku satu hadiah birthday yang kalau orang dalam kubur tu pun, kalau boleh bangun balik, dia nak mintak hadiah yang sama sebijik macam aku dapat dari Tuhan. Tuhan beri aku hadiah nikmat kehidupan. Bernafas di usia 32 tahun. Sihat tubuh badan. Cantik. Kurus. Bijak bestari ibarat sang kancil, apa lagi yang aku sibuk nak rengekkan? Alhamdulillah. Terima kasih Ya Allah. Aku tempeleng sikit muka sendiri. Kufur nikmat. Tak tahu bersyukur. Barulah aku capai handset dan baca satu – satu mesej yang orang hantar pada aku. Terdengar bunyi hati yang retak.

Kalau tahun – tahun lepas, perjalanan dari rumah ke sekolah akan menjadi satu perjalanan yang mendebarkan. Memikirkan apa pulak hadiah dari students yang aku akan dapat tahun ni, memikirkan apa pulak surprise yang Oat akan buat untuk aku tahun ni. Berapa banyak kek boleh aku kumpul tahun ni, siapa pulak yang bagi teddybear tahun ni, semua tu akan bermain – main di fikiran. Sengih kerang lah sepanjang perjalanan. Kerang tu pun kalau nampak aku sengih, dia pun mohon berhenti jadi kerang agaknya. Tetapi, ya tetapi tuan puan sekalian, tahun ini perjalanan dari rumah ke sekolah menjadi satu perjalanan yang maha panjang dihiasi dengan airmata dan kesenduan. Hakikat bahawa sampai je aku dekat sekolah nanti tak akan ada siapa yang peduli pun 8hb Oktober tu hapa kejadahnya yang berlaku. Sama macam hari – hari yang lain. Hari Khamis. The fuck? Bukan diorang kisah pun. Maka semakin lebatlah aku menangis di dalam hati. Sumpah ni aku nangis dalam hati. Takkan nak nangis betul-betul, nanti make up aku sememeh siapa nak tanggung? Pentingkan diri sendiri bukan? Sudahlah bersedih, eksyen pula.

Sampai sekolah, lambat je aku tarik kaki ni untuk berjalan. Ala, macam yang korang selalu tengok dalam cerita Melayu tu. Heroin dia sedih, lepas tu jalan lambat-lambat sambil airmata berguguran. Dekat background dia, ada lagu sedih dari artis Indonesia. Bayangkan macam tu sekarang. Ha, macam gitulah aku konon-kononnya. Jalan lambat – lambat. Beg seret dekat tanah. Background music dia lagu Berhenti Berharap – Sheila On 7. Memang win. Jalan macam gitu dekat sekolah baru rupanya tak mampu nak menarik simpati mata yang memandang. Semua buat tak faham. Semua buat tak tahu. Lantak kaulah sana perempuan. Mungkin begitulah ayat mereka di dalam hati masing – masing.

Hampir nak masuk ke pintu bilik guru, ada seorang pengawas Form 2 tahan aku. Nama dia Mastura. Cantik je budaknya. “Teacher! Ni Cikgu Oat kirim! Happy birthday!” ucap Mastura dengan penuh keriangan. Dia tak tahu dalam hati aku ni rasa nak jerit – jerit tarik rambut je rasanya. Ada jugak yang bagi aku hadiah. Macam nak peluk Mastura, tapi segan pulak. Hadiah bersambut. Aku tahan airmata dari jatuh. Nanti tak macho. Sebab depan bilik guru tu ada sekumpulan budak cina lelaki tengah melepak. Agak kacak – kacak mereka itu. Muka macam artis Korea. Jatuh saham karang. Ke aku tengah sedih sangat sampai berhalusinasi teruk begitu. Tak mampu nak bukak hadiah yang Oat bagi. Jadinya aku sumbat je hadiah tu masuk dalam beg. Sunyi je suasana. Kalau dulu, pagi birthday aku dekat sekolah disambut macam ala ala YB nak masuk kampung. Orang ucap “Happy Birthday” sana sini dah macam orang besar-besar. Ada la sekali dua aku perasan macam Neelofa sikit. Ala, sikit je. Konon-konon artis. Ala, bagi can lah. Tapi hari tu, bunyi cengkerik sayup – sayup kedengaran je yang aku dengar. Mastura adalah satu – satunya manusia yang ucap birthday untuk aku pada hari itu.

Aku lalui kelas pada hari itu dengan perasaan yang sukar untuk diluahkan. Kejap karang rasa macam nak nangis, kejap karang rasa macam nak pengsan. Kejap karang rasa macam nak terjun bangunan. Sudahnya, aku demam. Seboleh-bolehnya taknak tengok handphone. Taknak baca chat-chat yang akan membuatkan aku super sedih. Nanti aku nangis karang cemana? Masa aku nak tinggalkan kelas 1B, tiba – tiba ada sorang pelajar datang dekat. Nama dia Adam. “Happy birthday, Teacher!” ucap Adam. Terkesima beberapa saat aku dibuatnya. Rupa-rupanya Adam ni adik kepada Mastura. Maknanya, dah dua orang wish birthday dekat aku pada hari itu. Sekali lagi aku diserang perasaan yang pelbagai. Nak je rasanya aku panjat tiang bendera sambil jerit kuat-kuat. Aku nak bagitahu satu dunia yang celaka palat macamana pun orang buat aku, aku takkan patah semangat! Takkan! Tapi biasalah, aku kan penuh dengan drama. Tak jadi panjat tiang bendera, aku duduk sopan-sopan dekat meja guru sambil otak ligat ulang tayang semua kenangan manis waktu sambutan birthday aku pada tahun – tahun yang lepas. Untuk kali yang entah keberapa, aku terdengar lagi bunyi hati pecah.

Lama aku termenung. Sambil mencari hikmah yang Tuhan cuba sampaikan kepada aku. Dalam pada aku termenung tu, aku tengok balik nikmat – nikmat yang Tuhan dah berikan kepada aku. Satu, nikmat kehidupan. Aku dapat sambut birthday sampai ke umur yang ke tuga puluh dua tahun. Alhamdulillah. Ada orang tak sempat cecah umur aku, dah meninggal. Dua, nikmat kebahagiaan cinta. Tuhan kurniakan aku suami yang terbias surga. Kacak, penyayang, penyabar, beriman, pandai memasak. Alhamdulillah. Ada orang umur dah lanjut, masih lagi mencari – cari teman hidup. Tiga, nikmat zuriat. Tuhan beri aku anak lelaki yang bukan sahaja handsome dan menawan, tetapi sihat tubuh badan. Petah berkata – kata, pandai boleh tahan, malah comel pula. Saling tak tumpah macam Emaknya. Alhamdulillah. Ada orang dah berpuluh tahun kahwin, belum lagi dikurniakan Tuhan dengan zuriat. Itu baru tiga. Banyak lagi nikmat yang Tuhan bagi pada aku yang aku sengaja terlepas pandang. Nikmat pekerjaan, nikmat tumpang kasih sayang Emak Abah, bukan setakat tumpang kasih, tumpang rumah pulak tu. Banyak. Banyak yang Tuhan kasi. Dan Tuhan baru tarik balik sikit nikmat kegembiraan picisan dalam hidup aku, aku dah menggelupur macam cicak jatuh atas dodol. Astaghfirullah. Mengingatkan ini semua, hati aku tenang sikit. Sedih masih ada, tapi mula terkawal. Hati yang pecah tadi tu, aku tampal pakai selotep. Aku istighfar banyak-banyak. Mohon Tuhan ampunkan dosa.

8 Oktober 2015.

Aku tinggalkan sekolah dengan kereta kosong tanpa hadiah. Tak seperti kebiasaan macam tahun – tahun yang lepas. Kalau dulu, setiap kali birthday, balik dari sekolah memang mengangkut hadiah. Kali ini, kosong. Tapi aku perasan, ada sesuatu yang penuh. Jiwa aku. Entah kenapa aku rasa jiwa aku sedikit terisi dengan ‘sesuatu’ yang susah aku nak ceritakan. ‘Sesuatu’ yang sedikit sebanyak buat aku tenang. ‘Sesuatu’ yang entah kenapa buat aku dekat sangat dengan Tuhan. Disebalik kesedihan yang Tuhan kirimkan ini, ‘sesuatu’ berlagu dalam jiwa aku. ‘Sesuatu’ yang seolah – olah berbisik tanpa suara. Sabar Yatt. Katanya. Sabar. Hang in there. Tinggal sikit lagi Yatt. Tinggal sikit. Habis saja taufan ini, kau akan dakap pelangi.

Tanpa sedar, sambil memandu –
aku menyunging senyum, sambil harapan aku gantung setinggi – tingginya pada yang Satu. 


Sabar Yatt eh. Sikittt lagi. Insyaallah.

6 comments :

Shahril Mohd said...

Assalamualaikum
Hope cikgu dah ok la time update berbanding dgn tarikh 8 hari bulan tu
Wish you all the best n selamat hari lahir :)
Silent reader

missieza@iezzs said...

Salam, cikgu,

HAPPY BIRTHDAY CIKGU, Semoga dipanjangkan umur, murah rezeki, diberikan kesihatan yang baik, berjaya dunia akhirat.

Bulan lahir kita sama :)

Cik Puan Bunga said...

@Shahril MohdTerima kasih Shahril ><,

Cik Puan Bunga said...

@missieza@iezzsTerima kasih! Hye Libra! Hihi! selamat hari lahir juga untuk awak, semoga Allah cinta ya! ><,

Aini Nazihah said...

:) I know that you're that strong

Cik Puan Bunga said...

@Aini NazihahAlways! ><,