Saturday, October 10, 2015

Sudah Tujuh Tahun Hafizal Elias Bernikah.

Kalau tak ada dia. Aku mati.

Betul. Aku tak bohong. Kalau tak ada yang namanya Hafizal Elias dalam hidup aku, aku tak tau apa yang terjadi dekat hari - hari aku yang mendatang. Hafizal Elias, sumber kekuatan aku. Sumber cahaya aku. Sumber kebahagiaan aku. Manusia yang sentiasa akan cakap aku cantik walau apapun keadaan aku. Agaknya kalau aku baru keluar daripada longkang dengan ikan mati atas kepala pun dia akan cakap aku cantik. Sebab tu kalau fikir pasal mati, biarlah aku yang mati dulu. Sebab aku tau Hafizal Elias akan sentiasa boleh hidup tanpa aku. He's a fighter. The toughest one. Aku lain. Aku biskut sikit. Rapuh. Cepat mengalah. Aku sangat yakin aku tak boleh hidup tanpa seorang Hafizal Elias. Hafizal Elias, jiwanya - tempat aku curahkan segala kasih segala cinta.

Hari ini, 10 Oktober 2015, adalah usia pernikahan kami yang ke tujuh tahun. Kalau nak cerita tujuh tahun ni apa yang ada, apa yang kami dah lalui sama - sama, memang sampai subuh besok tak habis lagi. Tujuh tahun bukanlah satu jangkamasa yang lama. Orang lain pun nikah jugak. Ada yang sampai berpuluh - puluh tahun. Takde pun bising - bising macam kau lahai. Ah gasaklah. Pada aku, tujuh tahun yang kami lalui bersama daripada tarikh hari pertama kami dinikahkan akan menjadi satu ingatan, kenangan manis level 999 sampai aku tua kerepot renyuk besok.

Hafizal Elias adalah manusia yang akan aku tabik sepanjang hidup aku. Lelaki paling penyabar pernah aku jumpa sepanjang hidup aku. Setiap kali aku ada masalah (Atau lebih tepatnya setiap kali aku mencari masalah) dialah manusia pertama yang akan aku cari. Tak kiralah dia redo ataupun tidak. Kehkeh. Sekecil - kecil masalah (Contohnya penutup sos tak boleh bukak ke apa) sampailah sebesar - besar masalah aku akan lambakkan segala - galanya dengan dia. Dia dengan sabarnya akan mendengar setiap apa yang aku sampaikan. Tanpa jemu.

Dalam keadaan hidup yang seringkali diuji Tuhan, Hafizal Elias lah tempat aku menagih sedikit kekuatan. Setiap kali aku lemah, aku rasa tak berdaya, aku rasa sangat rapuh dan hampir - hampir tewas dikalahkan taqdir hidup, kekuatan cinta dialah yang akan buat aku bangkit semula. Aku bangun demi dia. Aku terus berjuang demi dia. Hafizal Elias selalu cakap yang aku kuat. Aku tabah. Dia yakin pada aku. Dan aku takkan kecewakan setiap harapan dia. Sebab aku tahu aku memang kuat. Dan aku ditaqdirkan Tuhan untuk membuktikan betapa kuat dan tabah sebenarnya kita boleh jadi, kalau kita percaya dan yakin dengan Tuhan yang satu.

Hafizal Elias ajar aku masak. Aku ni masak pun tak tau. Bodoh sangat. Masak daging burger pun boleh hangus. Aku ingatkan daging burger tu kalau warna dia hitam lagi sedap. Rupanya hitam tu sebab dah hangus. Pongkesnya lahai perangai. Hari tu dia suruh aku jagakan sekejap ayam goreng, dia nak pergi solat, menggelibas aku kejut abah suruh teman aku tengokkan ayam goreng dalam kuali. Pasal aku tak tau dah masak ke belum. Kan bengap namanya. Rata - rata suami zaman sekarang mesti nak cari isteri yang pandai masak, yang tahu bezakan sawi dengan kobis, yang tahu bezakan ikan kembung dengan ikan selar. Aku? Aku dengan yakinnya panggil petola tu rebung. Masyarakat memang kecam aku bila diorang tau aku tak pandai masak. Tapi bila aku cakap dengan Hafizal Elias, steady je dia jawab, apa nak kisah, aku tak pandai masak, kan ke dia pandai masak. Takkan ada siapa yang kebulur punyalah. Begitulah jawapan beliau.

Hafizal Elias punya tahap kesabaran memang Jedi Master punya level. Seumur hidup aku, tak pernah aku jumpa lelaki yang dia punya sabar sampai tahap macam gitu. Bukan senang nak bela aku. Inikan lagi nak memperisterikan aku. Dengan degilnya, dengan perangai macam - macamnya, ini pulak dengan kehadiran Adam Irfan Xaharis menyerikan lagi perkahwinan kami, yang perangainya memang 300% fotostat perangai aku, aku tak pernah nampak Hafizal Elias mengamuk atau tinggikan suara. Semua orang dalam rumah ni sayang Hafizal Elias. Aku syak emak abah pun lebih sayangkan dia berbanding aku. Sendunya hidup.

Bukan mudah hidup dengan aku. Setiap kali aku dikecam manusia, Hafizal Elias tak pernah meragui aku. Dia sentiasa ada dengan aku. Dia manusia yang kenal aku luar dan dalam. Aku tak suka menangis depan dia. Sebab dia paling tak suka tengok orang menangis. Tapi, kalau dah tak tahan, tumpah juga. Dia takkan cakap banyak. Takkan keluarkan ayat - ayat drama untuk memujuk. Takkan. Hafizal Elias manusia yang setahun bercakap cuma beberapa perkataan je. Dia takkan pujuk aku dengan cakap - cakap manis penyedap telinga. Dia cuma akan tarik kepala aku rapat ke dadanya. dan disitulah aku menangis semahu - mahunya. Dekat dengan hati manusia yang aku cinta.

Aku selalu doakan supaya hidupnya sentiasa diberkati dan dilimpahi cinta Yang Maha Esa. Supaya jalan rezekinya dibentangkan seluas - luasnya. Supaya urusan hidupnya sentiasa dimudahkan Tuhan. Aku rasa, kalau aku selak kamus pun, perkataan yang paling sesuai untuk aku nyatakan betapa aku cintakan dia sepenuh jiwa dan raga aku ni, belum lagi dicipta. Terlalu. Teramat. Terlampau. Infiniti. Sangat - sangat. Hafizal Elias adalah satu kurniaan Tuhan pada aku. Anugerah terindah. Tak ada lelaki lain dalam dunia ni yang menjadi tempat aku tumpahkan segala rasa yang ada , yang boleh menggantikan tempat dia. Kalau nak diikutkan, aku ni tak layak rasanya untuk menjadi isteri dia. Hafizal Elias terlalu sempurna untuk manusia yang serba kurang macam aku. Terima kasih Tuhan. Terima kasih.

Hafizal Elias, selamat usia pernikahan kita yang ke tujuh. Terima kasih kerana terus menjadi pelindung aku jiwa dan raga. Pimpinlah tangan aku, Hafizal Elias. Bawalah aku bertemu pencipta kita dengan satu ikatan maha suci yang kita bina bersama. Jadilah peneman aku di syurga Allah nanti. Jemputlah aku menjadi ketua bidadarimu disana kelak. Semoga Tuhan sentiasa cinta kepada kau, suami ku. Semoga setiap satu doa - doa kecil kita bisa bersatu di Arasy Tuhan nanti. Terima kasih Hafizal Elias, kerana memilih aku sebagai isteri.

 Sampai syurga. Insyaallah.

Alah. Mata masuk habuk pulak. Dahlah. Babai lah!

8 comments :

SHa said...

May Allah bless you both....
happy anniversary to u and hubby...

Aini Nazihah said...

hashtag relationship goal ��

Cik Puan Bunga said...

@SHaAmin. Terima kasih! ><,

Cik Puan Bunga said...

@Aini NazihahAmin ya rabb! ><,

qaseh dalia said...

Lama xjenguk sini , hepy anibesery sis .. 7 tahun bkn masa yg singkat hehe

Cik Puan Bunga said...

@qaseh daliaKan! ><, Thank you awak!

Anonymous said...

"Kalau nak diikutkan, aku ni tak layak rasanya untuk menjadi isteri dia. Hafizal Elias terlalu sempurna untuk manusia yang serba kurang macam aku"

Mungkin dekat mata suami akak, akak perempuan paling sempurna di dunia ni. Patutlah anda gagah dengan sepak terajang manusia, rupanya ada tulang belakang yang lebih perkasa yang sentiasa menyokong di belakang.

Tak nak wish anniversary kat akak. Tak tulis ucapan semoga itu, semoga ini dekat ruang komen ni. Tapi nak doa untuk akak sekeluarga dalam sujud terakhir nanti.

Insan misteri yang request entri tabah

Cik Puan Bunga said...

@Anonymous (Mata masuk habuk)