Thursday, December 22, 2016

Satu Kelahiran : Dedikasi Untuk Suami.

Dulu kan, aku selalu fikir yang kalau sorang perempuan tu susah gila nak beranak, tu mesti dia banyak buat dosa tu lagi-lagi dengan laki dia. Mesti punyalah. Kan selalunya dalam cerita-cerita Melayu kan kalau bini dia perangai macam pongkes dengan laki dia kan nanti Tuhan kasi azab kaw-kaw punya time nak bersalin nanti. Lepas tu barulah bini dia merengek-rengek, merayu merangkak-rangkak mintak ampun dengan laki dia. Kan? Kan? Lepas tu laki dia buat eksen taknak ampunkan dosa bini dia lepas tu bubuh skrip seround macam "Ah sudahlah kau Leha. Ini semua balasan Tuhan atas dosa-dosa kau terhadap abang..blablabla." Lepas tu nanti ada flashback bini dia terajang laki dia la, bini dia kasi laki dia makan nasi kangkang la, bini dia bubuh clorox dalam kopi laki dia la sambil ada background lagu sedih-sedih gitu.

Tu mindset aku dulu. Aku rasa kalau kita ditimpa musibah, tu semua namanya bala. Tuhan nak kasi ajar sikit biar kita beringat. Tapi bila umur dah menginjak tua ni (Helemek tua ke?) aku sikit demi sikit mula ubah persepsi dan mindset aku terhadap konsep bala ni. Bagi aku, kalau Tuhan beri sesuatu yang berat untuk kita hadap, untuk kita telan, untuk kita tempuh, tu bukan bala namanya. Tu namanya ujian. Tuhan bagi. Kenapa Tuhan bagi kita ujian? Aku pernah dengar satu Ustaz ni cakap, Tuhan kasi kita ujian sebab Tuhan sayang. Tuhan nak dengar kita sebut-sebut nama Dia dalam doa. Ustaz ni cakap, ujian itu fungsinya adalah untuk mendekatkan kita pada Tuhan. Bukan untuk menjauhkan. Dan Tuhan pun dah sebut dalam Al-Quran, kalau kita bersabar dengan setiap ujianNya, insyaAllah ada hikmah yang menanti kita. Setiap susah payah kita, pahit jerih kita tak akan pernah terbiar gitu je dengan sia-sia. Sekecik-kecik kuman, ada habuannya. Yang penting, kita sabar dan redha.

Masa aku terlantar menanggung sakit untuk melahirkan Yusuff, dalam pada sela masa menahan contraction tu, tak ada benda lain yang aku bayangkan dalam kepala melainkan suami aku. Terbayang-bayang dari saat kitorang kenal, sampailah ke zaman kitorang bercinta sampailah ke saat kami bernikah. Aku terbayang dosa-dosa yang aku buat dekat dia. Aku ni keras kepala. Kuat melawan. Kalau dah kata keras kepala kuat melawan tu, maka memang selalulah cakap-cakap suami yang aku lawan. Suami kata A, aku menjawab sampai ke Z. Ada je yang aku nak bertekakkan dengan suami. Kuat menjawab. Nak nak pulak suami sifat dia sangat kontra dengan aku. Suami tak banyak cakap. Aku ni pulak dari celik mata sampailah ke tidur, ada je benda yang aku nak bebelkan. Aku terbayang zaman - zaman jahiliyyah aku dulu. Zaman dimana aku sibuk dengan seronoknya dunia. Sibuk kejar nama, sibuk kejar kebahagiaan yang sementara.Aku lebih utamakan kerja, utamakan kawan-kawan, utamakan benda lain selain keluarga. 8 tahun bernikah, aku rasa aku tak pernah buat apa-apa untuk suami. Aku tak pernah menjadi isteri yang baik untuk dia. Aku cuma jadi isteri hanya pada nama. Time ni aku nangis teresak - esak macam budak kecik. Meleleh-leleh hingus. Nasib baik wad aku ni ada tirai yang pisahkan kita dengan katil depan and katil sebelah. Aku tarik tirai tu. Malulah kalau orang nampak aku nangis. Hilang macholah.

Aku tak pernah berkorban apapun untuk suami. Kalau nak dibandingkan aku dengan dia, memang macam langit dengan bumi. Dalam pada tengah sakit-sakit tu, aku angkat dua tangan aku, aku tadahkan doa untuk suami. Aku cakap dengan Tuhan, kalaulah aku sakit menahan contraction ni dan sakitnya aku masa nak melahirkan bayi ni nanti dianugerahkan Tuhan dengan sedikit pahala, maka aku hadiahkan semua pahala-pahala tu untuk suami. Sakit ini, aku tanggung semuanya demi suami. Aku hadiahkan segenap kekuatan dan ketabahan aku menahan sakit ini, khas untuk suami. Kalaulah perjuangan hidup mati untuk melahirkan zuriatnya ini boleh dipanggil sebagai satu pengorbanan, maka ini korban aku khas untuk suami. Setiap darah yang mengalir, setiap tulang yang membengkok lentur, setiap urat yang terputus semuanya, semuanya aku dedikasikan untuk suami.

Dan kemudian...lahirlah Yusuff. Sihat dan sempurna dengan izin Tuhan yang Maha Esa. Penguat kasih antara aku dan suami. Bayi yang kami nanti - nantikan selepas 6 tahun kelahiran Adam.  Bayi yang kami tunggu - tunggu. Kata Kak Zana, kehadiran Yusuff ni sebenarnya hadiah terunggul dari Tuhan. Cukup-cukuplah aku bersedih, dimalukan, dinafikan - maka, Yusuff inilah hadiah dan hikmah dari kesabaran yang selama ini aku tanamkan dalam hati. Yusuff inilah penyejuk hati kami suami isteri. Yusuff inilah pembawa rezeki kebahagiaan buat kami. Allahu. Perancangan Tuhan itulah yang Maha Hebat Maha Sempurna.

 18 hari melihat dunia.
Lepas ni, aku cuba untuk menjadi isteri yang lebih baik untuk suami. Yang akan membahagiakan suami di dunia dan di akhirat. Jauh lagi dari sempurna, tapi aku sedang cuba dan akan terus mencuba. Isteri yang layak untuk menjadi pendamping suami di syurga. Sekaligus menjadi ketua segala seantero bidadari-bidadari di taman euphoria Tuhan nanti. Insyaallah.

Amin.

Wednesday, December 14, 2016

Yusuff Kahfi Xunnurain

Assalamualaikum. 

Entry ni panjang. Aku nasihatkan sebelum start baca baik pergi ambik keropok ikan dulu. Karang lapar.

Hari ni hari ke sebelas berpantang merangkap hari ke sebelas melahirkan anak kedua. Alhamdulillah badan dah rasa sihat. Kalau berjalan kesana sini pun dah gagah. Dah start buat kerja rumah yang ringan-ringan cap ayam macam menyapu and basuh pinggan sikit-sikit. Pun dah mula selesa bila nak bangun dari tempat tidur atau nak duduk bersimpuh sambil nursing adik baby and tengok TV. Alhamdulillah Tuhan beri kesembuhan yang agak speedy jugak dan alhamdulillah takde sebarang komplikasi selepas bersalin. Cuma sekarang ni tengah giat menyusukan adik baby sebab dia ada jaundice sikit. Tak apa. Berlapang dadalah. Ini namanya ujian Tuhan.

Baru berkesempatan nak share pengalaman bersalinkan adik baby. Sejak tahu yang diri sendiri mengandung anak kedua sampailah ke tarikh melahirkan adik baby, memang lain gila dari masa mengandungkan Adam dulu. Sebab tu orang kata mengandung ni lain - lain. Pengalaman pun tak sama. Kalau ada sepuluh juta perempuan yang mengandung dan melahirkan ni, maka akan ada sepuluh juta jugak kisah mengandung dan melahirkan yang berbeza.

Sepatutnya due date adik baby was 3hb Disember 2016. Memang dari awal lagi aku berdoa supaya time nak melahirkan anak kedua nanti aku tak perlu lagi melalui pengalaman bersalin induce macam time Adam dulu. Orang kata sakitnya berkali-kali ganda. Orang katalah. Aku takde comparison lah kan sebab Adam dulu tulah first time aku bersalin. Tapi untuk anak kedua ni nak jugak aku merasakan pengalaman bersalin secara natural dan mengalami sendiri natural contraction. Tapi nampaknya taqdir Allah mengatasi segala-galanya. Allah tahu apa yang terbaik untuk aku. Mengandung dengan risiko kencing manis dan under diet control, kalau aku tak bersalin jugak 2hb Disember tu maka aku kena menyerah diri ke hospital untuk di induce.

So hari Jumaat tu, lepas suami solat Jumaat, aku pun dah packing barang-barang yang nak dibawa ke hospital sekali dengan barang-barang suami, maka lebih kurang pukul 3 petang macam tu kami pun gerak ke Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat. Perasaan time tu bercampur-baur sangat. Kalau dulu pergi hospital tinggalkan mak abah dan kucing-kucing, kali ni pergi hospital tinggalkan Adam dekat rumah. Lain betul perasaannya. Sayu, macam nak nangis. Sedih sangat. Takut - takut kalau aku tak balik.

"Abang, macamana kalau Lina meninggal masa bersalin nanti?"
Suami diam. Lepas tu pendek je dia jawab.
"Mati syahid tau. Masuk syurga."
Terus terdiam aku. Suami ambil tangan kanan aku dan genggam kuat-kuat. Entah apa ke drama lah yang aku rasa time tu. Syahdu lain macam. Dalam hati tak putus-putus berdoa pada Tuhan semoga dipermudahkan segala urusan.

Sampai hospital, suami terus bawa ke Dewan Bersalin. Walaupun belum nak bersalin lagi tapi sekarang prosedur dia memang macam tu. Bawa ke Dewan Bersalin dan tunggu giliran untuk doktor periksa. Ada dua tiga orang jugak ibu-ibu dnegan komplikasi yang macam-macam tengah tunggu turn untuk diperiksa. Tengah bosan - bosan tunggu giliran, tiba - tiba ternampak muka yang familiar. Terserempak pulak dengan Efni. Dia pun nak check pregnancy jugak sebab dia dah ada mild contraction and dah turun tanda. Tak adalah aku mereput tunggu turn sorang - sorang macam patung cendana. Borak - borak dengan Efni lupa segala kerisauan yang dok melenting - lenting dalam hati.

Aku masa ni dalam hati dah berdoa semoga aku dijodohkan dengan doktor perempuan. Aku berdoa supaya Tuhan peliharakan aurat aku. Tapi sekali lagi, Allah tahu apa yang terbaik, doktor lelaki pulak yang check aku. Lepas doktor buat check bukaan, doktor bagitahu yang aku dah opening 1cm. Alhamdulillah. Syukur. Dalam hati masih lagi berdoa supaya aku tak kena induce. Kot-kot la malam tu aku bersalin ke apa ke kan. Lepas habis prosedur dekat Dewan Bersalin, suami terus daftarkan aku masuk wad dan dijadualkan untuk di induce first shot pada esok pagi pukul 11 pagi. Memandangkan belum ada apa-apa yang berlaku dan aku pun takde rasa sakit nak bersalin ke apa ke, suami batalkan hasrat nak stay hospital malam tu. Kesian jugak dengan suami takut dia tidur tak selesa ke apa ke. So aku suruh dia balik and temankan Adam tidur malam tu. Kesian Adam. Rasa rindu membuak - buak pulak dekat dia. Kalau depan mata tu asyik kerja nak buat Mama marah je. Bila jauh rindu pulak.

Lepas masuk wad and kemas barang - barang, waktu melawat pun dah habis dah. Suami nak balik dah, ha time ni lah memang buat drama swasta level 999 punya. Mulalah nak sedih sayu hiba bagai dengan drama airmata lengkap semua ada. 8 tahun bernikah dengan suami tak pernah kena tinggal dengan suami melainkan kalau dia kena kerja malam. Mestilah sedih. Dahlah aku ni spesis perempuan yang mengada-ngada, muka gangstar tamil punya tapi bila nak kena tinggal suami berkaca-kaca mata. Sebelum suami balik aku minta maaf segala salah silap aku dengan suami, mohon dia doakan aku bersalin normal tanpa induce. Malam tu aku memang sorang - sorang menanggung kesenduan yang bermaharajalela dalam hati. Lepas solat Isya' dekat tepi katil, aku capai phone and baca surah Yasin. Habis je baca surah Yasin, aku sambung berzikir sambil mulut tak putus-putus berdoa semoga Tuhan memperkenankan doa aku untuk bersalin tanpa induce.

Entah berapa kali aku terlelap pastu terjaga lagi sebab penghuni katil sebelah dok ulang - alik sana sini sampai aku pun naik rimas. Dia pun mangsa induce jugak tapi belum ada bukaan. Dari siang tadi opening serviks dia cuma 1cm. So aku agak dia dok ikut petua orang - orang untuk kerapkan berjalan untuk menggalakkan pembukaan pintu rahim. Entahlah. Yang aku tahu aku serabut perut tengok dia jalan - jalan macam tu. Dah terjaga macam tu, nak tidur pun tak boleh, aku pun sambunglah baca Yasin dan berzikir lagi. Sampailah aku terlelap sendiri dan bangun keesokkan harinya untuk solat Subuh. Time nak mandi tu aku perasan ada lendir bercampur dengan darah, tapi time ni takde rasa contraction apa lagi. So lepas mandi, and solat Subuh, aku pun sambung lagi baca Yasin dan berzikir. Selagi belum pukul 11 pagi maka aku masih ada harapan untuk tidak diinduce. Manalah tau kan.

Uniform kaler pink okay. Mak suka!
Kalau ikutkan kelayakan memang layaklah masuk was kelas 1. Tapi sebab aku kes GDM dan bakal diinduce , maka tercampaklah aku di wad kelas entah keberapa ni. Takpelah. Kakak redha dan pasrah.
 Sabtu // 3 Disember 2016 // 11 pagi.


Tepat pukul 11 pagi, aku dipanggil masuk ke bilik rawatan. Doktor terangkan prosedur untuk diinduce dan kebarangkalian yang bakal berlaku selepas diinduce. Doktor yang in-charge untuk kes aku ni nama dia Doktor Hafezul.So dia terangkan yang proses induce ni akan berlaku sebanyak 3 kali. Dan kalau dah 3 kali induce tu jugak aku masih belum ada sebarang tanda kontraksi atau takde sebarang bukaan maka option kedua akan dipertimbangkan iaitu operation. Sebab aku GDM maka aku tak boleh biarkan baby duduk lama dalam perut. Kena lahirkan dia on time melalui apa cara sekalipun. So lepas Doktor Hafezul bagi penerangan ni, maka prostin first shot pun dimasukkan dan aku tak boleh bangun atau buang air selama 1 jam. Maka terpasrahlah aku terbaring sambil menunggu effect ubat tu untuk bertindak balas.

Pukul 12.30 tengahari suami datang melawat. Masa ni aku dah mula rasa mild contraction yang acah- acah. Kejap ada kejap takde. Masa diorang hidangkan lunch pun aku masih boleh makan lagi. Berselera betul aku makan ikan masak merah dengan sayur sawi dia tu. Umpama sebelum ni aku tak pernah pulak makan ikan masak merah sesedap begitu. Badan pulak dah mula berpeluh - peluh. Suami pesan suruh makan kurma banyak - banyak dan minum air zamzam. Abah ada bawakkan air akar kayu Orang Asli. Tapi aku takut nak minum. Aku takut kalau aku minum nanti sakit dia lain macam nauzubillah tapi takde bukaan langsung. So aku set dalam kepala yang aku akan hanya minum air yang abah sediakan ni bila aku dah betul - betul sakit tak tertanggung nanti.

Waktu melawat habis pukul 2 petang, suami pun nak pergi makan and pergi solat and dia janji akan datang lagi untuk sesi melawat petang nanti. Aku pun ambik kesempatan ni untuk solat, sambung baca Yasin lagi and terus berzikir sampai aku tertidur kepenatan. Contraction dah mula terasa. Wah! Macam ni ke rasa dia! Mula - mula kau akan rasa baby mengeras. Beberapa saat lepas baby mengeras tu kan akan rasa perut kau menggelodak nauzubillah selama beberapa puluh saat. In my case, rasa menggelodak berserta sakit dekat pinggang yang mencengkam tu berlarutan selama 36 saat. Sela masa antara rasa sakit tu adalah 3 minit. Maksudnya hilang je rasa sakit tu contohnya pukul 5.00 petang, rasa sakit tu nanti akan kembali pukul 5.03 petang. Macam tu. Time solat Asar memang susah sikit sebab kau kena tahan rasa sakit tu sambil kau terbongkok-bongkok nak rukuk nak sujud. Mengalir jugak airmata bila tengah nak rukuk tiba-tiba rasa sakit tu datang.

Suami datang melawat untuk sesi petang tu. Sambil urutkan belakang, suami ajak berbual untuk hilangkan rasa sakit. Tapi aku dah tak mampu dah nak berbual. Rasa sakit tu buat aku hilang mood. Nak makan pun aku tak selera. Suami pujuk suruh makan untuk tambah tenaga. Dia tolong suapkan. Walaupun rasa tak berapa nak berselera tapi mengenangkan suami yang susah payah temankan, aku telan jugak lauk yang terasa berpasir dekat tekak ni. Time ni kencang sikit rasa sakit tu datang. Aku dah tak mampu nak duduk dah. Nak berdiri pun rasa tak selesa. Apatah lagi nak berjalan- jalan keliling wad macam orang lain buat. Sudahnya aku bagitahu suami yang aku nak baring. Cuba nak tidur. Dahlah malam tadi aku tak tidur disebabkan orang sebelah dok kehulu kehilir. Kepala aku  rasa berat, mata dah mengantuk sangat - sangat. Aku pun berbaring mengiring ke kiri. Sambil baring tu aku ambik tangan suami. Aku peluk kuat - kuat. Time time macam ni emosi betul aku rasa. Aku nak cepat - cepat lahirkan baby ni and balik rumah. Aku nak suami sentiasa ada dekat sisi. Aku taknak jauh lagi dengan suami. Aku terlelap lah jugak dalam beberapa minit. Lepas tu aku terjaga balik dengan muka berpeluh - peluh sebab aku rasa sakit tu semakin kerap. Setiap kali sakit tu datang, aku bayangkan muka Adam. Aku bayangkan muka suami. Aku bayangkan yang adik baby bakal keluar melihat dunia. Aku bayangkan yang kami akan hidup bahagia satu keluarga. Aku tanamkan dalam hati yang sakit ni semua permainan mental. Tak sakit pun sebenarnya. Aku niatkan yang rasa sakit yang aku tengah alami sekarang ni adalah hadiah untuk suami. Aku buat semua ni untuk dia. Untuk dapatkan redha Allah. Aku bukan isteri yang sempurna. Maka tak mengapalah kalau aku terpaksa tanggung rasa sakit ni untuk melahirkan zuriat keturunan kebanggaan dia.

Pukul 7 malam, sebelum suami balik sebab waktu melawat dah tamat doktor panggil untuk check bukaan. Sebab contraction dah semakin kerap. Tapi masih boleh tahan lagi. Takdelah menggila sangat.Aku ingat dah start opening 4cm ke apa kan, tapi bila doktor check rupanya bukaan masih 2cm. Kelakar sangat tau. Sakit dah macam apa rupanya baru 2cm.  Drama sangat! Terus - terang time ni dalam hati rasa kecewa, marah, putus asa semua ada. Tertanya - tanya apa yang Tuhan nak beri sebenarnya. Aku berdoa supaya bersalin normal dan tak kena induce tapi Tuhan tak perkenankan. Aku berdoa supaya dipercepatkan bukaan rahim pun Tuhan tak perkenankan. Terus rasa nak marah, nak baling barang, nak hempas-hempas badan ke lantai pun ada. Tapi cepat - cepat aku istighfar banyak - banyak, ni semua kerja setan ni. Aku istighfar dan tanamkan dalam hati yang apa yang jadi ni semua dibawah perancangan Tuhan. Aku merancang. Tuhan merancang. Namun perancangan Tuhan yang lagi baik. Yakin! Yakin! Suami minta izin untuk balik. Cadangnya suami nak stay back dengan hotel tempat dia kerja je. Dekat dengan hospital and kalau ada apa -apa senang dia nak datang ke hospital. Time ni ada sepupu aku datang melawat, sekejap je. Habis waktu melawat dia pun minta diri nak balik. Lepad diorang balik, aku siap-siap nak solat Maghrib. Cadangnya lepas Maghrib nak sambung solat sunat hajat dengan solat taubat. Tapi tak mampu nak buat sebab contraction macam dah start nak menggila.

8.45 malam.

Contraction dah tersangatlah intense. Sakit dia tu susah aku nak describe macamana. Memang sakit. Tapi dengan izin Allah aku boleh cope dengan rasa sakit tu. Aku bayangkan muka Adam yang comel, aku bayangkan muka suami, aku bayangkan macamanalah rupa adik baby nanti. Semua benda-benda ni buat aku happy dan bahagia. Dalam masa yang sama dia trick otak aku untuk tak fokus dekat sakit tu. Aku selang selikan dengan zikir, doa Nabi Yunus. Sekejap - sekejap karang aku borak-borak dengan ibu-ibu dari katil sebelah. Cuba larikan otak dari asyik bayangkan sakit. Mulut pulak setiap kali nak merengek sakit, aku gantikan dengan zikir Astaghfirullah, Subhanallah, Allahu akbar. Insyaallah, sakit tu walaupun tak berkurang, tapi Tuhan akan bantu kita dengan salurkan kekuatan dan ketabahan untuk tanggung kesakitan tu. Sambil-sambil tu aku scroll Facebook / Twitter (Sempat lagi!) and balas - balas whatsapp dengan kawan - kawan, adik beradik and sanak saudara yang dok tanya update. Sekejap - sekejap aku usap-usap perut. Pujuk adik baby untuk cepat-cepat keluar. Jangan sakitkan Mama lama - lama. Maklong send gambar Adam. Hiba terus rasa hati ni. Mengalirlah airmata untuk kesekian kalinya. Rindu tahap tingkat tertinggi dekat Adam.

Dalam sakit- sakit tu, terhasil jugaklah sekeping selfie ni. Send dekat Maklong untuk dia tunjuk dekat Adam. Adam kata dia taknak tengok muka aku. Dia suruh aku selfie perut aku. Sabo jelah.

12.30 malam.

Try nak tidur. Sebab kepenatan sangat. Tapi tak berjaya. Berjaya tidur-tidur ayam je. Ayam tidur pun lagi nyenyak dari aku. Puas mengiring ke kiri ke kanan tetap jugak tak boleh nak lelapkan mata. Aku pergi toilet, ganti pad. Darah keluar banyak sangat time ni. Teringat orang tua - tua adakata time nak melahirkan ni ada dua jenis kembar. Kembar air dengan kembar darah. Kalau sebelum bersalin tu turun air banyak maknanya proses kelahiran tu nanti senang dan meluncur sap sap eh dah beranak pun dengan senangnya. Kalau kembar darah pulak meaning sebelum bersalin tu keluar darah banyak maknanya nanti proses kelahiran tu penuh dengan rasa kesakitan yang mencengkam. Ah gasak. Tak kisahlah kembar air ke kembar darah ke kembar Nutella ke aku dah tak kisah. Asalkan aku selamat lahirkan adik baby dengan selamat, sudah.

Sebab tak boleh tidur, aku sambung lagi baca Yaasin dan berzikir. Sampailah akhirnya aku terlelap jugak. Bangun - bangun je aku tengok jam dah pukul 2.15 pagi. Perut aku sakit sangat time ni. Terus aku bingkas duduk. Aku usap - usap perut. Sakit dia lain macam. Dah bukan 3 minit sekali ke, dua minit sekali ke apa ke. Aku rasa macam sakit dia berpanjangan, dah tak ada sela masa dan terasa macam nak terberak sangat - sangat. Aku pergi toilet dulu, buang air kecik lepas tu aku terus pergi kaunter misi. Ada sorang misi tengah berjaga. Yang lain tengah berehat. Kesian diorang. Kerja siang malam tak kenal masa. Aku bagitahu misi yang aku tersangatlah sakitnya. Misi tu pulak chillax je suruh aku duduk dulu. Dia kata nanti doktor datang periksa. Time aku nak duduk tu tiba- tiba macam ada gelombang menggelodak dalam perut menggila-gila punya sampai aku terjerit "Allahuakbar!". Terus misi tu tadi suruh aku baring dekat katil. Dia nak check bukaan. Baru je dia suruh aku kangkang terus dia kapitkan kaki aku sambil pesan, "Dik, jangan teran dulu ye. Kita transit awak ke Dewan Bersalin sekarang!" Maka suasana pagi yang sepi Pak Mat jual kopi tu tadi bertukar menjadi sedikit hingar-bingar tetapi masih dalam keadaan yang sangat terkawal. Stretcher tetiba je dah ada kat tepi aku. Ada dua orang misi lain yang entah datang dari mana tetiba je dah ada kat tepi siap siaga nak tolak aku ke Dewan Bersalin. Aku pun bergolek dari katil rawatan ke stretcher dan terus sap sap ditolak ke Dewan Bersalin. "Saya nak bersalin dah ke?" Tanya aku macam agak blur - blur. "Ye dik. Awak dah full opening dah tu. Nampak dah rambut dia tu!" jawab misi tu. Halamak. Nak bersalin rupanya. Patutlah sakit lain macam.

Sambil ditolak masuk ke Dewan Bersalin, maka terbayang jelas dimata harapan dan impian untuk suami ada di sebelah aku sewaktu aku melahirkan adik baby musnah pecah berderai begitu sahaja. Tak sempat nak inform suami yang aku dah sampai masa untuk melahirkan. Dan kalau aku sempat inform dia sekalipun, suami takkan sempat untuk sama - sama ada untuk temankan aku. Maka...babai impian! Kaput! Sampai je kat Dewan Bersalin, dengan tiga kali push, maka lahirlah seorang lagi umat Nabi Muhammad S.A.W. Allahu. Allahuakbar. Suasana hening 3.26 pagi, damai, tenang lagi menenangkan, dengan tanpa sebarang huru - hara dan kesibukan, semua attention hanya pada aku dan bayi. Katil - katil lain semua kosong. Cuma ada aku. Lahirlah seorang bayi lelaki dengan berat 3.17kg. Kecil je dia kalau nak dibandingkan dengan Adam. Adam dulu putih melepak dengan mata sepet, badan ketul-ketul. Adik dia ni pulak tanned sikit kulit dia. Kecil. Tapi lahir dengan senang, damai dan langsung tak menyakitkan. Alhamdulillah. Saat misi letakkan adik baby ke dada untuk sesi bonding, bermacam - macam perasaan yang aku rasa waktu tu. Hiba, bahagia, rasa penuh kesyukuran yang tak terungkap dek kata - kata. Semua sakit - sakit menahan contraction, penat menunggu saat adik baby lahir ke dunia, semua tu hilang sekelip mata. Cliche kan? Tapi memang tu kenyataannya. Tendangan - tendangan kecil yang selama ni aku rasa dalam perut, regangan - regangan yang kadang - kadang buat aku ngilu sepanjang malam, penasaran memikirkan apakah rupa wajahnya hadiah dari Tuhan yang bakal aku lahirkan ke dunia, kini dalam pelukan.

Teramatlah fresh from the oven.
Assalamualaikum adik baby.
Sambil doktor dan misi - misi yang ada uruskan aku untuk perineum tear dan yang lain - lain tu, suami pun dah selamat diinform oleh salah sorang misi yang bertugas. Jadi bila aku ditolak keluar dari dewan bersalin, suami pun dah siap - siap tunggu dekat luar dan dah siap daftarkan aku untuk masuk wad kelas pertama. Tak kisahlah masuk wad kelas ke berapa pun, yang ada dalam hati aku sekarang adalah rasa syukur sebab dah selamat melahirkan adik baby. Sampai dekat wad, suami azankan adik baby sekali lagi, dan terus maklumkan pada keluarga, pihak sekolah dan pihak klinik kesihatan yang aku dah selamat bersalin. Walaupun aku kepenatan, tapi mata ni tak mampu rasanya nak lelap. Sepanjang masa asyik menatap muka adik baby yang kecil comel. Macam tak percaya yang aku dah jadi emak lagi sekali. Untuk dua orang anak lelaki kurniaan Tuhan. Alhamdulillah. Terima kasih Tuhan.

Adam teruja sangat bila adik baby dah keluar. Sayang betul dia dengan adik dia. Pada dia, adik dialah yang terpaling comel sedunia, paling handsome, paling pandai. Semua adik dialah.
Rambut lebat sangat!
Makanan hospital. Sedaplah jugak. Abaikan presentation yang sendu tu. Yang penting rasa dia sedap!
Baru sepuluh hari berat dah naik dari 3.17kg kepada 3.8kg. Alhamdulillah. Kuat minum susu. Baik sangat. Tak meragam langsung. Adik baby is a bae betullah!
Betullah kan. Verily, with hardship comes ease. Yakinlah dengan perancangan Tuhan yang melebihi perancangan kita yang maha lemah ini. Kebergantungan kita 100% letakkanlah pada Tuhan. Tawakal dan yakinlah bahawa Tuhan pasti merancang yang terbaik untuk kita. Walaupun Tuhan tak izinkan aku untuk bersalin normal tanpa induce, walaupun Tuhan tak izinkan suami untuk berada disisi aku sewaktu aku ingin melahirkan, namun Tuhan makbulkan doa - doa aku yang lain. Aku berdoa untuk dihadirkan insan - insan yang baik untuk membantu aku sepanjang proses melahirkan - done. Sepanjang aku admit sampailah aku bersalin , selamat bersalin dan nak discharged, nurse-nurse semua baik - baik. Semua bagi layanan yang superbaik untuk aku. Bantu aku dengan ramah, attend aku sepanjang masa, semua baik - baik belaka. Aku berdoa supaya Tuhan kurniakan aku ketabahan dan kekuatan untuk menghadapi rasa sakitnya contraction - done. Walaupun sesungguhnya sakit tu tak dapat aku nak gambarkan, tapi Tuhan bagi aku kekuatan luarbiasa untuk menahan rasa sakit tu tanpa mengeluh. Tuhan bantu aku dan izinkan aku untuk terus bersolat tanpa tertinggal satu waktu pun sampailah hari aku melahirkan. Aku berdoa supaya Tuhan kurniakan aku proses melahirkan yang cepat, mudah, tidak menyakitkan, tidak menyusahkan dan penuh ketenangan - done. Adik baby aku lahirkan dalam masa tak sampai 15 minit dalam labor room. Mudah, 3 kali push je. Tak menyakitkan, tak menyusahkan dan tenang diselubungi suasana hening pagi. Allahu akhbar. Ini perancangan Tuhan untuk aku. Dan aku yakin, perancangan Nya inilah yang terbaik untuk aku. Allahu akhbar. 

Hari ke sepuluh jugalah secara sah dan rasminya, kami suami isteri beri nama keoada adik baby. Untuk dua - dua orang anak ni pun, aku yang in-charge untuk letak nama anak. Kuasa veto dekat tangan aku. Alasanya aku yang tanggung segala susah payah, morning sickness, sakit bersalin apa bagai jadi biarlah aku yang kasi nama. Kehkeh. Untuk anak ke dua ni, aku ambil nama sempena seorang Nabi yang bukan sahaja kacak rupa parasnya, tapi penuh ketrampilan dan karismanya. Kisah Nabi yang satu ni dekat betul dengan kisah aku sewaktu aku bersedih dipindahkan sekolah kerana fitnah dan hasad dengki manusia dulu. Aku namakan dia Yusuff. Kemudian aku gabungkan dengan nama gua tempat terjadinya kisah 7 orang pemuda dan seekor anjing yang Allah tidurkan kerana nak mengelakkan pemerintah yang zalim - Kahfi. Dan dihujungnya, aku lengkapkan dengan nama timangan Saidina Uthman, Zunnurain - yang ertinya 'yang mempunyai dua cahaya'. Kerana Saidina Uthman bernikah dengan dua orang puteri Rasulullah. Jadilah nama anak aku yang kedua ni Yusuff Kahfi Xunnurain. X tu trademark. Tak boleh tidak. Lantaklah orang nak kata nama anak aku panjang berjela sekalipun. Aku tak mintak beras orang untuk buat makan.


Yusuff, semoga membesar dengan sihat dan sempurna, beramal soleh dan dekat dengan Tuhan. Berbakti di jalan yang Tuhan redhai, menjadi penyejuk mata emak ayah dan menjadi manusia yang dicintai Tuhan. Sejak hari pertama aku peluk Yusuff dalam dakapan, sejak hari itu aku bersumpah akan berikan apa sahaja yang terbaik untuk dia, walaupun bergalang - gantikan nyawa.

Dah babai. Nak sambung berpantang.

Tuesday, November 15, 2016

Mengandung Anak Kedua.



Assalamualaikum.

Disaat entry blog ini ditulis, aku baru je setel key in markah PT3 Bahasa Inggeris online. Cemerlang betul perasaan pada ketika ini. Rancangan Pengajaran Harian pun dah siap sampai minggu depan hari last sekolah punya. Meja pun dah siap kemas. Analisis item untuk Peperiksaan Akhir Tahun pun dah siap. Tinggal nak setelkan sijil kerja kursus untuk budak – budak SPM. Tapi sempatlah main game Book Worm dua tiga round. Baru je cecah level Grand Archivist, pastu aku kalah. Cilakak betul. Malas betul nak ulang main lagi sekali. Hari ni aku lupa bawak biskut. Jadi sekarang ni aku tengah lapar. Walaupun 15 minit yang lepas aku baru je selesai mencekik Nasi Lemak Kak Yam belanja. Berat badan sekarang dah cecah 76kg. Berat. Dengan perut yang terboyot-boyot. Tapi aku larat jalan lagi. Semalam baru je aku tawaf sekeliling BP Mall. Cari cardigan baru. Sebab cardigan aku yang satu – satunya tu dah koyak – koyak. Sendu betul. Suami kata “Kesian bini abang baju koyak – koyak.” Mithalinya isteri beliau. Taknak susahkan suami. Pakai baju koyak pun tak apa. Cantik je pun sebab aku kan natural beauty. (Muntah lumut)

Preparation baby dah 98% siap. Lagi 2% tu adalah beberapa barang yang aku lupa nak beli. Insyaallah minggu ni jugak aku siapkan. Bila dah 37 weeks ni dah matang dah kandungan aku ni. So kiranya bila – bila masa je boleh dah ni aku beranak ni. Beg untuk ke hospital pun aku dah siapkan. Letak dekat tepi pintu rumah. Senang nak capai kalau – kalau dan ada tanda – tanda nak melahirkan nanti. Perasaan ketika ini adalah tersangat nervous dan gemuruh tidak tentu hala. Siapa tak nervous oi. Beranak tu bukan macam kau sakit perut nak pergi berak. Walaupun aku dah lupa sakitnya contraction tu macamana tapi aku tau sakitnya bukan main – main. Maklumlah dah 6 tahun dah sejak aku beranakkan Adam. Adam pun sekarang dah besar dah pandai kentut dekat muka aku, dah pandai nyanyi lagu Mat Salleh dah pandai shopping baju sendiri. Aku dah lupa dah sakitnya macamana. Tak kisahlah. Yang penting sewaktu nak beranak nanti aku nak lelaki yang bertanggungjawab buat aku mengandung nanti ada dekat sebelah aku. Ini semua awak punya pasal!

Second pregnancy ni agak mencabar jugak bagi aku. Kalau masa Adam dulu time mabuk – mabuk morning sickness tu tengah cuti sekolah akhir tahun, jadi takde masalahlah kalau aku nak tertonggeng terlepek baring sambil dihurung lalat sekalipun. Tapi yang kali ni time mabuk tu terkena time sekolah. Jadi.. berperang jugaklah dengan emosi dan perasaan dan fizikal yang melepek nazak tidak bermaya. Awal – awal tu kerap jugaklah aku MC. Dalam seminggu tu 3 hari aku tak sekolah. Tapi MC tu semua aku ambik dari Klinik Kerajaan lah. Bukan dari Klinik Swasta. Karang orang kata aku membongak pulak. Time tu dah tak fikir dah apa orang nak kata. Kita tak boleh nak harapkan orang faham keadaan kita. Mungkin orang kata aku lembiklah, terlalu ikutkan perasaan lah, taknak lawan perasaan lah apa lah. Ah gasak. Yang penting aku selesa, emosi aku baik-baik sahaja dan baby pun tenang-tenang je. Pentadbir of courselah bising sikitkan. Yelah kalau dah selalu MC. Aku faham jugak situasi pentadbir. So bila pengetua suruh dapatkan surat daripada doctor yang merawat kes aku, aku dapatkan jelah. Lampirkan ke pengetua berserta dengan rekod check-up yang ada dalam buku merah tu. Setel. Habis cerita. Pulaknya rezeki aku sepanjang mengandung anak kedua ni asyik demam memanjang. Selang dua minggu mesti demam. Muntah – muntah tak payah cakaplah. Cirit – birit lagi. Sampaikan kena masuk air sebab badan kering kontang. Asyik muntah berpanjangan. Emak – emak yang tak mabuk masa mengandung tu yang sihat walafiat tu aku harap janganlah asyik nak kecam emak – emak yang senasib dengan aku ni. Terluka dan terhiris perasaan kami. Bukan sengaja nak mengada-ngada. Baling pakai batu bata karang aa.

5 bulan pertama mengandung ni, berat badan dropped dari 69.7kg menjadi 61.5kg. Wuhhh feeling betul! Lengan kecik peha kecik, perut je tak flatlah sebab ada hidupan didalamnya. Yang lain – lain semua mengecil. Muka jadi kecik. Dagu jadi lebih runcing dan mempesonakan. Tercapai hasrat nak kurus walaupun cuma seketika. Sebab masuk je bulan ke enam mengandung, tu dia. Selera makan telah kembali lalu mengqada’ mana – mana sesi makan memakan yang ketinggalan sepanjang zaman mabuk – mabuk dulu. Kebetulan pulak time tu time raya. Eh memang sedaplah makan kuih muih dengan ketupat lagi. Mulut sepanjang masa asyik mengunyah sahaja tanpa perasaan bersalah. Maka hasilnya aku naik 4kg something. Kena marah dengan misi. Stress lah misi ni. Asyik nak marah aku je. Gemuk sikit je. Bukan banyak pun.

Berlalu sahaja zaman kegemilangan aku menjadi kurus sekejap itu tadi. Berganti dengan zaman makan tanpa henti. Time ni memang seronok sebab dah tak mabuk. Dah boleh makan dan minum apa yang aku suka. Dah boleh peluk suami, dah boleh dekat-dekat dengan dia. Kalau tak sebelum ni kalau suami melintas je terus terkeluar isi perut. Kesian suami. Hopefully dia tidak merasa dipinggirkan. Tapi bila dah cergas dan bertenaga ni aku jadi suka mengecat pulak. Mengecat bilik. Mengecat dapur. Satu dapur tu aku cat. Kau bayangkan. Dengan perut yang besar ni steady je aku mengecat macam tiada hari esok. Buruh Indon pun kalau nampak kegigihan aku mengecat siang malam sampai pukul 3 pagi tu pun boleh berhenti kerja agaknya. Terus packing barang balik Indon. Tak boleh nak cari makan. Segenap inci dapur aku cat. Tanpa mengenal erti penat lelah. Perangai suka mengemas tu memang tak boleh nak dinafikanlah. Jadi aktiviti aku sepanjang mengandung ni takdelah terbaring dekat katil semata – mata. Sejuk mata bila tengok dapur dah bercat. Bangga! (Tepuk perut sendiri)

Alhamdulillah sepanjang mengandung anak kedua ni tak banyak masalah yang aku hadapi. Aku pun tak marah – marah macam masa mengandungkan Adam dulu. Baby kedua ni nampaknya lebih bertenang dan chillax sahaja orangnya. Faktor umur agaknya. Yelah dulu masa pregnantkan Adam kemain muda remaja lagi. Sekarang ni dah tua dah. Tu yang tenang – tenang aman damai tu. Walaupun aku banyak kali demam, tapi lain – lain masalah tu tak ada. Masalah kegemukan ajelah yang paling ketara sampai aku kena minum air gula je 4 kali dah. Kembang kuncup tekak menahan rasa air gula yang…hm malaslah nak cakap. HB pun turun naik. Risau jugak. Risau dekat baby sebenarnya. Takut anything jadi dekat dia. Tapi aku doakan yang baik – baik untuk dia. Semoga lahir sihat dan sempurna comel serta menawan hati macam abang dia. Amin. Insyaallah. Doakan ye kawan – kawan.


 37 weeks 2 hari (Ketika entry ini dipublish)

Sekarang ni aku tengah nervous semacam dan tak ketahuan hala menanti tibanya saat aku melahirkan. Pengalaman masa melahirkan Adam dulu sungguh menduga kesabaran dan ketabahan. Adam dulu induced. Orang kata induce ni sakit dia memang azab sikit. Wallaualam. Kalau diizinkan Allah, aku nak melahirkan baby kedua ni dengan normal, penuh kedamaian dan dipermudahkan segala urusan. Insyaallah kalau Tuhan mengijinkan. Rezeki masing – masing. Nak pergi berjihad ni. Kalau dah rezeki aku tertulis macam apa yang Tuhan mahukan, maka berikanlah aku ketabahan dan kekuatan menghadapi segalanya Ya Tuhan. Setiap hari aku berdoa semoga dipermudahkan urusan. Amin. Insyaallah.


 Kalau awak dah ready nak jumpa Amma Appa, awak keluar ye adik baby!


Engkau orang doakan ye. Due date sebenar 3 December 2016 insyaallah.

Nervous oi!

Dah. Babai!

Saturday, October 15, 2016

Setelah 6 Bulan Menyepi. Terimalah Entry Pengubat Rindu Ini.

Assalamualaikum. Fuh. Lamanya aku tak update blog. 6 bulan! Aku harap dalam masa aku hilang selama 6 bulan ni adalah manusia yang merindukan aku dan tulisan aku. Bukan aku taknak update, kadang-kadang aku dah bersemangat duduk depan laptop ready nak type entry, eh tapi ended up tertidur sambil dalam mulut penuh keropok ikan. Akhir - akhir ni kalau ada masa terluang je memang aku habiskan masa dengan tidur. Pada aku aktiviti tidur itu sungguh syurga dan mendamaikan. Kadang - kadang terlajak tidur sampai petang siap termimpi- mimpi bawak jet pejuang pergi beli cendol. Saitan betul mimpi macam tu. Nak update blog time weekend pun tak sempat. Entah eh. Sejak pindah sekolah ni aku rasa terhad sangat masa nak bersosial dan bersenggama dengan keseronokan dunia macam dulu - dulu. Ewah. Sentiasa ada benda yang buat aku rasa sibuk. Alah kadang - kadang tu buat - buat sibuk je pun.

Tapi sebenarnya salah satu sebab aku tak dapat nak update blog sebab aku alahan teruk untuk second pregnancy ni. Hewhew. Untuk yang tak tahu ataupun belum tahu, saat aku menaip entry ni sebenarnya aku tengah mengandung 32 minggu. Hikhik! (Gelak tutup mulut) Masa tahu mengandung 3 minggu masa awal bulan 4 dulu, memang aku terus kena alahan teruk tahap MC 3 hari berselang minggu. Setiap minggu mesti aku ambil MC straight 3 hari. Demam. Muntah terbelahak keluar anak tekak. Melepek lembik terbaring aje dekat tilam. Mandi pun sehari sekali. Gosok gigi 3 hari sekali. Tak boleh bau pudina dalam ubat gigi tu. Tak boleh jejak bilik air. Tak boleh nampak lubang jamban. Kalau aku nampak mesti automatik isi perut aku keluar. Tak selera makan. Mampu isi perut dengan air soya aje. Helemek, time tu memang berat badan dropped 7 kilo. Ramping pinggang. Tercapai hasrat nak kurus tanpa exercise melampau. 4 bulan terlantar macam tu, sampailah kandungan dah mencecah umur 6 bulan. Then barulah ada semangat balik nak bersosial di alam maya dan bersosial di langit biru. Jadi, sebab itulah blog terbengkalai hampir 6 bulan. Rindu tak rindu tak?

Dah masuk bulan Oktober dah. Kalau dulu dekat sekolah lama, bulan Oktober memang bulan yang dinanti - nanti sebab sepanjang Oktober tu memang bulan yang dikhaskan untuk anak - anak murid sambut birthday aku dengan sungguh gilang gemilang. Setiap hari tu ada je event - event budak - budak ni buat untuk sambut birthday cikgu kesayangan ramai ni (Past tense. Was. No more. Sob sob) Kalau weekend pulak, memenuhi undangan anak- anak murid lagi jugak untuk makan - makan and sambut birthday bersama- sama. Tapi itu semua hanya tinggal kenangan di angin lalu. (Kesat airmata pakai hujung kain dalam) Bila dah pindah sekolah baru ni tabah ajelah kalau takde siapa pun yang ingat birthday aku. Tabahlah Yatt! (Tepuk bahu sendiri)

Lagi 3 hari menjelang birthday, Allah bagi hadiah pulak. Demam berserta cirit-birit dan muntah - muntah. Kena start dari hari Khamis petang straight sampai Isnin pagi. Birthday aku pulak 8hb Oktober tu jatuh hari Sabtu. Jadi aku memang pasrah sepasrah pasrahnya kalau kata takde sebarang sambutan yang siapa-siapa nak surprisekan aku nanti. Maka terbaringlah aku melepek umpama tiada lagi hari esok. Nak makan tak selera nak minum tak lalu, nak baring pun susah sebab pinggang ni tiba-tiba sakit gila macam nak terpatah dua. Malam tak boleh tidur. Terpusing - pusing macam tenggiling dekat tempat tidur. Selang 30 minit sekali mesti terbangun. Pergi berak. Pedih bontot tau. Sila kesian.

Sampaikan malam birthday tu tak larat nak baca notification yang masuk dalam phone through FB, Twitter ke wechat ke apa ke semua tak mampu nak balas. Whatsapp pun tak larat nak baca. Nampak tak betapa nazaknya aku sakit pada ketika itu. Mentang-mentang nak bertambah umur, Tuhan bagi ujian kaw kaw kentang punya. Pagi sabtu tu Oat whatsapp tanya aku larat ke tidak nak bangun. Aku cuma cakap aku larat lah jugak sikit - sikit tapi sebenarnya aku lapar. Bayangkanlah dua hari tak makan tak minum. Sedih kan? Then Oat kata lepas Zuhur kalau larat silalah bersiap-siap sebab dia nak bawak aku jalan-jalan. Masa tu dah terbayang - bayang dah dekat otak ni mesti Oat nak celebrate birthday aku ni. Muehehehe. So mengerah segala kudrat yang ada, aku pun bersiap secomel yang mungkin. Kepala masih pening - pening lagi ni tapi excited punya pasal, tolak tepi segala  rasa sakit tu semua. Tak lama lepas tu Oat sampai and bawak aku ke rumah Tiqah. Dekat sana diorang sambut birthday aku. Ada kek, ada belon semua. Awww terharu tau kakak! Nampak kek je aku dah rasa teruja dah. Celebration sempoi je tapi sangat - sangat bermakna. Susah payah Oat tiup belon semua tau. Aku tau dia bukan pandai tiup belon pun. Tu mesti hazab separuh nak mati tiup belon tu. Dahlah cuma 4 bijik aje. Lagi satu meletup di pertengahan jalan. Benci betul. Nasib baiklah aku ni manusia yang mudah terhibur sangat - sangat. Belon 4 biji pun dah happy serupa hape. Thank you Oat!

Mistiknya pic ini. Macam ada jembalang tanah tengah keluar dari lubang hidung aku.
Muah siket!

 Pintar tak aku menyembunyikan perut di sebalik belon - belon itu. Kehkeh.
 Thank you Tiqah masakkan sandwhich dengan penuh kasih sayang!
Double terharu bila Oat hadiahkan something yang memang aku nak sangat bertahun - tahun lamanya. Kalau nak diikutkan memanglah aku boleh beli sendiri benda tu, tapi aku teringin sangat - sangat yang benda tu nanti dihadiahkan oleh someone special dalam hidup aku. Eceh ayat drama. Tak sangka rupanya setelah 4 tahun mengidam, Oat lah manusia yang menghadiahkan benda tersebut pada aku. Terima kasih Oat! Sayang kau sampai minggu depan! Oat kata susah betul nak cari hadiah untuk aku. Nasib baiklah satu benda ni aku belum ada lagi dalam hidup. Senang kerja dia.

Esoknya dekat sekolah, buat macam biasa ajelah. Sebab tak expect pun siapa - siapa akan ingat birthday aku. Maklumlah, cikgu baru dekat sekolah baru. Dahlah tak glamer. Gemuk pulak tu. Redha jelah mengenangkan yang bakal melalui bulan Oktober dengan penuh kesunyian dan kesenduan. Tak sangka pulak bila kaki melangkah masuk je dekat kelas 4 Rafflesia, aku dengar entah siapa nyanyi lagu birthday. Lepas tu nampak Syida datang bawa kek brownies cokelat siap ada percikan bunga - bunga api. Omaigod! Rasa nak nangis tadah pakai baldi. Terharu sangat - sangat! Dahlah selalu merah- marah dan membebel dekat kelas 4 Rafflesia ni. Sudi jugak diorang nak sambut birthday cikgu dia yang entah hape hape ni. Nak nangis! Eh tapi sebab aku kan berjiwa kental lagi gangstar kampung pisang, takkan nak nangis depan anak murid kan. Relaks. Buat muka samseng macam biasa. Cuma kali ini samseng cair sikitlah sebab terharu dapat kek birthday. Kehkeh!

 Perangai semua macam taik, tapi aku sayang sangat - sangat sampai ke alam barzakh!
 Jahatnya. Berani diorang pakaikan topi spongebob dekat cikgu gangstar macam aku.
Balik sekolah sambung celebration dekat KFC. Thank you Ikhmal! Thank you semua! Teacher sayang korang!

Balik rumah hari tu, rasa sangat - sangat tak sabar pulak dengan celebration daripada suami. Celebration tertunda. Yelah hari tu kan muntah - muntah terbelahak pakej dengan cirit-birit pesemua. So suami tunda celebration tu ke hari yang aku betul - betul dah sihat dan boleh makan dengan berselera. Suami dah janji nak masakkan hari tu. Memang kalau tahun - tahun sebelum ni, bila tiba birthday aku je suami akan masak sendiri dengan penuh kasih sayang. So lepas maghrib tu, panggil pakcik makcik yang berdekatan, join sama - sama tahlil ringkas sempena hari lahir aku. Suami masakkan nasi ayam penyet. Sedap gila. Pada aku lah. Bertuahnya dapat suami yang pandai masak lagi kacak bergaya ni. Dahlah tahun ni dia post wish sweet sweet dekat FB alaa malulah titewww! Adam pulak manusia yang terpaling excited bila part nak potong kek. Menyampah tau. Birthday semua orang dia kata birthday dia. Asal part potong kek je mesti dia yang interframe lebih.

 Sambal dia tu yang terpaling... perghhhhh! Gitu.
 Thank you, suami!
Alhamdulillah. Dah 33 tahun bernafas di  bumi Tuhan, Allah beri peluang dan kesempatan untuk merasa bahagia dan mengecap segala nikmat kurnianya. Hidup yang semakin baik di sekolah baru, keluarga yang bahagia, suami yang penyayang dan bertanggungjawab, anak yang sihat dan pintar, jugak dengan bakal kehadiran baby baru dalam keluarga, kesihatan yang baik, hidup yang tak merempat, tidur malam berbumbung, makan belum kebulur, alhamdulillah, aku bersyukur sangat - sangat. Tak semewah orang lain. Masih hidup menumpang rumah mak abah, masih pandu kereta buruk hitam sport rim pink tu, tapi dengan setiap hela nafas yang Tuhan kurniakan untuk aku setiap hari, kufur nikmat rasanya andai aku tak mengucapkan syukur tak terhingga pada Yang Maha Esa. Kehadiran kawan - kawan yang jumlahnya hanya sebelah tangan tapi cukup bermakna dalam hidup ini. Anak - anak murid di sekolah lama dan sekolah baru, mana - mana yang mengucapkan selamat untuk aku melalui pelbagai medium media sosial, terima kasih aku ucapkan untuk korang semua. Doakan aku sihat sejahtera dan selamat melahirkan baby dengan sempurna.

33 tahun.

Dan aku masih dalam proses menjadi muslimah yang sempurna.

Terima kasih Tuhan, untuk segala karunia dan bahagia.

Aku sayang korang semua!

Dah. Babai.

Thursday, March 31, 2016

Gagal. Tetapi Bersyukurlah.



Walaupun team choral speaking SMK Yong Peng telah di disqualifiedkan dengan penuh gaya mutu dan keungggulan oleh juri – jurinya, kami tetap pulang dengan seribu satu perasaan bangga yang susah aku nak gambarkan. Secara jujurnya, rasa nak terajang batang pisang kerana telah di disqualifiedkan hanya bertahan beberapa jam sahaja, dan selepas itu, aku kembali okay. Mungkin time tu aku lapar, jadi effect marah membabi – buta kelihatan begitu ketara sekali. Tetapi Alhamdulillah, lepas aku makan mee soba free dan seketul carrot slice yang sungguh lazat, aku kembali dapat berfikir dengan tenang.

Ini semua ketentuan Allah.


 Alhamdulillah.

Belum rezeki aku untuk membawak kemenangan kepada sekolah yang sedang aku berkhidmat sekarang. Disqualified kerana tak cukup ahli tu hanya asbabnya sahaja. Hakikatnya, itu bukan rezeki aku. Aku cakap dekat anak – anak murid aku yang diorang dah buat yang terbaik. Dan kita dah capai misi kita untuk beat  sekolah aku yang lama. See, walau disqualified, Tuhan tetap bagi jugak apa yang aku mintak. Aku mintak supaya budak – budak aku dapat present dengan penuh gaya dan kebanggaan. Done. Tuhan bagi. You should see those kids. You should watch them. Sumpah aku bangga habis dengan mereka. Selama ni macamlah aku tak tahu yang SMK Yong Peng ni orang anggap ayam – ayam je. Kalau masuk pertandingan, sekadar nak cukupkan korum je. Tapi budak – budak aku dah buktikan yang diorang bukan sebarangan ayam. Tak senang duduk jugaklah orang bila time budak – budak sekolah aku present. Aku ni tahan sebak tengok diorang atas pentas. Flawless dan sungguh menyakinkan.kasi. Aku mintak supaya sekolah aku mampu mengatasi bekas pasukan yang aku pimpin tahun lepas. Done. Allah bagi Walau disqualified, kami number 4 , mereka number 5. Dapat bayang tak kalau kami tidak di disqualifiedkan?


 Terima kasih, boss! Sanggup tunggu sampai bas kami datang.

Aku bangga dengan diri aku sendiri. Walaupun aku bergerak sendiri, aku mampu buktikan pada diri sendiri dan pada semua orang, yang aku mampu untuk membentuk satu pasukan choral speaking sekolah yang di segani. Sokongan daripada rakan – rakan guru, sokongan daripada Tuan Pengetua yang tak berbelah bahagi, sokongan dari GPK Pentadbiran yang membenarkan kami berlatih dalam waktu PDP disaat – saat akhir, meyakinkan aku bahawa perjuangan aku ini, bukan perjuangan syok sendiri. Walaupun kami tidak pulang dengan kejayaan, kami dah membanggakan semua orang. Even masa mesyuarat PIBG, Tuan Pengetua minta kami untuk membuat persembahan di hadapan tetamu VVIP, Datuk Seri Ir. Dr Wee Ka Siong. Punyalah tinggi harapan yang Tuan Pengetua sandarkan di bahu kami. Dan persembahan tu rupanya mendapat pujian dan pengiktirafan daripada Datuk Seri. Katanya beliau tak sangka yang SMK Yong Peng mampu melatih pelajar sekolah tu sampai jadi macam tu. Dan beliau bangga dengan pencapaian mereka.


 Thanks Payat!

Gila tak bangga? SMK Yong Peng woih. Kau kena paham budak – budak dekat sini macamana. Nak cari bakat untuk jadi ahli team choral kau ingat macam sekolah aku yang lama? Bersepah – sepah. Tapi dekat sini lain. Dengan aku yang tak kenal lagi anak – anak murid dekat sini. Sumpah at first tu rasa macam lost sekejap. Tapi Tuhan sayang aku. Tuhan tak biarkan aku sorang – sorang. Tuhan kasi aku Payat untuk membantu aku serba – serbi. Kami sama – sama cari ahli. Mula – mula pujuk sorang – sorang. Lama – lama kami main paksa. Tapi budak sekolah sini bukan jenis yang boleh duduk berlatih berjam-jam. Baru latih satu jam dah sibuk nak minta balik. Nak cari ahli yang komited susahnya nauzubillah. Mereka kena selalu dimotivasikan. Aku nak mereka bukak mata. Aku taknak orang pandang mereka macam pencacai. Aku nak orang ramai salute dengan mereka. Lama – lama, persepsi mereka mula berubah. Mula komited untuk datang latihan. Walaupun fokus diorang macam pongkes (Pantang aku lepa sekejap, mulalah nak borak – borak sesama sendiri) tapi akhirnya aku berjaya bentuk disiplin diorang. Alhamdulillah. Aku tak cakap kami power, tapi kami bukan lapik kaki lagi dah. Kami bukan pasukan pencukup korum lagi dah. Zaman tu dah habis dah. Start tahun ni, watch out lah setiap kali ada English Carnival. Sebab aku akan pastikan pasukan choral sekolah aku bukan pasukan fun fair.


 Perangai masing-masing macam taik. Tapi aku sayang semua sangat - sangat!

Ingat lagi, bila time praktis, kitorang cuma ada 13 orang ahli. 13 orang ahli je weh. Dengan rata – rata pelajarnya tak ada basic English pronunciation yang padu. Semua bunyi Jawa. Bunyi off sangat – sangat. Rasa nak nangis jugaklah time tu. Betapa susahnya nak cari orang untuk join group choral ni. Pelajar cina majoriti lepas sekolah ada tuisyen. Celah mana nak berlatih? Pelajar India pulak macam cari chip cokelat dalam chipsmore. Tak ada sangat. Jadi sudahnya aku pujuk – pujuk mana – mana budak Melayu dan India yang ada untuk join group kami. Daripada 13, sikit – sikit jadi banyak. Sampailah kami berjaya cukupkan 30 orang untuk satu pasukan. Skrip pulak dua kali tukar. Dah berlatih dua minggu, tiba – tiba JKD English Batu Pahat tetapkan yang kami kena tukar skrip untuk ikut tema yang ditetapkan. Dah terpaksa tukar skrip perah kepala hotak pulak. Tukar skrip ni pun katanya ada isu jugak. Malaslah nak komen banyak – banyak, buat sakit hati je lahai.

Aku tabik dengan ahli-ahli team aku yang komited gila babi time latihan. Danisya, Kimi, Nad. Nad ni asalnya budak petanque. Aku paksa join choral. Memang tak salahlah pilihan aku. Nad ni awal-awal je malu-malu, lama-lama dia jadi sangat komited. Datang latihan setiap masa, banyak bagi idea bernas untuk team. Kimi masa awal – awal training tak nampak sangat bakat dia, lama – lama, Kimi jadi power. Setiap kali latihan, Kimi adalah manusia yang sentiasa alert dengan arahan aku. Training buat betul – betul. Tak pernah buang masa borak – borak bangang dengan orang. Kimi punya komitmen memang 400%. And towards the end of the training tu, Kimi macam anchor untuk team ni. Kimi jadi power gaban. Danisya pulak adalah Kimi versi perempuan. Sebab Danisya, semua jadi bersemangat. Berbakat, penuh dengan ekspresi. Aku bersyukur pada Tuhan kerana berjaya menjumpai budak – budak macam ni. Diorang berkebolehan, tapi tak pernah diberi peluang. Jadi ini, aku beri mereka peluang. Dan mereka dan buktikan yang mereka bukan sembarangan.

Masa diorang performed, akulah manusia yang paling bangga sekali atas muka bumi. Bila Joe kata team aku padu, aku rasa akulah manusia paling kembang kempis sekali lubang hidungnya. Ini budak – budak Yong Peng. Budak – budak Yong Peng yang orang sebelah mata pun tak pandang, dan aku berjaya buktikan. Budak – budak inilah yang mampu berikan sekolah – sekolah elit saingan. Jangan nak nafikan. Jadinya aku redha, walaupun mereka ditaqdirkan Tuhan untuk di disqualifiedkan, aku tak pernah rasa mereka ini sia – sia. Sebab mereka dah berikan persembahan yang terbaik. Mereka dah buat yang terbaik. Aku bangga dengan mereka.


Halamak. Gambar kena censored. Biasalah. Budak Yong Peng. Kehkeh!

Aku datang sekolah ni sendiri. Dalam keadaan sangat merindukan anak – anak murid aku di sekolah lama. Aku hilang identiti diri dalam menjadi seorang guru yang ceria, kelakar, gila – gila macam dulu. Aku jadi seorang yang pendiam, tak banyak cakap, dan tak banyak bertegur sapa dengan anak – anak murid dekat sini. Team choral nilah yang telah mengembalikan diri aku yang lama. Dalam team nilah aku jumpa kasih sayang yang aku dah lama hilang. Dalam team nilah aku jadi balik diri aku yang lama. Dalam team inilah aku berjumpa kembali dengan semangat juang aku yang entah kemana. Terima kasih korang. Korang percaya pada Teacher, korang dengar cakap Teacher, korang yakin dengan Teacher. And look at us now, we are stronger than ever. Dah macam satu keluarga. Terima kasih Tuhan.

Peristiwa ni bagi aku banyak hikmah yang tak terjangkakan. Walau kami gagal, tapi kami berjaya sebenarnya. Untuk aku, aku dah buktikan bahawa aku power gaban dan mampu buat benda ni sorang – sorang. Dari segi persahabatan, aku dengan Joe dah sama – sama buktikan yang kami mampu menggoncang ‘kuasa – kuasa besar’ yang selama ini mendominasi. Kami sama – sama sendiri handle team, latih sorang – sorang. Walau kami dipisah-pisahkan, kami masih mampu berikan yang terbaik. Just imagine if we are still together. Dan melalui choral speaking nilah, beberapa kisah – kisah keji telah terbongkar dengan sendiri. Manusia – manusia yang selama ni bertopengkan syaiton, dah mula nak menampakkan tanduk masing – masing. Tak sangka, ada duri dalam daging. Api dalam sekam. Musuh dalam selimut, duit dalam bra. Eh tetiba. Tak tak. Aku cuma nak cakap, tak sangka, yang ada orang – orang ‘dalam’ sendiri yang cuba nak menjatuhkan team masing – masing. Puaka betul.

Dan aku rasa, pertandingan choral speaking tahun inilah yang terpaling epic sekali bila sekolah aku, SMK Yong Peng dan sekolah Joe, SMK Seri Gading sama – sama diberikan gelaran ‘disqualified’. Sebab tak cukup member. Sweet tak kitorang? Tahun lepas kami Johan sama – sama (Sebab satu team) tahun ni kami disqualified sama – sama. Ini memang brotherhood level dewa – dewa ni weh. Epik! Aku syak, benda – benda macam gini tak pernah berlaku dekat mana – mana daerahlah kompom! Nampak tak betapa padunya friendship aku dengan Joe. Kagumlah weh. Sila kagum sekarang! Dan mungkin menjadi pertandingan choral speaking yang paling kelakar nak mampus bila team yang tegak kaku bosan nak mati , sharp entah ke mana, siap macam pertandingan juara lagu kategori etnik kreatif boleh pulak menyanyi – nyanyi macam konsert, boleh dapat placing. Sumpah kelakar. Selama ni mati – mati aku ingatkan teks yang bermesej dan asli, team yang kreatif , dinamik dan berinovasi, keseragaman, suara jelas dan lantang merupakan kualiti yang dicari-cari untuk mewakili daerah ke peringkat lebih tinggi. Rupanya aku silap. Tahun depan aku cadang nak bawak gamelan naik atas pentas time present, kot – kotlah boleh menang. Kan? Berdiri tegak kaku , skrip bosan nak mati, sharpness tak payah fikir sangat, asalkan team member bawak satu kampung, aku yakin tahun depan sekolah aku mampu jadi johan. Jyeahhh!


 Rileks brader. Kita power!

Secara totalnya, kita bukan gagal Joe. We are not losers. Mungkin kita ni nampak macam cikgu macai yang tak membawa guna dalam institusi pendidikan, kita bukan macam cikgu – cikgu cemerlang yang lain, yang 24 jam buat modul itu modul ini, siang malam pagi petang dok fikir macamana nak tingkatkan peratus lulus, bilangan A, nak siapkan paperwork itu ini, nak buat itu ini, mana nak bodek sana sini, mana nak caras sana sini. Nope. Kita bukan cikgu macam tu. Kita adalah golongan cikgu – cikgu yang sampai kiamat pun takkan merasa Anugerah Cemerlang peringkat Planet Bumi sekalipun, tak. Tapi kita ada satu kekuatan , kita ada satu kelebihan yang Tuhan bagi dekat kita untuk menjadi satu spesis guru yang hampir-hampir pupus dalam muka bumi ni. Kita spesis cikgu – cikgu yang dengan membabi – butanya bagi sinar harapan dekat anak – anak murid yang tidak dipedulikan. Kita spesis cikgu – cikgu yang cuba buat dunia kita seronok dengan apa yang kita buat. Kita spesis cikgu – cikgu yang cuba berikan budak – budak ni pendidikan bukan hanya dalam kelas, bukan hanya kejar A semata – mata. Kita berikan mereka sebuah kehidupan. Trust me Joe, kita mungkin miskin harta miskin anugerah cemerlang itu ini, tapi kitalah antara cikgu – cikgu yang akan kekal dalam ingatan mereka, meniti dalam doa-doa mereka. Jangan putus harapan, brader. We have each other.

Dan yep, aku akan tetap bangkit. Aku akan tetap bangun dan berjuang. Aku akan kejar dan cari kebahagiaan aku dalam menjadi seorang pendidik. Hidup ni medan perjuangan. Dan Tuhan dah janji, manisnya sabar itu, hanya orang – orang yang beriman akan mampu mengecapnya. Sebangsat manapun hidup kita, dugaan yang kita hadapi setiap hari, yakinlah, kita tak pernah sendiri. Susah? Minta dengan Tuhan. Minta banyak – banyak. Mintalah tamak – tamak. Minta. Sebab Tuhan kata, kau mintak, Aku akan kasi. Kau usaha, kau doa, kau sabar, kau tawakal. Lek ah. Apa nak kisah dengan hidup yang sementara ni kan? 


 Rindunya korang!

Jumpa lagi tahun depan. Sila rasa risau dan tak senang duduk mulai …. SEKARANG.