Thursday, December 22, 2016

Satu Kelahiran : Dedikasi Untuk Suami.

Dulu kan, aku selalu fikir yang kalau sorang perempuan tu susah gila nak beranak, tu mesti dia banyak buat dosa tu lagi-lagi dengan laki dia. Mesti punyalah. Kan selalunya dalam cerita-cerita Melayu kan kalau bini dia perangai macam pongkes dengan laki dia kan nanti Tuhan kasi azab kaw-kaw punya time nak bersalin nanti. Lepas tu barulah bini dia merengek-rengek, merayu merangkak-rangkak mintak ampun dengan laki dia. Kan? Kan? Lepas tu laki dia buat eksen taknak ampunkan dosa bini dia lepas tu bubuh skrip seround macam "Ah sudahlah kau Leha. Ini semua balasan Tuhan atas dosa-dosa kau terhadap abang..blablabla." Lepas tu nanti ada flashback bini dia terajang laki dia la, bini dia kasi laki dia makan nasi kangkang la, bini dia bubuh clorox dalam kopi laki dia la sambil ada background lagu sedih-sedih gitu.

Tu mindset aku dulu. Aku rasa kalau kita ditimpa musibah, tu semua namanya bala. Tuhan nak kasi ajar sikit biar kita beringat. Tapi bila umur dah menginjak tua ni (Helemek tua ke?) aku sikit demi sikit mula ubah persepsi dan mindset aku terhadap konsep bala ni. Bagi aku, kalau Tuhan beri sesuatu yang berat untuk kita hadap, untuk kita telan, untuk kita tempuh, tu bukan bala namanya. Tu namanya ujian. Tuhan bagi. Kenapa Tuhan bagi kita ujian? Aku pernah dengar satu Ustaz ni cakap, Tuhan kasi kita ujian sebab Tuhan sayang. Tuhan nak dengar kita sebut-sebut nama Dia dalam doa. Ustaz ni cakap, ujian itu fungsinya adalah untuk mendekatkan kita pada Tuhan. Bukan untuk menjauhkan. Dan Tuhan pun dah sebut dalam Al-Quran, kalau kita bersabar dengan setiap ujianNya, insyaAllah ada hikmah yang menanti kita. Setiap susah payah kita, pahit jerih kita tak akan pernah terbiar gitu je dengan sia-sia. Sekecik-kecik kuman, ada habuannya. Yang penting, kita sabar dan redha.

Masa aku terlantar menanggung sakit untuk melahirkan Yusuff, dalam pada sela masa menahan contraction tu, tak ada benda lain yang aku bayangkan dalam kepala melainkan suami aku. Terbayang-bayang dari saat kitorang kenal, sampailah ke zaman kitorang bercinta sampailah ke saat kami bernikah. Aku terbayang dosa-dosa yang aku buat dekat dia. Aku ni keras kepala. Kuat melawan. Kalau dah kata keras kepala kuat melawan tu, maka memang selalulah cakap-cakap suami yang aku lawan. Suami kata A, aku menjawab sampai ke Z. Ada je yang aku nak bertekakkan dengan suami. Kuat menjawab. Nak nak pulak suami sifat dia sangat kontra dengan aku. Suami tak banyak cakap. Aku ni pulak dari celik mata sampailah ke tidur, ada je benda yang aku nak bebelkan. Aku terbayang zaman - zaman jahiliyyah aku dulu. Zaman dimana aku sibuk dengan seronoknya dunia. Sibuk kejar nama, sibuk kejar kebahagiaan yang sementara.Aku lebih utamakan kerja, utamakan kawan-kawan, utamakan benda lain selain keluarga. 8 tahun bernikah, aku rasa aku tak pernah buat apa-apa untuk suami. Aku tak pernah menjadi isteri yang baik untuk dia. Aku cuma jadi isteri hanya pada nama. Time ni aku nangis teresak - esak macam budak kecik. Meleleh-leleh hingus. Nasib baik wad aku ni ada tirai yang pisahkan kita dengan katil depan and katil sebelah. Aku tarik tirai tu. Malulah kalau orang nampak aku nangis. Hilang macholah.

Aku tak pernah berkorban apapun untuk suami. Kalau nak dibandingkan aku dengan dia, memang macam langit dengan bumi. Dalam pada tengah sakit-sakit tu, aku angkat dua tangan aku, aku tadahkan doa untuk suami. Aku cakap dengan Tuhan, kalaulah aku sakit menahan contraction ni dan sakitnya aku masa nak melahirkan bayi ni nanti dianugerahkan Tuhan dengan sedikit pahala, maka aku hadiahkan semua pahala-pahala tu untuk suami. Sakit ini, aku tanggung semuanya demi suami. Aku hadiahkan segenap kekuatan dan ketabahan aku menahan sakit ini, khas untuk suami. Kalaulah perjuangan hidup mati untuk melahirkan zuriatnya ini boleh dipanggil sebagai satu pengorbanan, maka ini korban aku khas untuk suami. Setiap darah yang mengalir, setiap tulang yang membengkok lentur, setiap urat yang terputus semuanya, semuanya aku dedikasikan untuk suami.

Dan kemudian...lahirlah Yusuff. Sihat dan sempurna dengan izin Tuhan yang Maha Esa. Penguat kasih antara aku dan suami. Bayi yang kami nanti - nantikan selepas 6 tahun kelahiran Adam.  Bayi yang kami tunggu - tunggu. Kata Kak Zana, kehadiran Yusuff ni sebenarnya hadiah terunggul dari Tuhan. Cukup-cukuplah aku bersedih, dimalukan, dinafikan - maka, Yusuff inilah hadiah dan hikmah dari kesabaran yang selama ini aku tanamkan dalam hati. Yusuff inilah penyejuk hati kami suami isteri. Yusuff inilah pembawa rezeki kebahagiaan buat kami. Allahu. Perancangan Tuhan itulah yang Maha Hebat Maha Sempurna.

 18 hari melihat dunia.
Lepas ni, aku cuba untuk menjadi isteri yang lebih baik untuk suami. Yang akan membahagiakan suami di dunia dan di akhirat. Jauh lagi dari sempurna, tapi aku sedang cuba dan akan terus mencuba. Isteri yang layak untuk menjadi pendamping suami di syurga. Sekaligus menjadi ketua segala seantero bidadari-bidadari di taman euphoria Tuhan nanti. Insyaallah.

Amin.

No comments :