Mungkin Berdiam, Adalah Cara Menangis Yang Terpaling Lantang

 Assalamualaikum.

 Salam 2021.

Lamanya aku tak menulis dalam blog ni. Satu masa dulu, blog ni pernah jadi tempat aku untuk mencurah segala rasa, aku carikkan segala luka segala rahsia dalam blog yang tak seberapa. Dari sekecil - kecil perkara, sehinggalah sebesar - besarnya. Semuanya aku kongsikan dekat sini. Entah kenapa, menulis, yang satu masa dulu pernah aku rasakan sebagai passion terbesar dalam hidup, perlahan - lahan aku tinggalkan. Banyak benda yang aku nak share, tapi entahlah. Semuanya berakhir dengan tanda noktah yang tak punya sambungannya lagi. 


Banyak yang aku lalui. Tapi semuanya samar - samar dalam memori. Mimpi ke? Atau sebenarnya aku yang menidakkan realiti?Dalam usia yang bakal menginjak tiga puluh lapan, aku mula untuk persoalkan nilai - nilai sebenar kehidupan. Bergunakah aku? Atau aku cuma satu lagi sosok manusia yang nantinya berakhir menjadi kayu bakar api neraka? Masih banyak persoalan yang berlegar-legar dalam kepala. Tapi semuanya aku biarkan tanpa jawapan. Apa yang aku boleh simpulkan, aku dipaksa untuk menjadi kuat. Kerana untuk masa sekarang, menjadi kuat sahajalah pilihan yang ada untuk aku ambil. Mahu atau tidak. Bersedia atau tidak. Aku tak punya pilihan.


Mungkin sudah terlalu lama aku berdiam. Mungkin aku perlu menulis semula. Meluah semula. Orang kata, diamnya orang yang suka menulis, mungkin kerana hilangnya sumber inspirasi? Entahlah. Mungkin berdiam, adalah cara menangis yang terpaling lantang. Mungkin dah sampai masa untuk Tuhan terbalikkan roda hidup aku. Kalau dulu asyik sentiasa di atas, asyik sentiasa gembira. Mungkin ini masa untuk Tuhan beri aku rasa luka, rasa lara, rasa kecewa. Bukankah doa aku di atas sejadah setiap kali aku usai menyembah, "Ya Allah, kurniakanlah aku kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian Mu." Macamana aku nak tahu yang aku tabah? Macamana aku nak tahu yang aku kuat? Mungkin ini caranya.

Sigh.

Kadang-kadang. Aku rindukan diri aku yang dulu. Yang jarang guna otak. Yang tak pernah serabut benda yang bukan-bukan. Yang tak pernah kisahkan ciap-siap manusia yang lain. Yang sentiasa ketawa, yang sentiasa sunging bahagia.


Mungkin taqdir hidup yang aku jalani sekarang, adalah perjalanan untuk setiap doa-doa yang aku titipkan selama ini untuk Tuhan. Tuhan beri apa yang aku perlu. Tuhan tidak beri apa yang aku mahu.


Mungkin.

Tiba-tiba rindu Penang.
Babai.



Read More»