Friday, August 17, 2012

Karunia Ramadan.

Assalamualaikum.

Sesuatu itu, biar sepedih dan seperit manapun, jika dilakukan dengan rasa ikhlas yang bukan diada - adakan, insyaALLAH, keberkatan ALLAH akan menyusul mengubati apa yang pedih dan perit itu. -Norhayati Isnin

Aku pandang dia. Dia pandang aku. Aku pandang dia dengan penuh kasih sayang. Aku tak tahu dia pandang aku dengan pandangan yang apa. Dalam hati aku Allah saja yang tahu. Dalam hati dia, dia dan Allah saja yang tahu. Sebab aku tak tahu. 30 saat (Mungkin lebih mungkin kurang) berkeadaan begitu, dia akhirnya membuka bicara. Ayat penyata yang pertama kali keluar dari mulut dia. Dalam keadaan kami hanya berdua. Berempat. Dengan dua malaikat di bahu kiri kanan kami.

Beberapa ayat yang pertama keluar dari mulut masing - masing kedengaran sangat kekok dan masih berbaur ego. Terutamanya aku. Beberapa kali aku cuba menukar nada suara, supaya getar yang berakar dari hati takkan sampai ke riak muka. Dan akhirnya, ego aku runtuh seruntuh - runtuhnya bila saja telinga aku menangkap bait ayatnya yang hampir terakhir.

"Saya mahu berbaik sampai bila - bila."

Itulah sebenar. Itulah sebenarnya yang meruntuh tembok antara aku dengan dia. Itulah sebenarnya. Itulah sebenarnya yang membuak sebak dalam hati aku. Dan itulah sebenarnya. Yang membuka empang takungan air mata. Itulah sebenarnya.

Dari situ aku mengesan riak ikhlasnya. Dari situ aku membuang jauh - jauh topeng hipokrit yang berbulan - bulan aku pakai. Dari situ, hati aku berkembang dan melimpah - ruahkan maaf yang maha ikhlas untuk dia. Tanpa kompromi.

Dan, umpama skrip filem yang aku hafal dari zaman kanak - kanak, segala - galanya aku luahkan umpama esok takkan ada lagi. Aku tahu dia kurang percaya atau mungkin 100% tidak percaya dengan apa yang aku cakapkan. Mungkin. Sebab kalau ditelinga manusia biasa, semua yang aku luahkan tu bunyi dia lebih kurang macam mitos. Dongeng kanak - kanak. Tapi itulah yang sebenarnya bersarang dalam hati. Itulah ikhlas yang aku ingin dia tahu. Ingin dia tahu yang selama ini dia bukan picisan. Dia penting. Bukan. Bukan. Dia sebenarnya adalah yang terpenting. Sangat penting untuk aku. Aku mahu dia tahu itu.

Dan sekarang. Dia sudah tahu.

Allah saja yang berupaya memberikan aku kekuatan mengawal emosi. Menjinakkan kelenjar - kelenjar airmata supaya jangan terhambur dihadapan dia. Macamana aku mengetap bibir dan mengawal vibrato suara supaya tidak bergetar - getar. Walaupun nantinya aku bakalan tewas dengan emosi, diharapkan agar bukan dihadapan dia.

"Alhamdulillah"

Ucap dia. Sambil kedua tangan diraup ke muka. Ringkas. Tetapi sangat terkesan dalam hati aku. Subhanallah. Maha suci Allah. Misteri sungguh caraNya melerai kekusutan, menghurai beban. Dengan cara yang penuh bertakzim sekali, dua tali ukhuwah yang dulunya terlerai kini bersambung kembali.

Aku mahu sujud syukur.

Dan ketika sujud itulah, empangan airmata terhambur sesuka hati.

Ya Allah. Tuhan yang memakbulkan segala doa - doa, akhirnya doa aku disetiap malam - malam dimakbulkan pada 24 Ramadan. Tidak ada perkataan atau lafaz syukur yang mampu aku ucapkan untuk menggambarkan betapa agungNya kekuasaan Allah dalam mentadbir setiap hati yang ingin berubah. Dan aku bertuah kerana hati aku terpilih untuk ditadbir olehNya dengan penuh mahabbah. Ya ALLAH.

Terima kasih kak. Kalau tak kerana jasa baik akak, kami mungkin akan kekal sebagai 'Mustahil'. Terima kasih, kak!
Dan kini, aku tak pernah merasa lebih tenang dari ini.

Karunia Ramadan.

Dah. Babai!

No comments: