Aku menikahi isteriku dengan mahar yang aku cari sendiri dengan tulangku yang empat kerat . Bagaimana aku berkerja siang dan malam mencari wang bagi membolehkan wanita yang aku sayang , menjadi suri yang halal untuk menjadi pelengkap perjalanan hidup aku . Dia bukanlah wanita yang tercantik , bukan juga wanita yang terpandai , bukan juga wanita yang terbaik , bukan juga wanita yang paling muslimah . Bukan . Namun , bila bersama dia , pada aku , dialah yang tercantik , yang terbaik , yang terpandai , yang paling muslimah . Aku mahu memimpinnya , memimpin tangan dan langkahnya . Aku mahu dia menjadi ibu kepada anak – anak kami , aku mahu wajahnya yang tersenyum menghiasi setiap pagi . Aku mahu suara dia , yang menjadi halwa telinga aku setiap hari . Aku mahu hatinya , menjadi pelengkap hati aku . Aku mahu dia , menjadi isteriku . Yang sah .
Aku kenal hati budi isteriku baik dan buruknya . Aku kenal apa yang dia suka apa yang dia benci . Aku kenal hatinya . Aku tahu bagaimana mahu memujuknya . Setiap kali dia marah , aku tahu apa yang menenangkannya . Aku tahu kesukaannya . Aku tahu apa minatnya . Aku tahu dia , isteriku luar dan dalam . Aku tahu lagu kegemarannya , aku tahu filem – filem yang dia minati . Aku tahu apa isi hatinya tanpa perlu berkomunikasi . Aku tahu bagaimana dia suka menyanyi sambil menemani aku memandu . Bagaimana dia suka merangkul tanganku saat aku memandu . Aku tahu bagaimana tidur petangnya hanya dengan dodoian aku , bagaimana takutnya dia ketika hujan lebat , bagaimana takutnya dia dengan kegelapan . Bagaimana takutnya dia dengan haiwan – haiwan kecil dan merayap . Aku kenal isteriku . Aku memahami dia . Zahir dan batin .
Aku tahu makanan kegemarannya , yang penting aku tahu bagaimana mahu memasak makanan kegemarannya . Ketam masak lemak cili api . Aku belajar memasak apa yang dia suka . Aku puas setiap kali dia makan dengan penuh berselera . Kenyang bila lihat dia makan . Comel . Dia suka makan yang pedas – pedas . Dia terpaling suka bila aku memasak . Dia akan duduk diam – diam sambil sekejap – sekejap menjengah apa yang aku masak . Riak mukanya persis kanak – kanak bersifat penuh rasa ingin tahu . Wajah yang selalu aku rindukan bila aku jauh dengannya . Riuh suaranya yang paling menyentap rasa andai sehari aku tak dengar . Dia buat aku rindu , setiap waktu . Walaupun dia suka marah – marah , hatinya adalah yang terpaling mulia . Selalu berkorban untuk kebahagiaan orang lain . Tak pernah berkira . Ikhlas . Dia mendahulukan kebahagiaan orang . Ah , dia manusia yang baik luhurnya .
Dia mengadu badannya sudah naik . Sudah tidak kurus seperti dahulu . Tapi aku sering ingatkan dia , bahawa dia masih perempuan paling cantik bagi aku . Masih comel seperti dahulu , masih anggun , masih manja dan menawan seperti dia yang aku kenal 13 tahun yang lepas . Bila dia kelihatan sedih , takut – takut aku sudah tidak suka dengan bentuk badannya sekarang , aku tarik tangannya , tunjukkan dia cahaya mata kami yang sihat dan kacak . Lalu aku katakan padanya “Sayang , kamu berikan abang malaikat kecil ini . Kamu bukan berubah menjadi gemuk ataupun hodoh , tetapi , ibu malaikat rupanya memang seperti kamu . Dan untuk itu sayang , pengorbanan kamu takkan terbalas sayang , takkan terbalas” Dan dia akan tersenyum . Sambil mencubitku kecil . Dia takkan percaya apa yang aku katakan . Dia fikir aku bergurau . Ah kalaulah dia tahu yang aku sedikit pun tidak bergurau .
Wajahnya bertelekung adalah yang paling jelita . Suci tanpa make up . Duduk akur dibelakang aku menjadi makmum sehidup sematiku . Saat aku bacakan doa setiap kali berpeluang berjemaah bersama , suaranya mengaminkan doaku adalah alunan yang terpaling merdu menyentuh tangkai hati aku . Tangan lembutnya menyambut huluran salamku . Dahinya aku kucup , menular rasa sayang yang maha dalam dari aku , untuk isteri yang aku maharkan menjadi suri dalam hidup aku . Suaranya mengaji membuai tidur malamku . Bila dia sakit , aku tak tidur malam . Tidur sentiasa terjaga . Aku mahu kesakitan itu dipindahkan kepada aku . Kalaulah boleh , aku redha . Setiap kali dia mengaduh sakit , hatiku bagai disentap . Sewaktu melahirkan putera hati aku , aku melihat sendiri bagaimana dia berjuang bermatian mahu melahirkan khalifah Allah ke muka bumi . Bagaimana mati hanya selangkah tapak kaki , bagaima azabnya dia , isteriku , mendamba hati melawan kesakitan demi melahirkan puncak agung kasih sayang kami suami isteri . Tak akan terbalas , tak akan terbalas .
Aku tinggalkan kesenangan dunia , untuk bersama isteriku . Aku tinggalkan dunia , untuk isteriku . Aku menongkah caci manusia , untuk isteriku . Aku perbaiki kekurangan diri , untuk isteriku . Aku berikan dia kasih sayang , perhatian , seluruh kebaikan aku , nafkah zahir dan batin , teguran , ajaran , panduan , pimpinan , nasihat , gurauan , hanya untuk isteriku . Aku setia menyayanginya seorang , aku angkat darjatnya sebagai isteri ditempat yang terpaling tinggi tempatnya dalam hati aku . Aku mahu dia , isteriku , isteri didunia dan isteri disyurga Allah kelak .
Dia melengkapi aku .
Dan bila engkau , lelaki ,
Bila engkau nyatakan betapa engkau sayang dan mahu memperisterikan ISTERI aku , ada dua perkara yang kau perlu tahu .
Pertama , kau hanya menguatkan cinta aku kepada isteriku . Dan yang kedua , aku benar – benar mahu membunuhmu .
Aku ,
Suami .
8 comments:
Wowww... BEST!
ade orang nak kawin ngn isteri orng?? biar betul!!! haissyy,, mmg patut dibunuh kot,, kot la,, hehe
sweet..
kejamnye lelaki itu!!
@YUS Terima kasih ! ><,
@Nurmujahidah IsmailKot lah kan . Kalau membunuh itu tak salah ! HAHA !
@Rozieta RaffarCinta . Wrong timing tapinya .
bersyukurlah boi. bersyukur.
@Miss TasantekBersyukur apa ? Suami mahu membunuh orang ?
Post a Comment