Bismillah.
Assalamualaikum. Biarlah aku mulakan entri kali ini dengan sedikit ayat - ayat nostalgia mengusik jiwa. Adapun amatlah bagus kalau entri aku kali ini engkau orang baca ketika gelap ataupun ketika blackout sambil bertemankan dendangan lagu - lagu bertemakan kekeluargaan contohnya macam lagu tema cerita Opah yang cukup lejen suatu ketika dulu ataupun lagu tema rancangan Barney and Friends. Nasihat aku, jangan dibuka lagu Mari Mengundi, boleh jadi lain pula nanti emosi pembaca - pembaca sekalian.
22 tahun yang lepas, ketika Emak mengendong pulang seorang bayi gemuk daripada hospital, aku merasa sungguh dengki sekali. Sudahlah gemuk, rambut kerinting bulat - bulat pula. Ketika itu aku yang berumur 8 tahun, masih suci dan tidak tahu apa - apa hanya memandang Emak dan Abah dengan seribu satu perasaan yang sangat tidak puas hati. Sekejap - sekejap aku jenguk tilam tempat Emak berbaring. Sangking sungguh perasaan pada ketika itu sebab sepanjang masa bayi gemuk tersebut asyik berada dalam dakapan Emak. Mengada - ngada betul. Jerit aku dalam hati. Sekejap-sekejap bayi gemuk itu merengek - rengek dan nantinya Emak terkocoh - kocoh melayan setiap rengekan bayi gemuk terbabit. Aku pula hanya memandang dari jauh. Sebal sungguh rasa di dalam hati. Nanti kau !
Dan malam itu, buat pertama kalinya aku tak boleh tidur dengan Emak. Aku kena tidur dengan Abah, Aku ingat lagi macamana aku membanting diri, tarik - tarik rambut sambil menangis secara all out. Sungguh drama sekali kelakuan aku pada ketika itu. Tapi hati aku sangat tersagat dan tersayat kerana buat pertama kalinya Emak buat tak kisah dengan perangai drama aku, sebaliknya Emak biarkan Abah setel semuanya dan Emak masih dengan bayi gemuk terbabit. Aku menangis sampai serak - serak suara aku, bengkak - bengkak mata aku pergi sekolah besoknya. Malam itu, tahulah aku bahawasanya bayi gemuk terbabit adalah adik aku, dan tahulah aku bahawasanya bayi gemuk itu punca kasih sayang Emak Abah akan terbahagi empat. Aku tengok kakak - kakak aku yang lain chill saja. Mungkin mendapat adik sudah biasa bagi mereka. Penat berdrama dan tidak diendahkan, akhirnya aku tertidur juga dalam keadaan terduduk. Sungguh simpati betul keadaan aku pada ketika itu.
Sejak hari terbabit, aku bukan lagi menjadi keutamaan dalam keluarga. Bayi gemuk tersebut mula menjadi tumpuan kerana beliau bukan sahaja gemuk dan kerinting, tetapi agak comel pula. Setiap aksinya menghiburkan Emak Abah sekeluarga, rengekannya menjadi dendangan baru Emak Abah. Bila bayi gemuk itu menangis, semua orang berlari mendapatkan beliau. Tiada siapa yang mahu melayan aku lagi. Pada ketika itu, aku naik basikal lepas tangan pun tak ada siapa mahu memandang. Sungguh kecewa. Bayi gemuk itu lama - kelamaan semakin membesar, dan pada hari beliau berjalan buat pertama kalinya, masa itu aku baru balik sekolah agama, dek kerana terlalu jaki, aku pantis kakinya lalu beliau jatuh tersembam. Dan habuannya, aku telah dihanger secara berjemaah dengan Abah. Sedap betul rasanya. Padan muka aku.
Aku juga mulai sedar, yang kalau aku cuba pengapa - apakan bayi gemuk terbabit, pasti aku akan mendapat balasan setimpal. Pernah aku cubit paha gebunya secara senyap - senyap, tetapi terkantoi pula dengan Emak. Akibatnya, birat - birat badan kena hanger beberapa kali libas. Mainstream betul Abah hanger aku pada zaman itu. Aku pula, selaku budak degil yang lejen, tak menangis langsung. Jaga martabat dan nama baiklah katakan.
Semakin bayi gemuk tersebut membesar, beliau semakin menjadi seorang budak yang comel dan rupa paras beliau, berbanding kakak - kakak yang lain, dia lebih seiras aku. Ketika beliau masuk sekolah tadika, rata - rata manusia mengatakan wajah beliau sangat serupa dengan aku. Pada ketika itu aku merasa sungguh sengit sekali persaingan yang bakal terjadi bila disama - samakan. Ada juga perasaan tidak puas hati dalam diri tetapi aku diamkan saja kerana takut sesuatu yang musibah menimpa diri. Ataupun dalam erti kata lain, aku takut dihanger lagi. Hewhew!
Walaupun usia kami berbeza 8 tahun, entah macamana kami berdua menjadi rapat pula. Bila beliau berada di dalam darjah dua, pada ketika itulah dia mengkenenkan aku dengan abang kawannya. Ejen mencari jodoh pula budak ini. Nasib baik abang kawannya tersebut sungguh kacak dan padu sekali, yang kini sudah selamat menjadi suami aku. Ehekhek. Gedik pula. Tetapi itulah, semakin kami membesar, semakin rasa geram dan tidak puas hati itu hilang dengan sendirinya. Diganti pula dengan perasaan sayang dan bersifat mahu melindungi. Pernah aku menyerang hendap budak yang selalu ejek adik aku dekat sekolah pada suatu petang itu. Sedap - sedap budak itu naik basikal keliling kampung, aku dengan adik aku yang pada ketika itu baru pulang mengaji, naik motor, telah melepuk kepala budak berkenaan dengan buku Kimia aku dan sekaligus mengakibatkan budak tersebut hilang kawalan lalu terhumban kedalam parit. Padan muka beliau. Ternyata, itu menjadi pengajaran dan beliau tidak lagi mengejek adik aku. Taiko sungguh aku pada waktu itu.
Banyak kenangan - kenangan manis yang aku dengan adik aku kongsi sama - sama. Kalau nak tulis satu - satu dekat sini, takut menjadi novel berepisod pula. Menyampah pula engkau orang nak baca. Hari ini, 22 April, genap usia dia 22 tahun. Sudah besar, dan cantik saling tak tumpah macam kakak - kakaknya especially yang nombor tiga tuu. Koffff kofff! *Batuk* Perangai pula saling tak tumpah juga sopan santun sungguh macam kakaknya yang nombor tiga itu juga. Benih baik, campak kemana pun jadi pulau. Amboih, lain macam pula puji diri sendiri.
Selamat hari lahir, Nyet. Semoga kau panjang umur murah rezeki dan diberkati yang Maha Pencipta. Belajar rajin - rajin. Jangan ingat nak makan aje. Aku tak selalu ada dengan engkau, tapi engkau selalu ada dalam doa aku. Jaga diri. #Muchlove
Yang benar,
Kakak Kau Nombor 3 Yang Sungguh Terbilang
Buntuk sejati.
Dah. Babai!