Aku manusia yang hati kental. Bukan jenis manusia yang senang - senang menangis depan orang ramai, bukan jenis manusia yang cepat mata merah dan bertakung air, bukan jenis manusia yang tengok cerita sedih terus banjir satu bilik. Bukan. Walaupun masa kecik - kecik aku suka menangis, tapi bila dah besar, airmata jadi mahal sikit. Payah nak keluar. Tapi, bila berhadapan dengan perangai anak - anak murid yang kadang - kadang buat aku istighfar banyak - banyak, aku rasa macam nak meraung dekat - dekat situ jugak. Hati yang batu tadi jadi lembut macam jelly kelapa. Jenis yang kuis sikit terus jatuh terhempas lalu pecah menjadi ketul - ketul kecil yang tak mampu dibentuk semula. Macam itu.
Aku tak kisah kalau kena ajar kelas belakang. Dah memang sejarah aku start mengajar sampailah sekarang, memang tak sah kalau dalam setahun tu aku tak pegang kelas yang hujung - hujung. Pesen yang kalau kata datang sekolah cuma nak buat musibat, pesen yang kau ajarlah banyak mana sekalipun, time exam mesti hulur kertas kosong. Tapi itu semua tak pernah mematahkan semangat aku nak mengajar sebab prinsip aku, kau bodoh macamana sekalipun, asalkan kau sanggup nak belajar, kau akan berjaya. Yang menjadi pantangnya aku adalah bila kau dah sedar kau tak pandai, dan kau LANGSUNG taknak belajar.
Aku tahu tak ramai anak murid yang suka aku. Aku kalau dalam kelas jarang nak bergelak ketawa nak bergembira. Mungkin ada yang menyampah, ada yang benci pandang muka aku, ada yang rasa macam nak ludah aku atau ada yang doa biar aku sakit so tak payah masuk kelas untuk mengajar. Aku tahu. Aku tahu sangat - sangat. Ada yang depan mata aku baik tapi belakang mengata aku berbakul - bakul. Lahai aku tahu. Lumrah jadi guru, lumrah jadi manusia. Tak semua suka dekat kita. Aku tak kisah. Aku persetankan semua tu sebab niat aku masuk kelas cuma satu , aku nak ajar mereka apa yang aku tahu. Aku nak diorang dapat ilmu dari aku walaupun sedikit.
Aku tahu ada yang tak hormat aku. Aku berdiri dekat depan mengajar mungkin pada mereka cuma sebagai seorang perempuan yang menyemak, cuma nak menghabiskan 2 period mengajar, nak menghabiskan sukatan, nak cuba capai gred yang tinggi untuk subjek aku. Ya Allah, kalaulah aku boleh bagitahu apa yang aku rasa sebenar - benarnya dalam hati aku. Betapa setiap saat aku dalam kelas tu, aku kalau boleh nak pastikan semua orang dapat apa yang aku sampaikan. Diorang nak aku happy happy tak marah - marah, nak aku jadi sporting, nak aku selalu senyum dan ketawa dengan diorang tapi tahu tak diorang macamana aku nak happy kalau kerja aku tak pernah nak siap? Macamana aku nak senyum kalau cakap aku diorang tak pernah dengar? Macamana aku nak ketawa nak senyum kalau sikit pun takde rasa hormat diorang untuk aku? Jawab.
Aku ke yang tak pandai mengajar? Atau Allah nak uji aku, supaya aku perbaiki diri untuk menjadi seorang guru yang tinggi darjatnya? Tak ada perkataan yang dapat aku gambarkan bila mata aku sendiri jadi saksi macamana anak anak Melayu bangga dengan kebodohan mereka sendiri, taknak berusaha walaupun macam - macam kemudahan ada disediakan. Anak bangsa lain berlumba - lumba memajukan diri sendiri, anak bangsa kita berlumba - lumba membangangkan diri sendiri. Ilmu bukanlah sesuatu yang menjadi kepentingan untuk mereka. Aku tak pasti dimana silapnya. Dada aku sakit tahan sebak setiap kali aku tengok anak anak Melayu memperlekehkan ilmu, seolah - olah menjadi bodoh itu sesuatu yang harus dibanggakan. Kecewa yang tak termafhum setiap kali aku berdiri dihadapan mereka, berperang dengan rasa hampa dan semangat untuk meneruskan pengajaran, aku lakukan demi satu tujuan. Demi Tuhan.
Sebagai manusia biasa, ada masanya aku tewas dengan rasa hampa. Give - up. Mengalah. Tapi setiap kali aku kenangkan inilah satu - satunya sumbangan aku untuk berjihad dijalan Allah, aku gagahkan juga hati yang remuk diinjak - injak tadi untuk terus kuat mendidik anak bangsa. Tugas sebagai seorang guru pada masa sekarang ini bukanlah sesuatu yang mudah. Ramai yang kata, gaji guru besar, kerajaan dah naikkan gaji kami. Well, ya. Kalau kerana gaji itu kerjaya kami diperlekeh - lekehkan, aku rela bergaji kecil asalkan aku sentiasa ada masa untuk keluarga. Bukan keluar rumah awal pagi dan balik bila Maghrib. Kursus sana sini. Kerja yang tak berkesudahan. Dan kau mahu tahu apa pelaburan terbesar seorang guru? Tertabraknya emosi dan harga diri kami bila diludah - ludahkan sendiri oleh jiwa - jiwa yang kami didik. Itu, yang kami perdagangkan setiap kali kami melangkah masuk ke dalam kelas. Harga diri kami.
Kau orang tak pernah merasa susah. Kau orang tak perlu berlapar waktu rehat sebab tak ada duit makan, kau orang tak perlu pakai kasut besar kakak kau orang punya pergi sekolah sebab Emak Bapak kau orang tak mampu nak belikan kasut. Kau orang tak perlu pakai baju lusuh tak mampu bertukar sebab Emak Bapak kau orang tak mampu nak belikan baju baru. Kau orang hidup senang dan tak perlu berusaha keras untuk pastikan kau orang tak perlu mewarisi kemiskinan Emak Bapak kau orang. Sebab itu kau orang tak pernah langsung mahu mendewakan ilmu. Ilmu bukan lagi sesuatu yang mesti kau orang tuntut, tapi ilmu itu pada kau orang cuma sebagai satu benda yang menyekat kebebasan masa muda kau orang. Kalaulah kau orang tahu. Kalaulah.
Selagi aku bernafas, selagi itu aku akan sentiasa memperkuat asa dan daya untuk terus kebal emosi dan rohani mendidik kau orang semua. Walaupun ada masanya jiwa sangat rentan dan lemah, aku akan pastikan aku terus kuat dan gagah untuk melangkah. Cuma satu yang aku mintak. Cuma satu, bantulah aku, untuk membantu kau orang semua. Mohon dengan sangat.
Kau orang tak akan jumpa cikgu macam aku. Sumpah. Tak akan jumpa.
Satu itu aja.
Dah. Babai.