Monday, July 28, 2014

Iftar Dengan Skandal Sana Sini.

Malam raya, sambil tunggu ketupat siap rebus, selamba pulak aku update blog.

Busy sungguh aku dua tiga minggu ni. Sampaikan nak membuang masa pun aku tak sempat. Setiap hari - hari yang berlalu aku isikan dengan kegiatan berfaedah seperti membuat kerja - kerja seorang guru cemerlang, melakukan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan Emak yang mithali dan lain - lain kerja kemasyarakat. Busy beb! Sampaikan nak mengumpul setem pun aku tak ada masa. Bayangkan , busy tak busylah kan?

Jadinya bila dah start cuti sekolah ajelah baru sempat nak beriftar sama dengan manusia - manusia kesayangan. Sepatutnya terbahagi kepada empat. Anak murid, kawan baik tahap polis angkasa gaban, kawan sehidup semati dari zaman sekolah dan juga beriftar sama dengan roomate halal imam solat pemilik tulang rusuk till jannah aku. Tapi Allah punya perancangan memang power, aku dapat combinekan empat kategori tadi menjadi dua. Iftar dengan anak murid dan kawan baik tahap polis angkasa gaban tadi satu event, and iftar kawan sehidup semati dari zaman sekolah dan juga beriftar sama dengan roomate halal imam solat pemilik tulang rusuk till jannah aku dapat aku buat serentak. Phew betul. Terima kasih Ya Allah!

Sebenarnya makan - makannya tak seberapa pun, borak - boraknya tu haa yang tak cukup kalau setakat 2 - 3 jam. Paling koman pun setengah hari. Macam - macam benda yang diborakkan, dari yang serious sampailah ke isu - isu bangang buang masa buat tumpul kepala otak. Gelak - gelak macam orang terencat, sambil tangan laju sumbat kentang goreng dalam mulut. Air gas pulak berganti - ganti masuk dalam gelas. KFC tu dah macam bapak masing - masing punya. Time merepek tak tentu hala memang dah lupa dah yang umur aku dah separuh umur dia orang. Terasa sebaya. Kahkah.

Nasib baik hari dah malam. Kalau tak, memang membawak ke besok pagi tu kalau dibiarkan. Sekali pandang dah macam Emak yang bawak anak dia buka puasa tujuh orang. Haha.


Dari kiri, Tabla Bakal Mufti, Al- Ameen Pengkhianat Bangsa, Farhan, Jidin Kacak Kengkononnya, Ehem Yours Truly, Nada Sayang, Fathiin Sayang and Aini Sayang.

Esoknya pulak Iftar dengan kawan - kawan masa zaman sekolah. Tak ramai pun. Kami berlapan aje termasuk suami. Tapi dia punya havoc, kalah bebudak Subang Jaya. Rindunya dengan dia orang ni semua. Terasa macam zaman dulu - dulu waktu sekolah. Walaupun fizikal masing - masing dah tak selim melim macam dulu, tapi saki - baki bongoknya tetap ada dalam diri masing - masing. Itu yang mahal tu. Masing - maisng dah berjaya, tapi dia punya humble macam orang kampung tiada harta. Azhan (Daim) sekarang dah jadi cikgu Sains yang berkahwin dengan Pegawai Linus Bahasa Inggeris poyo tak hengat. Waz pulak Culinary Consultant merangkap tauke kerepek cemerlang yang mementingkan fesyen terkini. Andy pulak pakar motivasi penuh drama satu jam RM500 merangkap lecturer psikologi. Nasey, coach menembak kontinjen Johor yang selang dua hari sebelum tu selamba berbuka dengan pemain - pemain bola JDT siap tangkap gambar sama - sama, kahwin pulak dengan jururawat yang cantik dan penyabar. Inn, sekarang dah jadi business woman berjaya yang buat kerja - kerja craft dan dekorasi. Tak lama lagi nak buka butik pengantin sendiri. Bangganya aku kawan - kawan aku semua dah berjaya :')


Mungkin terlampau gembira, sampai tertidur Andy nampaknya.
Andy dah bangun, suami saya pulak yang tertidur.
Daim, Nasey, Waz, Andy, Yatt, Inn.

Alhamdulillah, happy rasanya dapat luangkan masa dengan orang - orang yang kita sayang, kan? Kalau nak ikutkan masa, memang tak akan cukup. Pandai - pandailah curi masa. Kumpul ramai - ramai dengan orang yang kita care, yang kita sayang , sementara masih ada. Esok - esok kalau dah tak ada, menyesal pun tak ada guna. Duit boleh cari, kawan kalau hilang, mana nak cari ganti. Ye dak?

Selamat hari raya aku ucapkan kepada semua pembaca blog aku, kepada kawan - kawan, ahli keluarga, anak - anak murid, Emak Bapak dan kaum keluarga anak - anak murid, haters, bekas - bekas pakwe, stalkers, ah semua sekalilah. Maaf zahir dan batin. Aku maafkan apa jugak salah silap engkau orang dekat aku sama ada yang engkau orang senagaja ataupun tidak. Apa nak ego sangat, ye dak? Kita dekat dunia ni bukan sampai bila - bila pun.

Eh, jemput datang rumah. Boleh tahan banyak jugak kuih dekat rumah aku. Maklumlah masa beli itu hari, main tunjuk aje. Sekali bila time nak isi kuih dalam balang, baru rasa menyesal. Banyak dia macam nak buka kedai. Mehlah datang. Nanti aku masak mee hoon sup sambal kicap paling power dalam Malaysia. Pehh!

Selamat semuanya weh!

Tuesday, July 22, 2014

Malaikat Kecil Usianya Empat Tahun.

16 Julai 2010. 4.15 petang Jumaat yang penuh barokah warahmah.
Moment paling gembira.
Moment yang aku rasa paling win dalam dunia.
Moment yang buat aku rasa, aku wujud dekat dunia untuk satu tugas suci yang Tuhan beri.
Untuk menjadi Emak kepada anak yang aku kandung 9 bulan ini.
Moment yang buat aku percaya, benarlah bayi itu asalnya datang dari syurga.
Moment pertama kali, Adam Irfan Xaharis berada kemas dalam pelukan yang pada waktu tu sangatlah teramat kekok, clumsy, serba tak kena. Perasaan yang sukar untuk aku gambarkan.

Aku tak akan lupa, senyum pertama dari mulut comel Adam.
Rasa macam dipanah cinta arjuna.
Rasa degup jantung tak senada.
Tangan kecil Adam aku cium - cium penuh sayang. Sayang yang sukar untuk aku tafsirkan dalam kata - kata. Sayang yang akan buat engkau sanggup buat apa saja, walaupun untuk tukaran nyawa.

Membesarkan Adam bukan kerja senang.
Bukan cuma duduk saja - saja dengan kaki goyang - goyang.
Bukan.
Banyak yang aku korbankan.
Masa.
Kebebasan.
Kasih sayang.
Perhatian.
Sekarang semuanya terpaksa dikongsi sama Adam.
Lupakanlah nak buat perangai - perangai princess lagi. Tak ada siapa nak layan. Semua orang sibuk kisahkan Adam. Emaknya Adam, terbiar. Haha. Padan muka aku.

Semakin Adam membesar, apa lagilah harapan aku untuk Adam melainkan Adam membesar menjadi manusia yang cinta halanya hanya untuk yang Maha Esa. Terjaga imannya, maka terjagalah semuanya. Dan sememangnya bukan senang nak membesarkan anak dalam persekitaran yang mesra addin. Banyak halangan, banyak kekangan. Sebagai Emak Bapak, kalau engkau taknak mencuba sedaya upaya walau terpaksa bersabung nyawa untuk kemaslahatan anak - anak engkau, maka sila terjun bangunan sekarang. Ye. Sekarang.


Sempena birthday Adam genap yang ke empat 16 Julai yang lepas, aku buatlah sikit kenduri doa selamat untuk Adam. Embun, suami dengan Emak bertungkus - lumus siapkan juadah untuk berbuka sekali harung untuk jamuan kenduri doa selamat Adam. Nasi minyak lengkap dengan pencok dan acar timun. Peh dia punya sedap, memang boleh buat jilat tapak kasut sendiri!

Orderkan kek dengan Kak As, senior masa zaman sekolah dulu. Dahlah kek dia sedap, murah pulak tu. Adam dah geram sangat last - last dia bantai jilat aising kek tu. Sabar ajelah. Kalau tak mengenangkan bulan puasa, memang aku ligan dengan batang penyapu laahhh anakkkk. Adam suka betul tengok kek warna - warni macam tu. Dia kata kawan aku belanja dia kek, padahal Emak dia korek duit tabung Ayam nak belikan kek tu untuk dia. Lahai. Anak punya pasal.

Hadiah untuk Adam tahun ni dah beli awal - awal hari tu, dia minta sneakers Converse warna navy blue. Jangan cakap aku ajar anak aku bergaya eh. Aku pun tak tahu mana Adam dapat perangai macam tu. Adam ni jenis budak lelaki yang sepanjang masa nak bau perfume dekat badan walaupun badan melekit - lekit dengan peluh sebab Adam ni budak dia tak reti nak duduk diam. Adam punya rambut, silalah jangan kacau. Boleh mendatangkan kemusnahan alam semulajadi. Particular pasal rambut sangat anak aku ni. Kalau tak kena gaya dia , taknak dia keluar rumah sampailah rambut dia okay semula. T_T Atuk Usu dia pun bagi dia sandal Puma untuk raya. Jimat duit belanja raya. Hewhew. Aku ingat nak belikan Adam kolam mandi. Yang boleh isi angin tu. Adam tu kan kembar dengan Platipus. Suka sangat main air.






Dibandingkan dengan Emak – Emak yang lain, yang jaga anak diorang sikit punya power, yang provide everything the best untuk anak – anak diorang, aku memang rasa lap kaki sangat – sangat. Memang rasa tak layak nak panggil diri sendiri Emak mithali sebab aku memang jauh panggang dari api dengan ciri – ciri seorang Emak mithali. Banyak kurangnya aku ni. Dan seseorang pernah cakap dengan aku,

“Setakat mencuba beri yang terbaik untuk anak – anak tak mencukupi. Kau kena betul – betul dapatkan yang terbaik untuk anak kau.”

Thus, aku pun rasa sangat lap kaki.

Adam dah empat tahun. Empat tahun Tuhan kasi pinjam Adam untuk kami suami isteri. Empat tahun Adam ceria gulanakan hidup kami. Ada masa kalau perangai Adam sangat baik dan sentosa, aku rasa macam akulah Emak yang paling bahagia dalam dunia. Burung – burung terasa berterbangan dan berkicauan seolah – olah turut sama berkongsikan kebahagiaan aku. Tapi langit tak selalunya cerah. Ku sangka panas hingga ke petang rupanya hujan ditengahari. Semakin Adam membesar kadang – kadang Adam ada juga buat perangai – perangai dia yang buat aku urut dada banyak – banyak mintak diberikan sabar. Lagi – lagi bila dia dah pandai cakap, macam – macam perkataan pulak yang dia belajar dari kartun dekat TV. Aku sebagai Emak memang makan sabar banyak – banyak. Takkan nak salahkan orang lain. Salah aku jugak sebab bagi dia tengok kartun banyak sangat. Haih. Petir memancar diudara.

Selagi aku hidup, tugas membesarkan Adam adalah satu perjuangan untuk aku. Perjuangan yang takkan pernah tamat. Aku sentiasa doakan Adam menjadi anak yang soleh dan membahagiakan ibu bapa. Akulah tu kan, dengan suami. Saham aku dekat akhirat nanti. Kalau salah mendidik, kaki ni sebelah dah landing dekat neraka Tuhan. Bukan calang - calang tanggungjawab Emak Bapak zaman sekarang. Bukan setakat dunia yang kena dikejar, akhirat tu yang aku rasa Emak Bapak zaman sekarang ramai yang terlepas pandang. Ahh menyampah pulak engkau orang aku berdialog macam ustajah Bahiyyah.
 

I love you, Adam.
Sepenuh hati Mama. Seluruh jiwa raga Mama.
And that explains everything.

I love you. Fullstop.
Semoga cinta Allah tumpah untukmu,nak.

Selamat hari lahir.


Cinta,
Mama.