Kalau kau tanya, harta apa yang aku ada dalam dunia - jawapan aku sangat senang. Aku tak punya apa - apa. Aku tak ada rumah banglo bertingkat, atau kereta mahal buatan luar negara. Duit berkepuk dalam bank. Tak. Aku tak ada apa - apa. Aku hidup cuma punya orang - orang yang sayangkan aku. Biarpun tak ramai. Tapi cukuplah untuk buat aku rasa keberadaan aku atas dunia bukan sesuatu yang sia - sia.
Ramai orang boleh mengaku sayangkan engkau. Ramai orang boleh kata sanggup berkorban dan berjuang apa sahaja untuk engkau. Tapi berapa ramai yang ikhlas dan mengotakan apa yang mereka sembangkan tadi? Berapa ramai yang angkat tangan dan tadah doa untuk kau secara senyap - senyap disetiap usai solat? Berapa ramai yang tulus polos mendoakan kebahagiaan engkau setiap kali ingatannya dilawat polah memori bersama engkau? Berapa ramai? Mungkin orang - orang sebegini dalam hidup aku tak ramai. Agaknya, boleh dihitung dengan jari. Kan?
Aku bersyukur , ditaqdirkan Tuhan menjadi seorang guru, walaupun cuma guru picisan yang tak hebat dalam melakar warna kejayaan dalam dunia pendidikan. Siapalah aku kalau nak dibandingkan dengan guru - guru hebat lagi cemerlang yang ada diluar sana. Siapalah aku, guru biasa yang cuma berteman 8 tahun pengalaman mengajar. Itupun baru mula nak merangkak perlahan - lahan. Ilmu didada tak seberapa. Setiap hari masuk kelas hanya berbekalkan azam dan kesungguhan yang pasang surut ikut emosi dan perasaan. Biasalah. Aku manusia. Ada hari - hari, yang aku rasa memang aku lahir hanya untuk menjadi seorang gagalis. Itu realiti sebenar seorang aku.
Tapi Tuhan selalu dampingkan aku dengan manusia - manusia yang ikhlas sayangkan aku. Walaupun tak semua, tapi tak apalah. Tuhan hadirkan manusia - manusia macam ni untuk sentiasa bantu dan sedarkan aku yang aku sentiasa disayangi, diingati dan didoakan. Jadi untuk apa aku terus - terus meratap manusia - manusia yang hadir dalam hidup semata - mata singgah hanya untuk memperjuangkan sebuah lakonan? Kisah hidup masih panjang. Teruskanlah berjalan.
Aku tahu aku bukan manusia sempurna. Setiap hari tak lepas buat silap, buat dosa. Rasa tak layak nak menerima kasih sayang Tuhan. Rasa tak layak untuk aku dikelilingi manusia - manusia baik budi yang tak jemu - jemu ada dengan aku diwaktu susah dan senang. Sebab aku rasa aku tak cukup baik untuk menerima kebaikan manusia. Terima kasih Tuhan, kerana selalu memberikan aku kekuatan dan kesabaran yang paling tertinggi untuk aku teruskan kehidupan. Disetiap simpang - simpang dosa tempat aku termanggu dan tak tahu arah mana untuk dituju, Engkau selalu berikan ilham dan pertolongan. Engkau juga berikan aku sebuah hati yang walaupun tak sesuci lebaran, tapi masih mampu untuk sentiasa bermuhasabah diri dalam menginsafi khilaf dan setiap kesilapan. Engkau berikan aku hati yang masih terus - terusan mencintai dan memberikan yang terbaik tanpa meminta sedikitpun balasan. Engkau berikan aku hati yang terus - terusan memaafkan walaupun entah berapa kali diluka tabrakan. Terima kasih Tuhan.
Jauhkan aku dari sikap angkuh, Ya Tuhan. Ingatkan aku yang aku ini sedang berjalan dengan penuh dosa diatas bumi Mu. Sadarkan aku setiap kali aku sombong dan kufur dengan nikmat yang Engkau berikan. Aku ini manusia. Hamba kepada Tuhan ku dan siapalah aku untuk mendabik dada dibumi Tuhan. Ingatkan aku Ya Tuhan bahawa aku ini manusia hina yang tak punya apa, hanya mengharap belas ikhsan dari Tuhan Maha Penyayang yang menyebar rahmat kesekelian alam.
Aku ini sedang diuji Tuhan.
Terima kasih untuk manusia - manusia yang tak pernah - pernah jemu untuk sentiasa ada disisi aku. Jatuh bangun. Susah senang. Suka duka. Terima kasih kerana sentiasa ada sama - sama.
Dunia ini tempat persinggahan sementara.
Kekalkanlah rasa kehambaanku Ya Tuhan.
Sewaktu kita dipuja puji - ingatlah bahawa satu masa nanti mulut yang sama akan mengeji.Sewaktu kita disayang sepenuh jiwa - ingatlah bahawa satu masa nanti jiwa yang sama akan membenci.Sewaktu kita sering diletak sebagai keutamaan - ingatlah bahawa satu masa nanti kita inilah dianggap beban.Sewaktu kita merasa bahawa kita ini sedang bahagia - ingatlah bahawa satu masa nanti itu cuma mainan taqdir yang menguji keimanan kita.
p/s : Teacher rindu korang semua!
Dah. Babai!