Wednesday, December 14, 2016

Yusuff Kahfi Xunnurain

Assalamualaikum. 

Entry ni panjang. Aku nasihatkan sebelum start baca baik pergi ambik keropok ikan dulu. Karang lapar.

Hari ni hari ke sebelas berpantang merangkap hari ke sebelas melahirkan anak kedua. Alhamdulillah badan dah rasa sihat. Kalau berjalan kesana sini pun dah gagah. Dah start buat kerja rumah yang ringan-ringan cap ayam macam menyapu and basuh pinggan sikit-sikit. Pun dah mula selesa bila nak bangun dari tempat tidur atau nak duduk bersimpuh sambil nursing adik baby and tengok TV. Alhamdulillah Tuhan beri kesembuhan yang agak speedy jugak dan alhamdulillah takde sebarang komplikasi selepas bersalin. Cuma sekarang ni tengah giat menyusukan adik baby sebab dia ada jaundice sikit. Tak apa. Berlapang dadalah. Ini namanya ujian Tuhan.

Baru berkesempatan nak share pengalaman bersalinkan adik baby. Sejak tahu yang diri sendiri mengandung anak kedua sampailah ke tarikh melahirkan adik baby, memang lain gila dari masa mengandungkan Adam dulu. Sebab tu orang kata mengandung ni lain - lain. Pengalaman pun tak sama. Kalau ada sepuluh juta perempuan yang mengandung dan melahirkan ni, maka akan ada sepuluh juta jugak kisah mengandung dan melahirkan yang berbeza.

Sepatutnya due date adik baby was 3hb Disember 2016. Memang dari awal lagi aku berdoa supaya time nak melahirkan anak kedua nanti aku tak perlu lagi melalui pengalaman bersalin induce macam time Adam dulu. Orang kata sakitnya berkali-kali ganda. Orang katalah. Aku takde comparison lah kan sebab Adam dulu tulah first time aku bersalin. Tapi untuk anak kedua ni nak jugak aku merasakan pengalaman bersalin secara natural dan mengalami sendiri natural contraction. Tapi nampaknya taqdir Allah mengatasi segala-galanya. Allah tahu apa yang terbaik untuk aku. Mengandung dengan risiko kencing manis dan under diet control, kalau aku tak bersalin jugak 2hb Disember tu maka aku kena menyerah diri ke hospital untuk di induce.

So hari Jumaat tu, lepas suami solat Jumaat, aku pun dah packing barang-barang yang nak dibawa ke hospital sekali dengan barang-barang suami, maka lebih kurang pukul 3 petang macam tu kami pun gerak ke Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat. Perasaan time tu bercampur-baur sangat. Kalau dulu pergi hospital tinggalkan mak abah dan kucing-kucing, kali ni pergi hospital tinggalkan Adam dekat rumah. Lain betul perasaannya. Sayu, macam nak nangis. Sedih sangat. Takut - takut kalau aku tak balik.

"Abang, macamana kalau Lina meninggal masa bersalin nanti?"
Suami diam. Lepas tu pendek je dia jawab.
"Mati syahid tau. Masuk syurga."
Terus terdiam aku. Suami ambil tangan kanan aku dan genggam kuat-kuat. Entah apa ke drama lah yang aku rasa time tu. Syahdu lain macam. Dalam hati tak putus-putus berdoa pada Tuhan semoga dipermudahkan segala urusan.

Sampai hospital, suami terus bawa ke Dewan Bersalin. Walaupun belum nak bersalin lagi tapi sekarang prosedur dia memang macam tu. Bawa ke Dewan Bersalin dan tunggu giliran untuk doktor periksa. Ada dua tiga orang jugak ibu-ibu dnegan komplikasi yang macam-macam tengah tunggu turn untuk diperiksa. Tengah bosan - bosan tunggu giliran, tiba - tiba ternampak muka yang familiar. Terserempak pulak dengan Efni. Dia pun nak check pregnancy jugak sebab dia dah ada mild contraction and dah turun tanda. Tak adalah aku mereput tunggu turn sorang - sorang macam patung cendana. Borak - borak dengan Efni lupa segala kerisauan yang dok melenting - lenting dalam hati.

Aku masa ni dalam hati dah berdoa semoga aku dijodohkan dengan doktor perempuan. Aku berdoa supaya Tuhan peliharakan aurat aku. Tapi sekali lagi, Allah tahu apa yang terbaik, doktor lelaki pulak yang check aku. Lepas doktor buat check bukaan, doktor bagitahu yang aku dah opening 1cm. Alhamdulillah. Syukur. Dalam hati masih lagi berdoa supaya aku tak kena induce. Kot-kot la malam tu aku bersalin ke apa ke kan. Lepas habis prosedur dekat Dewan Bersalin, suami terus daftarkan aku masuk wad dan dijadualkan untuk di induce first shot pada esok pagi pukul 11 pagi. Memandangkan belum ada apa-apa yang berlaku dan aku pun takde rasa sakit nak bersalin ke apa ke, suami batalkan hasrat nak stay hospital malam tu. Kesian jugak dengan suami takut dia tidur tak selesa ke apa ke. So aku suruh dia balik and temankan Adam tidur malam tu. Kesian Adam. Rasa rindu membuak - buak pulak dekat dia. Kalau depan mata tu asyik kerja nak buat Mama marah je. Bila jauh rindu pulak.

Lepas masuk wad and kemas barang - barang, waktu melawat pun dah habis dah. Suami nak balik dah, ha time ni lah memang buat drama swasta level 999 punya. Mulalah nak sedih sayu hiba bagai dengan drama airmata lengkap semua ada. 8 tahun bernikah dengan suami tak pernah kena tinggal dengan suami melainkan kalau dia kena kerja malam. Mestilah sedih. Dahlah aku ni spesis perempuan yang mengada-ngada, muka gangstar tamil punya tapi bila nak kena tinggal suami berkaca-kaca mata. Sebelum suami balik aku minta maaf segala salah silap aku dengan suami, mohon dia doakan aku bersalin normal tanpa induce. Malam tu aku memang sorang - sorang menanggung kesenduan yang bermaharajalela dalam hati. Lepas solat Isya' dekat tepi katil, aku capai phone and baca surah Yasin. Habis je baca surah Yasin, aku sambung berzikir sambil mulut tak putus-putus berdoa semoga Tuhan memperkenankan doa aku untuk bersalin tanpa induce.

Entah berapa kali aku terlelap pastu terjaga lagi sebab penghuni katil sebelah dok ulang - alik sana sini sampai aku pun naik rimas. Dia pun mangsa induce jugak tapi belum ada bukaan. Dari siang tadi opening serviks dia cuma 1cm. So aku agak dia dok ikut petua orang - orang untuk kerapkan berjalan untuk menggalakkan pembukaan pintu rahim. Entahlah. Yang aku tahu aku serabut perut tengok dia jalan - jalan macam tu. Dah terjaga macam tu, nak tidur pun tak boleh, aku pun sambunglah baca Yasin dan berzikir lagi. Sampailah aku terlelap sendiri dan bangun keesokkan harinya untuk solat Subuh. Time nak mandi tu aku perasan ada lendir bercampur dengan darah, tapi time ni takde rasa contraction apa lagi. So lepas mandi, and solat Subuh, aku pun sambung lagi baca Yasin dan berzikir. Selagi belum pukul 11 pagi maka aku masih ada harapan untuk tidak diinduce. Manalah tau kan.

Uniform kaler pink okay. Mak suka!
Kalau ikutkan kelayakan memang layaklah masuk was kelas 1. Tapi sebab aku kes GDM dan bakal diinduce , maka tercampaklah aku di wad kelas entah keberapa ni. Takpelah. Kakak redha dan pasrah.
 Sabtu // 3 Disember 2016 // 11 pagi.


Tepat pukul 11 pagi, aku dipanggil masuk ke bilik rawatan. Doktor terangkan prosedur untuk diinduce dan kebarangkalian yang bakal berlaku selepas diinduce. Doktor yang in-charge untuk kes aku ni nama dia Doktor Hafezul.So dia terangkan yang proses induce ni akan berlaku sebanyak 3 kali. Dan kalau dah 3 kali induce tu jugak aku masih belum ada sebarang tanda kontraksi atau takde sebarang bukaan maka option kedua akan dipertimbangkan iaitu operation. Sebab aku GDM maka aku tak boleh biarkan baby duduk lama dalam perut. Kena lahirkan dia on time melalui apa cara sekalipun. So lepas Doktor Hafezul bagi penerangan ni, maka prostin first shot pun dimasukkan dan aku tak boleh bangun atau buang air selama 1 jam. Maka terpasrahlah aku terbaring sambil menunggu effect ubat tu untuk bertindak balas.

Pukul 12.30 tengahari suami datang melawat. Masa ni aku dah mula rasa mild contraction yang acah- acah. Kejap ada kejap takde. Masa diorang hidangkan lunch pun aku masih boleh makan lagi. Berselera betul aku makan ikan masak merah dengan sayur sawi dia tu. Umpama sebelum ni aku tak pernah pulak makan ikan masak merah sesedap begitu. Badan pulak dah mula berpeluh - peluh. Suami pesan suruh makan kurma banyak - banyak dan minum air zamzam. Abah ada bawakkan air akar kayu Orang Asli. Tapi aku takut nak minum. Aku takut kalau aku minum nanti sakit dia lain macam nauzubillah tapi takde bukaan langsung. So aku set dalam kepala yang aku akan hanya minum air yang abah sediakan ni bila aku dah betul - betul sakit tak tertanggung nanti.

Waktu melawat habis pukul 2 petang, suami pun nak pergi makan and pergi solat and dia janji akan datang lagi untuk sesi melawat petang nanti. Aku pun ambik kesempatan ni untuk solat, sambung baca Yasin lagi and terus berzikir sampai aku tertidur kepenatan. Contraction dah mula terasa. Wah! Macam ni ke rasa dia! Mula - mula kau akan rasa baby mengeras. Beberapa saat lepas baby mengeras tu kan akan rasa perut kau menggelodak nauzubillah selama beberapa puluh saat. In my case, rasa menggelodak berserta sakit dekat pinggang yang mencengkam tu berlarutan selama 36 saat. Sela masa antara rasa sakit tu adalah 3 minit. Maksudnya hilang je rasa sakit tu contohnya pukul 5.00 petang, rasa sakit tu nanti akan kembali pukul 5.03 petang. Macam tu. Time solat Asar memang susah sikit sebab kau kena tahan rasa sakit tu sambil kau terbongkok-bongkok nak rukuk nak sujud. Mengalir jugak airmata bila tengah nak rukuk tiba-tiba rasa sakit tu datang.

Suami datang melawat untuk sesi petang tu. Sambil urutkan belakang, suami ajak berbual untuk hilangkan rasa sakit. Tapi aku dah tak mampu dah nak berbual. Rasa sakit tu buat aku hilang mood. Nak makan pun aku tak selera. Suami pujuk suruh makan untuk tambah tenaga. Dia tolong suapkan. Walaupun rasa tak berapa nak berselera tapi mengenangkan suami yang susah payah temankan, aku telan jugak lauk yang terasa berpasir dekat tekak ni. Time ni kencang sikit rasa sakit tu datang. Aku dah tak mampu nak duduk dah. Nak berdiri pun rasa tak selesa. Apatah lagi nak berjalan- jalan keliling wad macam orang lain buat. Sudahnya aku bagitahu suami yang aku nak baring. Cuba nak tidur. Dahlah malam tadi aku tak tidur disebabkan orang sebelah dok kehulu kehilir. Kepala aku  rasa berat, mata dah mengantuk sangat - sangat. Aku pun berbaring mengiring ke kiri. Sambil baring tu aku ambik tangan suami. Aku peluk kuat - kuat. Time time macam ni emosi betul aku rasa. Aku nak cepat - cepat lahirkan baby ni and balik rumah. Aku nak suami sentiasa ada dekat sisi. Aku taknak jauh lagi dengan suami. Aku terlelap lah jugak dalam beberapa minit. Lepas tu aku terjaga balik dengan muka berpeluh - peluh sebab aku rasa sakit tu semakin kerap. Setiap kali sakit tu datang, aku bayangkan muka Adam. Aku bayangkan muka suami. Aku bayangkan yang adik baby bakal keluar melihat dunia. Aku bayangkan yang kami akan hidup bahagia satu keluarga. Aku tanamkan dalam hati yang sakit ni semua permainan mental. Tak sakit pun sebenarnya. Aku niatkan yang rasa sakit yang aku tengah alami sekarang ni adalah hadiah untuk suami. Aku buat semua ni untuk dia. Untuk dapatkan redha Allah. Aku bukan isteri yang sempurna. Maka tak mengapalah kalau aku terpaksa tanggung rasa sakit ni untuk melahirkan zuriat keturunan kebanggaan dia.

Pukul 7 malam, sebelum suami balik sebab waktu melawat dah tamat doktor panggil untuk check bukaan. Sebab contraction dah semakin kerap. Tapi masih boleh tahan lagi. Takdelah menggila sangat.Aku ingat dah start opening 4cm ke apa kan, tapi bila doktor check rupanya bukaan masih 2cm. Kelakar sangat tau. Sakit dah macam apa rupanya baru 2cm.  Drama sangat! Terus - terang time ni dalam hati rasa kecewa, marah, putus asa semua ada. Tertanya - tanya apa yang Tuhan nak beri sebenarnya. Aku berdoa supaya bersalin normal dan tak kena induce tapi Tuhan tak perkenankan. Aku berdoa supaya dipercepatkan bukaan rahim pun Tuhan tak perkenankan. Terus rasa nak marah, nak baling barang, nak hempas-hempas badan ke lantai pun ada. Tapi cepat - cepat aku istighfar banyak - banyak, ni semua kerja setan ni. Aku istighfar dan tanamkan dalam hati yang apa yang jadi ni semua dibawah perancangan Tuhan. Aku merancang. Tuhan merancang. Namun perancangan Tuhan yang lagi baik. Yakin! Yakin! Suami minta izin untuk balik. Cadangnya suami nak stay back dengan hotel tempat dia kerja je. Dekat dengan hospital and kalau ada apa -apa senang dia nak datang ke hospital. Time ni ada sepupu aku datang melawat, sekejap je. Habis waktu melawat dia pun minta diri nak balik. Lepad diorang balik, aku siap-siap nak solat Maghrib. Cadangnya lepas Maghrib nak sambung solat sunat hajat dengan solat taubat. Tapi tak mampu nak buat sebab contraction macam dah start nak menggila.

8.45 malam.

Contraction dah tersangatlah intense. Sakit dia tu susah aku nak describe macamana. Memang sakit. Tapi dengan izin Allah aku boleh cope dengan rasa sakit tu. Aku bayangkan muka Adam yang comel, aku bayangkan muka suami, aku bayangkan macamanalah rupa adik baby nanti. Semua benda-benda ni buat aku happy dan bahagia. Dalam masa yang sama dia trick otak aku untuk tak fokus dekat sakit tu. Aku selang selikan dengan zikir, doa Nabi Yunus. Sekejap - sekejap karang aku borak-borak dengan ibu-ibu dari katil sebelah. Cuba larikan otak dari asyik bayangkan sakit. Mulut pulak setiap kali nak merengek sakit, aku gantikan dengan zikir Astaghfirullah, Subhanallah, Allahu akbar. Insyaallah, sakit tu walaupun tak berkurang, tapi Tuhan akan bantu kita dengan salurkan kekuatan dan ketabahan untuk tanggung kesakitan tu. Sambil-sambil tu aku scroll Facebook / Twitter (Sempat lagi!) and balas - balas whatsapp dengan kawan - kawan, adik beradik and sanak saudara yang dok tanya update. Sekejap - sekejap aku usap-usap perut. Pujuk adik baby untuk cepat-cepat keluar. Jangan sakitkan Mama lama - lama. Maklong send gambar Adam. Hiba terus rasa hati ni. Mengalirlah airmata untuk kesekian kalinya. Rindu tahap tingkat tertinggi dekat Adam.

Dalam sakit- sakit tu, terhasil jugaklah sekeping selfie ni. Send dekat Maklong untuk dia tunjuk dekat Adam. Adam kata dia taknak tengok muka aku. Dia suruh aku selfie perut aku. Sabo jelah.

12.30 malam.

Try nak tidur. Sebab kepenatan sangat. Tapi tak berjaya. Berjaya tidur-tidur ayam je. Ayam tidur pun lagi nyenyak dari aku. Puas mengiring ke kiri ke kanan tetap jugak tak boleh nak lelapkan mata. Aku pergi toilet, ganti pad. Darah keluar banyak sangat time ni. Teringat orang tua - tua adakata time nak melahirkan ni ada dua jenis kembar. Kembar air dengan kembar darah. Kalau sebelum bersalin tu turun air banyak maknanya proses kelahiran tu nanti senang dan meluncur sap sap eh dah beranak pun dengan senangnya. Kalau kembar darah pulak meaning sebelum bersalin tu keluar darah banyak maknanya nanti proses kelahiran tu penuh dengan rasa kesakitan yang mencengkam. Ah gasak. Tak kisahlah kembar air ke kembar darah ke kembar Nutella ke aku dah tak kisah. Asalkan aku selamat lahirkan adik baby dengan selamat, sudah.

Sebab tak boleh tidur, aku sambung lagi baca Yaasin dan berzikir. Sampailah akhirnya aku terlelap jugak. Bangun - bangun je aku tengok jam dah pukul 2.15 pagi. Perut aku sakit sangat time ni. Terus aku bingkas duduk. Aku usap - usap perut. Sakit dia lain macam. Dah bukan 3 minit sekali ke, dua minit sekali ke apa ke. Aku rasa macam sakit dia berpanjangan, dah tak ada sela masa dan terasa macam nak terberak sangat - sangat. Aku pergi toilet dulu, buang air kecik lepas tu aku terus pergi kaunter misi. Ada sorang misi tengah berjaga. Yang lain tengah berehat. Kesian diorang. Kerja siang malam tak kenal masa. Aku bagitahu misi yang aku tersangatlah sakitnya. Misi tu pulak chillax je suruh aku duduk dulu. Dia kata nanti doktor datang periksa. Time aku nak duduk tu tiba- tiba macam ada gelombang menggelodak dalam perut menggila-gila punya sampai aku terjerit "Allahuakbar!". Terus misi tu tadi suruh aku baring dekat katil. Dia nak check bukaan. Baru je dia suruh aku kangkang terus dia kapitkan kaki aku sambil pesan, "Dik, jangan teran dulu ye. Kita transit awak ke Dewan Bersalin sekarang!" Maka suasana pagi yang sepi Pak Mat jual kopi tu tadi bertukar menjadi sedikit hingar-bingar tetapi masih dalam keadaan yang sangat terkawal. Stretcher tetiba je dah ada kat tepi aku. Ada dua orang misi lain yang entah datang dari mana tetiba je dah ada kat tepi siap siaga nak tolak aku ke Dewan Bersalin. Aku pun bergolek dari katil rawatan ke stretcher dan terus sap sap ditolak ke Dewan Bersalin. "Saya nak bersalin dah ke?" Tanya aku macam agak blur - blur. "Ye dik. Awak dah full opening dah tu. Nampak dah rambut dia tu!" jawab misi tu. Halamak. Nak bersalin rupanya. Patutlah sakit lain macam.

Sambil ditolak masuk ke Dewan Bersalin, maka terbayang jelas dimata harapan dan impian untuk suami ada di sebelah aku sewaktu aku melahirkan adik baby musnah pecah berderai begitu sahaja. Tak sempat nak inform suami yang aku dah sampai masa untuk melahirkan. Dan kalau aku sempat inform dia sekalipun, suami takkan sempat untuk sama - sama ada untuk temankan aku. Maka...babai impian! Kaput! Sampai je kat Dewan Bersalin, dengan tiga kali push, maka lahirlah seorang lagi umat Nabi Muhammad S.A.W. Allahu. Allahuakbar. Suasana hening 3.26 pagi, damai, tenang lagi menenangkan, dengan tanpa sebarang huru - hara dan kesibukan, semua attention hanya pada aku dan bayi. Katil - katil lain semua kosong. Cuma ada aku. Lahirlah seorang bayi lelaki dengan berat 3.17kg. Kecil je dia kalau nak dibandingkan dengan Adam. Adam dulu putih melepak dengan mata sepet, badan ketul-ketul. Adik dia ni pulak tanned sikit kulit dia. Kecil. Tapi lahir dengan senang, damai dan langsung tak menyakitkan. Alhamdulillah. Saat misi letakkan adik baby ke dada untuk sesi bonding, bermacam - macam perasaan yang aku rasa waktu tu. Hiba, bahagia, rasa penuh kesyukuran yang tak terungkap dek kata - kata. Semua sakit - sakit menahan contraction, penat menunggu saat adik baby lahir ke dunia, semua tu hilang sekelip mata. Cliche kan? Tapi memang tu kenyataannya. Tendangan - tendangan kecil yang selama ni aku rasa dalam perut, regangan - regangan yang kadang - kadang buat aku ngilu sepanjang malam, penasaran memikirkan apakah rupa wajahnya hadiah dari Tuhan yang bakal aku lahirkan ke dunia, kini dalam pelukan.

Teramatlah fresh from the oven.
Assalamualaikum adik baby.
Sambil doktor dan misi - misi yang ada uruskan aku untuk perineum tear dan yang lain - lain tu, suami pun dah selamat diinform oleh salah sorang misi yang bertugas. Jadi bila aku ditolak keluar dari dewan bersalin, suami pun dah siap - siap tunggu dekat luar dan dah siap daftarkan aku untuk masuk wad kelas pertama. Tak kisahlah masuk wad kelas ke berapa pun, yang ada dalam hati aku sekarang adalah rasa syukur sebab dah selamat melahirkan adik baby. Sampai dekat wad, suami azankan adik baby sekali lagi, dan terus maklumkan pada keluarga, pihak sekolah dan pihak klinik kesihatan yang aku dah selamat bersalin. Walaupun aku kepenatan, tapi mata ni tak mampu rasanya nak lelap. Sepanjang masa asyik menatap muka adik baby yang kecil comel. Macam tak percaya yang aku dah jadi emak lagi sekali. Untuk dua orang anak lelaki kurniaan Tuhan. Alhamdulillah. Terima kasih Tuhan.

Adam teruja sangat bila adik baby dah keluar. Sayang betul dia dengan adik dia. Pada dia, adik dialah yang terpaling comel sedunia, paling handsome, paling pandai. Semua adik dialah.
Rambut lebat sangat!
Makanan hospital. Sedaplah jugak. Abaikan presentation yang sendu tu. Yang penting rasa dia sedap!
Baru sepuluh hari berat dah naik dari 3.17kg kepada 3.8kg. Alhamdulillah. Kuat minum susu. Baik sangat. Tak meragam langsung. Adik baby is a bae betullah!
Betullah kan. Verily, with hardship comes ease. Yakinlah dengan perancangan Tuhan yang melebihi perancangan kita yang maha lemah ini. Kebergantungan kita 100% letakkanlah pada Tuhan. Tawakal dan yakinlah bahawa Tuhan pasti merancang yang terbaik untuk kita. Walaupun Tuhan tak izinkan aku untuk bersalin normal tanpa induce, walaupun Tuhan tak izinkan suami untuk berada disisi aku sewaktu aku ingin melahirkan, namun Tuhan makbulkan doa - doa aku yang lain. Aku berdoa untuk dihadirkan insan - insan yang baik untuk membantu aku sepanjang proses melahirkan - done. Sepanjang aku admit sampailah aku bersalin , selamat bersalin dan nak discharged, nurse-nurse semua baik - baik. Semua bagi layanan yang superbaik untuk aku. Bantu aku dengan ramah, attend aku sepanjang masa, semua baik - baik belaka. Aku berdoa supaya Tuhan kurniakan aku ketabahan dan kekuatan untuk menghadapi rasa sakitnya contraction - done. Walaupun sesungguhnya sakit tu tak dapat aku nak gambarkan, tapi Tuhan bagi aku kekuatan luarbiasa untuk menahan rasa sakit tu tanpa mengeluh. Tuhan bantu aku dan izinkan aku untuk terus bersolat tanpa tertinggal satu waktu pun sampailah hari aku melahirkan. Aku berdoa supaya Tuhan kurniakan aku proses melahirkan yang cepat, mudah, tidak menyakitkan, tidak menyusahkan dan penuh ketenangan - done. Adik baby aku lahirkan dalam masa tak sampai 15 minit dalam labor room. Mudah, 3 kali push je. Tak menyakitkan, tak menyusahkan dan tenang diselubungi suasana hening pagi. Allahu akhbar. Ini perancangan Tuhan untuk aku. Dan aku yakin, perancangan Nya inilah yang terbaik untuk aku. Allahu akhbar. 

Hari ke sepuluh jugalah secara sah dan rasminya, kami suami isteri beri nama keoada adik baby. Untuk dua - dua orang anak ni pun, aku yang in-charge untuk letak nama anak. Kuasa veto dekat tangan aku. Alasanya aku yang tanggung segala susah payah, morning sickness, sakit bersalin apa bagai jadi biarlah aku yang kasi nama. Kehkeh. Untuk anak ke dua ni, aku ambil nama sempena seorang Nabi yang bukan sahaja kacak rupa parasnya, tapi penuh ketrampilan dan karismanya. Kisah Nabi yang satu ni dekat betul dengan kisah aku sewaktu aku bersedih dipindahkan sekolah kerana fitnah dan hasad dengki manusia dulu. Aku namakan dia Yusuff. Kemudian aku gabungkan dengan nama gua tempat terjadinya kisah 7 orang pemuda dan seekor anjing yang Allah tidurkan kerana nak mengelakkan pemerintah yang zalim - Kahfi. Dan dihujungnya, aku lengkapkan dengan nama timangan Saidina Uthman, Zunnurain - yang ertinya 'yang mempunyai dua cahaya'. Kerana Saidina Uthman bernikah dengan dua orang puteri Rasulullah. Jadilah nama anak aku yang kedua ni Yusuff Kahfi Xunnurain. X tu trademark. Tak boleh tidak. Lantaklah orang nak kata nama anak aku panjang berjela sekalipun. Aku tak mintak beras orang untuk buat makan.


Yusuff, semoga membesar dengan sihat dan sempurna, beramal soleh dan dekat dengan Tuhan. Berbakti di jalan yang Tuhan redhai, menjadi penyejuk mata emak ayah dan menjadi manusia yang dicintai Tuhan. Sejak hari pertama aku peluk Yusuff dalam dakapan, sejak hari itu aku bersumpah akan berikan apa sahaja yang terbaik untuk dia, walaupun bergalang - gantikan nyawa.

Dah babai. Nak sambung berpantang.

10 comments:

Anonymous said...

Tahniah teacher atas kelahiran adik baby baru . Semoga Xunnurain membesar jadi kebanggaan teacher sekeluarga serta ummah.

Baca entry kali ni... seakan teacher bagi nasihat pada saya. TUHAN tak bagi ini, DIA bagi itu. Semoga saya mampu bertahan nak habiskan apa yang saya mulakan.

Take care, my lovely teacher. I miss youuuu :* Thank you so much

Cik Puan Bunga said...

@AnonymousThank you my student whoever you are ><, Doakan tcr sentiasa kuat dan hebat. Gemilang dan terbilang. Hihi!

Anonymous said...

Kakak bungaaa! Tahniah meleleh air mata baca teringat zaman lahirkan bby. Haha. Omey ngan baby yusuf. Kisskan ye 😘

Cik Puan Bunga said...

@AnonymousTerima kasih! ><, Akak dah kiss kan dia sepenuh perasaan dan sanubari. Hikhik!

Anonymous said...

Sebak pulak baca. Tahniah cik puan bunga. Teringin nak rasa apa yang awak dah rasa. Mengandung, bersalin, ada anak. Doakan saya.

Cik Puan Bunga said...

@AnonymousSatu hari nanti, bila masanya tepat macam apa yang Tuhan rancangkan, awak pasti akan merasainya. Or even better. Allah knows best. HAVE FAITH YA! INSYAALLAH!

nur easy said...

Alhamdulillah.. Tahniah bunga sekeluarga.

LINA EVERLYNN said...

lamanya tak jenguk blog.
masih aktif berblog...
ingat lina lagi tak? ;)))

Cik Puan Bunga said...

@nur easyTerima kasih ><,

Cik Puan Bunga said...

@LINA EVERLYNNMestilah ingat! Hihi. Makin lawa Lina sekarang ><,