Saturday, September 29, 2018

Senja. Dan Satu Jiwa Yang Luka.

"Sakit tidak?"

Soalan pertama yang aku lemparkan. Engkau diam. Seolah sedang berkira - kira sesuatu sebelum menjawab. Dahi kau berkerut. Lama. Sambil tangan kau memusing-musingkan straw di gelas yang separuh kosong. Hiruk - pikuk manusia yang lalu - lalang sikitpun tidak kau hiraukan. Kau terus begitu untuk beberapa detik. Sebelum kau melepaskan satu keluhan berat.

"Sakit." jawab kau pendek.

Aku kira, itu jawapan yang kita sama - sama tahu. Aku juga tahu kau bakal akan menuturkan jawapan itu. Aku cuma mahu kepastian. Aku cuma mahu mendengar kau mengucapkan itu dengan mulut kau sendiri. Kerana mendengar sendiri berbanding cuma mengagak jawapan, ketara bedanya. Aku terus menanti kau menuturkan kata - kata yang selanjutnya. Petang yang mula merangkak senja, membiaskan warna merah jingga yang paling aku cintakan. Aku sangat sukakan senja. Matahari meminta diri untuk hilang seketika, tanda berakhirnya tempoh ia menyinar dunia. Satu perpisahan yang maha indah. Cantik. Hilang seketika sebelum kembali di hari esoknya. Senja seringkala memberikan aku satu rasa dejavu yang sukar untuk aku ungkapkan dengan kata - kata.  Pada aku, senja itu umpama satu rahsia alam. Tetap cantik, sebelum memberi kelam.

Aku pandang kau yang terus bungkam tanpa kata - kata. Aku tahu kau sedang dalam kesakitan. Kesakitan yang kau sentiasa cuba sembunyikan dengan polah ceria dan penuh keyakinan. Kesakitan yang tak pernah kau tunjukkan sisi duka kau kepada mata umum. Kesakitan yang hanya kau perlihatkan kepada orang - orang yang kau percaya. Mata kau kelam tanpa sinar. Celaka manalah yang telah membunuh kebahagiaan kau, kawan.

"Jangan sesekali memberi jiwa kepada orang yang bukan taqdir kita." ucap kau dalam senyum yang bersisa. Mata kau sedikit berkaca sewaktu kau menuturkan itu. Aku tahu remuk redam yang memecahkan hati kau. Aku tahu apa yang kau rasa, apa yang kau lalui. Aku tahu apa yang sedang kau nafikan, aku tahu apa yang sedang kau perjuangkan. Aku tahu sengsara kau melabuh cinta dan percaya kepada orang yang nyata bukan dicipta untuk melayar bahtera bahagia dengan kau. Aku cuma menanti kau menuturkan sendiri.

"Kau akan teruskan semua ni? Kau akan teruskan 'berjuang?'" pertanyaan aku tadi kau sambut dengan ketawa kecil yang amat menjengkelkan aku. Seolah pertanyaan aku tadi sesuatu yang bodoh dan tidak berakal. Kau masih tertawa sinis sambil mata kau tak lepas memandang aku.

"Berjuang? Perjuangan apa yang aku ada , Yatt. Dari langkah mula langkah pertama yang aku ambil sewaktu aku mencintai dia, aku sudah tewas tanpa perlu berbuat apa - apa. Dari detik pertama aku izinkan dia memasuki jiwa aku, aku sudah kalah sehabisnya. Aku cuba melawan taqdir aku. Aku tidakkan ketentuan Tuhan. Aku fikir aku kuat untuk bertarung dengan emosi dan keadaan. Tapi sebenarnya aku cuma menghiris jiwa sendiri. Aku membodohkan diri untuk merasa bahagia yang sementara. Aku fikir aku mampu merubah taqdir, tapi akhirnya aku sedar yang hebat manapun sekali cinta aku pada dia, kuat manapun sekali aku berjuang untuk dia, kalau perjuangan itu bukan perjuangan aku, aku kalah didetik pertama, Yatt. I am a fighter, but he is not my battle.

Aku telan kecaman manusia. Dikata aku cuba merampas bahagia kepunyaan orang lain. Bukan, bukan aku merampas bahagia. Rasa ini bukan aku yang minta, Yatt. Aku solat, aku berdoa pada Tuhan minta perasaan ini dijauhkan. Tapi semakin kuat aku minta dijauhkan, semakin ia datang. Salah siapa Yatt? Salah aku? Atau salah Tuhan? Mungkin salah Tuhan ? Kerana Dia yang memberikan aku rasa ini? Aku diberikan ujian ini? Untuk apa? Hikmah ? Mana hikmahnya? Aku digelumangkan dengan dosa? Lantas ketika aku meminta Tuhan untuk menjauhkan aku dari dia, kenapa yang dimekarkan adalah cinta? Kenapa ? Dan selayaknya aku ke neraka kerana Tuhan enggan mendengar aku disetiap doa? Jawab Yatt. Yang salah itu aku, atau Dia??"

Keadaan sunyi. Umpama segalanya kedap bunyi. Senja semakin merangkak kelam. Aku biarkan engkau melayan emosi kau sendiri. Aku tak mahu menghakimi apa yang aku tak lalui. Aku tak mahu menjadi kejam dengan tanggapan aku sendiri. Aku tak mahu membuat kerja Tuhan. Apa pun yang kau lalui, itu keputusan yang kau ambil sendiri. Aku cuma mampu menjadi pendengar biarpun untuk seratus tahun lagi. Dalam senja yang semakin memekat, aku lihat kau menyeka mata dengan dua tapak tangan. Semerta, hati aku direnggut sebak. Celakalah manusia yang menghancurkan hati kau, teman. Celakalah dia untuk seluruh hidupnya. Dalam senja yang semakin memekat itu juga aku lihat kau menyeluk poket, dan membawa keluar handset kau. Terus menuju ke aplikasi Instagram. Aku lihat kau sedang menatap gambar dua manusia tersenyum bahagia di atas pelamin putih. Berbusana songket ungu. Dengan segenap gembira yang terpancar diwajah mereka. Kau tatap gambar itu lama. Sebelum aku sadari bahu kau bergoncang dengan tangis yang esaknya semakin kuat. Kau suakan gambar itu kepada aku.

"Yatt tengok. Lelaki yang aku serahkan segala jiwa dan segala cinta, lelaki yang katanya sayang kepada aku melebihi nyawa, yang katanya sanggup berkorban jiwa raga untuk aku. Tengok Yatt, tengok. Hari ini dia menikah. Dia memilih untuk menikah. Dan membiarkan aku dengan taqdir hidup aku sendiri." kau menyunging senyum. Dengan airmata yang mengalir sederas hujan. Aku menelan air liur yang terasa berpasir ditekak. Aku tatap gambar itu lama - lama. Tak ada sepatah pun perkataan yang aku mampu tuturkan untuk menenangkan hati kau. Semua perkataan yang pernah wujud di dalam bahasa manusia takkan mampu menterjemah betapa luka dan hancurnya hati engkau. Tak ada. Tak akan ada.

"Ini jalan yang aku pilih, Yatt. Dan demi dia, demi cinta kami yang katanya pernah ada, aku akan teruskan hidup. Kerana hidup untuk dia tak semudah mati demi cinta."

Aku tak pernah merasa sesakit kau dalam hidup aku. Aku tak tahu apa rasanya menyintai orang yang memang taqdir akhirnya bukan untuk hidup bersama aku. Aku tak tahu macamana sakitnya ditinggalkan orang yang paling aku sayang. Aku tak pernah menjadi saksi mata lelaki yang aku sayang menikahi perempuan lain. Aku tak pernah. Aku tahu sakit. Tapi aku tak tahu sesakit apa. Aku tahu hancur lebur hati kau. Tapi tetap bukan aku yang merasainya.
Aku biarkan kau menangis semahu kau. Aku tau , usai kau tangisi semua ini, kau akan tetap menjadi kau yang dulu. Seorang yang membahagiakan orang lain. Yang akan sentiasa memberi sinar untuk orang lain. Kau tetap akan menjadi seperti polah yang Tuhan taqdirkan untuk kau. Sentiasa menyebarkan bahagia. Kau tak salah apapun. Kau cuma jatuh cinta. Dan jatuhnya cinta engkau itu kepada lelaki yang sudah berpunya. Lelaki yang sudah punya suri. Lantas apapun yang kau korbankan, kau persembahkan, tak akan mengubah hakikat yang engkau cuma pendatang. Singgah sekejap untuk menumpang. Bila - bila masa tiba waktu untuk kau cari jalan pulang.


Masih terngiang - ngiang ayat kau dalam kepala aku,

"Lantas ketika aku meminta Tuhan untuk menjauhkan aku dari dia, kenapa yang dimekarkan adalah cinta? Kenapa ? Dan selayaknya aku ke neraka kerana Tuhan enggan mendengar aku disetiap doa? Jawab Yatt. Yang salah itu aku, atau Dia??"

Tuhan, Kau punya jawapan?

Saturday, September 22, 2018

Sembilan Bulan.

Assalamualaikum.

Dalam tempoh hiatus aku selama sembilan bulan ni, macam - macam dah jadi dalam hidup aku. Terlalu banyak benda yang berlaku sampaikan aku tak tahu nak start share yang mana satu. Yang best, yang musibat, drama airmata, yang kelakar funny bapak ah, yang menduga kesabaran, yang menggeramkan. Eh banyak la. Aku nak menulis, aku nak sangat share dalam blog kesayangan ni apa yang aku lalui selama sembilan bulan ni. Tapi entahlah, keinginan nak menulis tu tak sama macam dulu. Passion dia tu dah malap sikit. Ataupun, senang katanya, aku malas. Malas sesungguh - sungguhnya. Masa tu ada, tapi malas. Malas nak drafting, malas nak editing, malas malas dan malas. Unta padang pasir pun tak malas macam aku rasanya. Tapi itulah, terasa macam nak share semua. Nantilah, slow slow, aku share. Insyaallah.

Bila umur dah nak menginjak 35, semakin banyaklah yang aku belajar. Kadang - kadang, tergelincir jugak langkah bila syok sangat dengan dunia. Ingat Allah banyak - banyak. Perlahan - lahan patah balik, lalu balik jalan menuju cinta Tuhan tu. Hidup ni, terpesong macamana sekalipun, janganlah sampai tak takutkan Allah. Semakin banyak fikirkan mati. Hidup dekat dunia ni bukan destinasi abadi kita. Semua orang tahu, Mati tu pasti. Tapi itulah, terpelecok juga langkah ni. Bersihkan jiwa, bersihkan hati. Semoga sentiasa didakap cinta Illahi.

Tahun 2018 ni jugaklah tahun yang menyaksikan, apa yang aku pernah hilang, datang semula. Orang kata, kalau sudah jodoh memang tak kemana. Terbanglah mana tinggi, hilanglah jauh mana pergi, kalau sudah termaktub janji, ke sisi jualah akan kembali. Alhamdulillah. Bertahun - tahun menjera taqdir, akhirnya kembali jua, Yang ni pun nanti aku cerita. Perjalanan sebuah jiwa yang hilang, kembali ke pangkal jalan. Cerita ni cerita airmata, pada akulah. Aku yang jiwa kental ni pun mencebik - cebik bila diceritakan kisah ini pada aku. Nanti eh. Nanti aku kisahkan.

Tempoh sembilan bulan ni jugaklah yang menyaksikan macamana aku yang fobia tempat tinggi, gayat segala bagai ni akhirnya buat passport dan terbang ke Vietnam bersama Maklong. Bapak ah terasa nak tercabut nyawa naik flight weh! Tapi dek kerana nak jaga market, gua steady je bhai! Sembilan bulan ni jugaklah terkandungnya moment aku jejak kaki ke Ipoh. Bandar yang aku teramat sangat nak pergi. Dan akhirnya tercapai alhamdulillah ya Allah. Dan betapa banyaknya moment - moment aku mencuba beberapa perkara untuk pertama kali. Ah. Tak sabar pulak aku nak share semua. Semoga aku akan lebih rajin menulis. Doakan ye! Aku janji aku akan jadi lebih rajin menulis. Macam dulu - dulu. Masa zaman kegemilangan dulu. Aku harap, ada lagilah loyal readers aku yang sedia menanti post baru daripada cikpuanbunga.com Insyaallah.

Sebuah pose steady bajoi dari yours truly.
Dah babai. Nak makan keropok ikan.