Aku
selalu kagum dengan manusia yang mampu meraikan kedukaan menjadi suatu yang
sangat indah. Mungkin mereka cuma manusia – manusia biasa yang kita tidak kenal
secara akrabnya tetapi kerana mereka itu mampu menyalurkan segenap kesedihan
menjadi suatu kelukaan yang sangat cantik, aku jadi terpesona dan kagum.
Sesorang pernah memberitahu aku, manusia itu sangat hebat menulis bila dia
dalam keadaan sangat menderita. Atas dasar kelukaan apapun. Nanti tulisannya
akan jadi indah walaupun berduka. Ataupun sebenarnya, manusia yang pernah luka
sahaja akan mampu memahami luka? Apapun, aku tetap kagum. Perkataan itu disusun
dan dikarang, diletak sebelah menyebelah dan disusun cantik – cantik, untuk
membentuk satu emosi yang sangat terasa di jiwa. Dan rasa luka itu dikongsi
dengan manusia yang lainnya, dijamah sama umpama makanan jiwa yang menjadikan
kita lebih dekat dengan yang namanya wajah sebenar kehidupan. Kudos, aku
ucapkan.
Ringkas
sahaja ayatnya. Tegak dan tepat mengena terus ke tangkai hati. Memang pun kalau
kita fikirkan, kita akan barai lebih kalau yang menabrakkan hati kita adalah
seseorang yang sangat dekat dengan jiwa, bukan? Dan sudah tentu akan
meninggalkan bekas, meninggalkan parut yang sangat dahsyat. Tak perlu kita rebut
memikir cara merawat luka. Biarkan saja. Masa pasti menyembuh. Bukankah masa
itu penyembuh yang maha dahsyat. Dan sampai menantikan masa sembuh itu tiba,
ayuhlah raikan luka. Selebritikan duka. Karanglah segala sedih segala pedih
menjadi satu mahakarya magis. Biar berbentuk apapun, penulisan, lukisan,
ataupun satu saluran semangat bersifat luarbiasa yang menjadi pemacu
keberuntungan kita dimasa hadapan. Tuhan tidak akan menjadikan sesuatu itu
untuk sia-sia. Pasti ada natijah dan hikmahnya.
Bila hati kita ini entah galau entah walang, janganlah ego mahu dekati Tuhan. Tuhan itu Maha Tahu segala sakit yang kita lalu. Tak pernah sekalipun sakit yang kita hadapi ini hanya kerana Tuhan mahu kita menderita, mahu kita sakit, mahu kita terkhianati. Bukan? Tuhan tak zalim. Tuhan mahu kita belajar dari hidup kita yang entah apa - apa. Tuhan mahu kita bangkit. Dan dengan pengurniaan rasa segala pedih dan sakit itu, darjat kita hendak ditinggikan. Dengan syarat kita mesti terus redha dan sabar. Jatuhlah, lumpuhlah selemah apapun, habis sudah itu semua kita bangun ya? Tuhan tak akan pernah tinggalkan kita.
وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ ۖ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ ۖفَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ
“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya
kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku
mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku,
maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah
mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Al-Baqarah: 186)
For
the mean time, teruskan kuat dan teruskan sabar ya?