Assalamualaikum.
Kadang-kadang, dalam hidup kita ni, sekuat manapun kita mencari tahu, segigih manapun kita menggali itu ini, korek sana sini, kalau Tuhan kata "Belum sampai masa untuk engkau tahu. Akur dengan waktu Aku, bukan waktu kamu." tetaplah segala pencarian kita tadi tu berakhir dengan sesuatu yang sia - sia. Buntu. Tak ada jalan selesai. Tu yang kita akan jadi serabut, kita jadi macam tak tentu arah. Hati tak tenang. Fikiran jadi galau, jiwa jadi walang. Sebab manusia ni sifatnya satu, makin dilarang, makin dibuat. Kita sentiasa cari jalan untuk menjadi yang serba tahu. Alasan kita, selagi tak tahu, selagi itulah jiwa jadi kecamuk dan buntu. Tak jumpa damai. Sedangkan Tuhan kata, "Kalau mahu tenang, ingatlah Aku."
Biasalah manusia.
Kita selalu pertikai. Kenapa dan mengapa. Kita tak pernah percaya Tuhan punya rencana. Kita rasa kita yang paling bagus kemudi hala tuju masa depan kita, sedangkan kita ini cuma merancang. Yang menentukan, tetaplah Tuhan. I learn this, in a hard way.
Dulu, satu masa tu, aku pernah seserabut ini. Kesana kesini mencari tahu sesuatu yang aku musykilkan. Sesuatu yang seringkala menganggu tenang, yang seringkali meriak curiga dalam hati aku. Hati penuh syak dan sangka. Tapi entah kenapa setiap jalan yang aku cuba teroka, mesti nerakhir dengan buntu dan kecewa. Masa tu, tidur tenang di waktu malam menjadi sesuatu yang asing. Selalu jugak aku terbangun malam, hyperventilating tak semena-mena. Susah nak bernafas secara tiba-tiba, dada terasa berat dan menekan-nekan. Kusut sangat fikiran.Terlalu sibuk mencari tahu dan mencari jawapan, semata-mata nak puaskan hati sendiri yang penuh dengan sangkaan.
Aku tahu sesuatu yang bangsat telah berlaku, tapi aku tak tahu mana nak cari punca, mana nak cari bukti, mana nak mula hala tuju. Dan akhirnya aku sendiri yang menderita. Panic attack, depresi ringan mungkin dan akhirnya aku tiba dalam satu keadaan dimana aku menjadi sangat paranoid. Semuanya aku rasakan sangat mencengkam dan celaka. Aku menjadi seorang yang pasif, negatif dan penuh dengan 1001 tanggapan.
Waktu itu, seketika - aku lupa yang sebenarnya di dalam keadaan yang penuh mendesak itu, Tuhan rupanya sedang berbicara secara terus dengan aku. Aku diuji, rupanya aku yang tak mengerti. Aku diberikan perhatian penuh sama Tuhan, lalu dibelainya aku yang lalai ketika itu dengan sedikit ujian Tuhan. Hati aku dipenuhkannya dengan sedikit rasa syak wasangka, dan akhirnya aku sendiri yang terduduk di kaki lima taqdir kerana terlalu selalu menyalahkan semesta atas setiap musibah yang berlaku. Aku lupa, yang Tuhan sebenarnya mahu mendengar aku merintih dan menangis, menginsafi khilaf diri. Sepatutnya aku berhenti cari tahu dan berhenti tanya ini itu. Sepatutnya, untuk setiap celaka yang aku terima, harusnya langkah sujudku laju menuju Dia.
Bila jawapan yang aku cari, tiada di bumi. Aku cuba mencari jawapan dilangit. Usai solat lima waktu, aku panjatkan doa kepada Tuhan agar dikurniakan aku kekuatan. Aku merayu dengan segala pelusuk hati dan jiwa, agar dikurniakan aku hati yang tenang dan bebas dari walang, supaya setiap tangis dan sujudku hanya untuk Dia Yang Satu, dan bukan yang lainnya.
Aku bangun malam, mencuba-cuba tahajjud walaupun tidak sekerap orang lain. Di setiap rakaat, basah sujudku dengan linangan airmata. Aku adukan semuanya pada Tuhan. Aku adukan segala rasa hati yang galau kepada pemilik mutlak hati hambaNya. Aku adukan semua yang aku rasa.Al-quran yang selama ini hanya menjadi hiasan, aku buka lembarannya satu-satu. Mengalir airmata aku membayangkan betapa baiknya Tuhan selama ini dengan aku. Setiap masa yang terluang aku penuhkan dengan zikir dan beristighfar. Aku sibukkan diri dengan mendengar input-input keagamaan.
Dan maka benarlah, tenang itu datang ketika kita mencari Tuhan.
Walaupun masih rentan, walaupun masih galau, tapi aku sudah punya kuat untuk menghadapi dunia nyata. Walaupun masih belum jumpa dengan jawapan yang aku cari, aku serahkan segalanya bulat bulat kepada Tuan Empunya Langit Dan Segala Isi Bumi. Biarlah selama manapun Tuhan mahu aku berpetualang mencari jawapan untuk segala persoalan, aku tak peduli. Asalkan ada Tuhan menemani disetiap langkah yang aku lalui. Aku masih bertabrakan, tetapi hati aku tenang. Kerana aku tahu, aku ada Tuhan.
Setahun aku hidup begitu. Masih dalam tanda tanya, tetapi hati aku sudah tenang walaupun belum redha. Redha. Menerima tanpa tanya. Memeluk tanpa curiga. Menyerahkan segala batin zahir kepada yang Empunya semesta. Aku jadi seutuhnya yakin dan percaya, Tuhan akan tunjukkan aku jalan dan jawapan, bila aku bersedia. Tuhan mahu aku bersedia, sebelum terungkai segala kusut yang bermaharajalela. Aku yakin, aku akan tahu segelanya bila Tuhan rasa aku sudah bersedia. Ingat. Masa dia bukan masa kita. Dan untuk itu, terima kasih Tuhan. Untuk setiap remuk hati dan segenap pelajaran.
Dan -
Disaat aku berhenti bertanyalah itulah, Tuhan kurniakan aku dengan segala jawapan yang aku cari selama ini. Dan satu persatu, segala apa yang menjadi tanda tanya, sesak dada, galau jiwa - Tuhan tunjukkan. Tuhan tunjukkan, Tuhan beri jalan, Tuhan beri ilham dengan cara yang tak pernah aku sangka - sangka. Jawapan yang buat aku tertanya - tanya. Kalaulah apa yang aku tahu sekarang, Tuhan beri aku tahu setahun yang lalu, mungkinkah jalan aku ambil bakal berbeza? Mungkinkah taqdir aku bakal merubah semesta dan segala isinya? Kuatkah aku ketika itu kalau aku tahu awal dari masa yang Tuhan taqdirkan? Mengapa selepas setahun, baru akhirnya Tuhan berikan aku jawapan?
Jawapannya mudah. Tuhan belum izin. Tuhan tahu apa yang terbaik untuk aku. Dalam masa setahun, aku mencanai hati supaya jadi lebih kuat dan jitu persis besi keluli. Dan Tuhan hidangkan segalanya, bila aku sudah siap, dan bersedia. Kuda - kuda sudah terpasak kukuh tak mungkin tersadung langkahnya nanti.
Dan maka benarlah,
masa Tuhan, bukan masa kita.
Terima kasih, Ya Allah.